DEFINISI AURAT:
Aurat dari segi bahasa bermaksud segala perkara yang dirasakan malu (jika dilihatkan ,didedahkan) juga memberi makna a'ib,cacat,cela atau juga diterjemahkan sebagai lorong-lorong jalan di bukit. Manakala dalam Hadis:"Wanita itu adalah a'urat".( المَرْأةُ
عَوْرَةٌ ),Maksudnya wanita itu menjadi a'urat kerana dirinya adalah aurat bila ia menampakkan apa yang patut ia rasa malu seperti mana seseorang yang bila auratnya tersingkap terasa malu. (Lisanul A'rab.Jilid 4) . Dari segi syarak pula, aurat membawa makna sesuatu yang wajib ditutup atau sesuatu yang haram dilihat (Fiqh Al-Manhaji A'la Al-Mazhab Al-Imam Syafie',Jilid 1).
SUARA WANITA: APAKAH IA MERUPAKAN AURAT WANITA?.
Baru-baru ini rakan saya meminta pandangan saya berkenaan dengan soal ini. Maka dengan itu, saya memintanya sedikit masa untuk menjawab persoalan ini kerana saya perlulah mengkaji tema yang diminta untuk saya ulaskan. Soal suara wanita sama ada ia adalah aurat ataupun tidak merupakan suatu topik yang jika dilihat berdasarkan pada pandangan para ulamak sememangnya mempunyai khilaf atau perselisihan antara mereka. Namun, jumhur ulama mengatakan suara itu bukanlah aurat bagi wanita. Hal ini kerana, suara merupakan suatu elemen yang penting dalam kehidupan harian manusia. Hari ini, peranan wanita dan kepentingannya tidak sama seperti kurun-kurun yang lampau. Wanita juga dilihat merupakan unsur penting dalam segenap aspek kehidupan di muka bumi ini. Wanita berkehendakan pada bidang komunikasi untuk menjalani kehidupan hariannya. Wanita juga sememangnya terlibat dalam 1001 macam urusan muamalah dan ini secara langsungnya menuntut wanita itu mempergunakan suaranya.
Terdapat banyak dalil naqli yang menuntut suara dipergunakan dalam hal kehidupan manusia seharian dan ianya tidak terbatas hanya kepada lelaki bahkan ianya melibatkan semua mahkluk tuhan tidak kira lelaki ataupun wanita, kecil ataupun dewasa. Misalnya, dalam aktiviti jual beli (QS 2: 275; QS 4:29), hutang-piutang (QS 2:282),
sewa menyewa (ijarah) (QS 2:233; QS 65:6), memberikan persaksian (QS 2:282), menggadaikan barang (rahn) (QS 2:283), menyampaikan ceramah (QS 16:125; QS 41:33), meminta fatwa (QS 16:43), dan sebagainya. Ternyata semua aktiviti ini memerlukan elemen suara dipergunakan. Justeru itu, jika suara adalah aurat bagi wanita maka sepastinyalah wanita itu tiada hak dan kedudukannya dalam menjalani semua urusan yang disebutkan diatas.
Persoalannya kini, bagaimana pula dengan dalil yang berbunyi:
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (surah al-ahzab: 32)
Dalil naqli ini secara mudahnya menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang sederhana. Islam merupakan agama yang memudahkan para penganutnya dan juga menjadi pembela bagi para pendukungnya juga. Dalil ini secara jelasnya mahu memelihara iman para penganutnya dan selantas itulah suara