Saat ini seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura sedang merasai pemergian seorang pengkarya yang begitu prolifik dan telah membuat suatu perubahan baru dalam industri perfileman dan pengiklan di negara ini. Insan yang saya maksudkan itu ialah Al-Marhum Yasmin Ahmad yang telah kembali ke pangkuan Ilahi pada kira-kira jam 11.30 malam di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya selepas Al-Marhum mengalami saat koma selama 3 hari akibat serangan strok. Mengapa Al-Marhum dan mengapa tidak Al-Marhumah?. Persoalan ini sememangnya sudah acapkali didengari gegendang telinga saya semenjak beberapa ketika tahun yang lampau. Suara-suara itu mempertikaikan siapakah diri Yasmin Ahmad yang sebenar. Lelaki atau wanita?. Ada yang membuat spekulasi bahawa Al-Marhum merupakan seorang wanita yang hatinya tertampal pada jasad lelaki. Dahulu saya pernah membuat pembentangan dalam sesi tutorial dan saya mencetuskan isu berkaitan dengan filem-filem Yasmin Ahmad yang menurut hemat saya merupakan suatu karya yang begitu hebat dan tidak terlampau saya katakan ianya bisa dianggap sebagai karya agung. Kenapa agung?. Yup, kerana Al-Marhum telah membuka mata masyarakat bahawa Malaysia merupakan suatu negara yang unik kerana negara ini dihuni oleh manusia yang pelbagai bangsa, agama,budaya dan keturunan. Walaupun tema yang diangkat dilihat begitu serius namun beliau berjaya menjadikan kebanyakan karya beliau sebagai suatu karya yang tak lupa dalam ingatan setiap insan yang pernah menonton karya Al-Marhum kerana Al-Marhum berjaya menggarap tema yang begitu serius dengan garapan audio visual yang dapat diterima secara konvensional dan umum. Sememangnya tanah air ini memerlukan insan seperti ini agar sebarang kejadian yang berteraskan pertelingkahan perkauman dan keagamaan dapat dibendung lebih-lebih lagi dengan atmosfera negara ini yang sedang panas dengan permainan para politikusnya yang menjadikan isu perkauman sebagai modal penarik undi untuk mereka sehingga pada sesetengah waktu meletuskan suasana yang sakit untuk dipandang dalam kancah politik negara ini. Al-Marhum dalam karyanya pasti akan menampilkan watak-watak yang mewakili kaum-kaum yang terdapat di Malaysia ini dengan jalan ceritanya yang begitu harmoni dan sepastinya memberikan impak yang besar sehingga meresap ke sanubari para penontonnya.
Al-Marhum juga seorang realis. Realisnya kerana setiap karyanya menampilkan wajah sebenar Malaysia. Beliau tidak hipokrit. Tidak seperti pengkarya lain yang kadang-kadang karya mereka itu seperti membawa para penontonnya ke dunia fantasi. Kebanyakan pengkarya terutamanya dalam drama akan membawakan isu yang berlatar-belakangkan 'orang-orang kaya yang hidupnya penuh dengan dunia kebaratan'. Makan buah anggur, menghuni di bangunan mewah, restoran kelas tinggi sebagai medan selera harian menjamu selera, pakaian para pelakonnya berjenama mahal. Walaupun dalam dunia realitinya kita punya makhluk-makhluk yang sedemikian rupa namun pada pandangan saya wajah sebenar Malaysia yang kita kenal sejak dulu adalah "kampung". Makan pakai tangan, buah rambutan dan durian, tinggal di dangau dan rumah berdindingkan papan dengan ayam itik berkeliaran disekeliling rumah. Saya tidak nafikan bahawa sekarang zaman sudah berubah namun perubahannya tidaklah sehingga menyebabkan adat dan budaya itu terus tenggelam dibawa arus pemodenan negara. Sekaya manapun seseorang itu, pasti rambutan, durian,budu, cencaluk dsb masih lagi menjadi juadah hariannya. Tetapi Al-Marhum telah membuktikan bahawa adat dan budaya serta kesenian Malaysia yang diwarisi oleh pelbagai kaum di Malaysia masih punya relevanannya dan mampu menerobos ke pasaran filem antarabangsa. Buktinya, karya Al-Marhum telah memasuki malah memenangi beberapa festival filem di luar negara.
Kendatipun begitu, saya juga terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa
" Alah, Yasmin ni tak habis-habis buat filem pasal cinta antara manusia yang berlainan bangsa dan agama, bosanlah"...
Bagi mereka yang berfikir secara realis, membuka minda dan berusaha mematangkan fikirannya dan tidak hanya terserah pada takdir untuk meneruskan kehidupan, sepastinyalah orang-orang ini akan mendapat sesuatu yang baru dalam setiap karya yang dinukilkan oleh Al-Marhum. Al-Marhum telah berjaya memanipulasikan sesuatu tema yang biasa menjadi begitu luar biasa. Cinta itu biasa namun garapan dan penyampaian yang dipersembahkan oleh Al-Marhum sangat luar biasa dan bisa meruntun hati setiap yang menontonnya. Janganlah dibandingkan karya Al-Marhum dengan cerita-cerita khayalan yang sememangnya tidak masuk akal sepertimana yang dipersembanhkan oleh para pengkarya Hollywood di Luar sana. Itu seolah-olahnya kamu mempersoalkan kenapa anak lelaki diberikan songkok sewaktu Hari Raya dan mengapa anak perempuan tidak diberikan songkok tetapi diberikan kain tudung. Dunia khayalan adalah dunia khayalan. Realiti adalah realiti. Perbandingan yang perlu dibuat perlu adil dan adil itu secara mudahnya bermaksud "meletakkan sesuatu perkara kena pada tempatnya". Jika dibandingkan karya Al-Marhum dengan transformer, spiderman, x-men itu sememangnya suatu perbandingan yang zalim.
Al-Marhum juga dari satu segi telah mengcungkil perasaan yang terpendam disesetengah jiwa masyarakat yang tinggal di Malaysia. Percintaan antara manusia berbeza bangsa dan agama sememangnya merupakan suatu percintaan yang sangat rumit. Adakalanya bangsa tidaklah serumit mana berbanding agama kerana bukan mudah untuk terus melanjutkan percintaan yang berbeza agama ke jinjang pelamin. Islam tidak menerima penganutnya berkahwin dengan pendukung Hindu begitulah juga sebaliknya malah hukuman berat bakal dihadapi oleh para pendukungnya andai kata perkahwinan itu diteruskan melainkan salah seorang antara mereka menganut salah satu agama dari keduannya (tetapi kalau keluar agama dan masuk agama lain, timbul pula masalah lain yang akhirnya menjadi kekecohan yang lebih besar. Lihat sahaja isu percintaan Natrah dengan Mansor Adabi dan juga kes Lina Joy). Maka mungkin atas maksud itu, filem Mualaf tiada dapat ditayangkan di negara ini walaupun isu yang dicetuskan oleh Al-Marhum merupakan suatu isu yang realiti dan ia bukan suatu rekaan yang sengaja diada-adakan malah isu-isu seperti ini pernah terjadi dalam liputan sejarah nasional negara ini seperti isu Natrah dengan cintanya Mansor Adabi yang menggemparkan Malaya sewaktu era sebelum merdeka dahulu. Mungkin barangkali mix marriages merupakan suatu utopia yang tidak akan berlaku di negara ini secara sah kerana agama penghalangnya. Kekacauan jiwa dalam sesetengah jiwa dan raga masyarakat negara ini telah cuba dipersoalkan dan dibangkitkan melalui beberapa karya Al-Marhum. (Kepada para insan yang arif dalam agamanya, tolonglah jangan hanya tahu memberikan kata "haram" tetapi berikalah alternatif lain agar setiap persoalan tiada tinggal hanya persoalan tanpa sebarang jawapan. Jawapan "haram" belum dapat menyelesaikan 1001 macam persolan yang timbul di alam fana ini.)
Selain itu, terdapat juga karya2 Al-Marhum yang mengingatkan saya tentang kisah lampau lebih-lebih lagi tentang masa kanak-kanak saya dan ianya menurut saya sangat beautiful sekali....
Berbalik kepada persoalan awal tadi. Siapakah Yasmin Ahmad?. Lelaki atau wanita. Pensyarah saya pula sewaktu saya membangkitkan perbincangan tentang karya-karya Yasmin, beliau berperwatakan agak kurang menyenangkan terhadap Yasmin Ahmad. Mungkin disebabkan beliau sangat berpendirian teguh dalam soal bahasa Melayu (pensyarah bahasa Melayulah katakan) sedangkan Yasmin pula dari satu segi dilihat agak menyanjung bahasa Inggeris dalam karyanya. Maka selantas itu jugalah, pensyarah saya berkata:
"Untuk menilai sesebuah karya, kamu juga perlulah mengkaji keperibadian si pemilik karya tersebut"......
Saya jadi tercenggang seketika. Saya tak rasa serangan terhadap peribadi seseorang perlu dieksplotasi untuk menilai karya seseorang. Yang perlu dinilai dan dikritik adalah karya seseorang bukannya keperibadiannya kerana setiap manusia itu sudah pasti punya dosa dan kelemahannya masing-masing. Saya dan tuan-tuan bukanlah Tuhan untuk mengadili seseorang samada ia baik atau jahat, syurga atau neraka, dosa atau pahala. Tuhan Maha Pengampun dan Tuhan Maha Pengasih serta Tuhan Maha Penyayang. Rahmat Tuhan luas dan besar. Si Jahat di mata manusia, Allah boleh masukkan ke syurga dan Si Baik di mata manusia, Allah juga boleh masukkannya ke neraka.
Jadi persoalan samaada Yasmin itu lelaki atau wanita, kita serahkan pada Allah yang Maha Kuasa dan kita doakanlah agar Al-Marhum sentiasa aman dan damai di kehidupan disebalik mata. Al-Fatehah buat Al-Marhum Yasmin Ahmad.
p/s Al-Marhum juga telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja bisa berkarya hebat walau tiada punya budjet yang banyak. Berkarya dengan apa yang ada. Bertindak dengan apa yang tersedia. Takkanlah nak tunggu bulan jatuh ke riba baru nak solat kan....(Penulisan @ percakapan untuk diri sediri)...
Filem arahan Al-Marhum:
- Rabun (My Failing Eyesight) (2003)
- Sepet (Chinese Eye) (2004)
- Gubra (Anxiety) (2006)
- Mukhsin (2007)
- Muallaf (The Convert) (2008)
- Talentime (2009)
Iklan komersial Al-Marhum:
- Petronas TV Commercial (for Chinese New Year, Hari Raya, Deepavali & National Day)
- Yuzy (2000) Petronas Road Safety Campaign
- Vas Dentures (2000) Celcom
- Tan Hong Ming In Love (2007) Petronas Merdeka Day commercial
- Family (2008) for the Singaporean Ministry of Community Development, Youth and Sports
- Funeral (2009) for the Singaporean Ministry of Community Development, Youth and Sports
Anugerah dan penghargaan:
- Malaysia Video Awards for Best Director (1999) - Forgiving Petronas commercial
- Association of Accredited Advertising Agents Malaysia's Golden Kancil Award for Best Advertising Agency (1999/2000)\
- Malaysia Video Awards silver award for Best Scriptwriting (2000)Yuzy Petronas Road Safety Campaign
- Malaysia Video Awards bronze award for Best Scriptwriting (2000)Vas Dentures Celcom
- Malaysian Film Festival awards for Most Original Story and Best Film (2005) Sepe
- Malaysia Film Festival awards for Best Screenplay and Best Film (2006) Gubra
- Berlin International Film Festival Grand Prix award by the Kinderfilmfest International Jury and Generation K-Plus Crystal Bear Special Mention (2007) Mukhsin
p/s Al-Marhum juga telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja bisa berkarya hebat walau tiada punya budjet yang banyak. Berkarya dengan apa yang ada. Bertindak dengan apa yang tersedia. Takkanlah nak tunggu bulan jatuh ke riba baru nak solat kan....(Penulisan @ percakapan untuk diri sediri)...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan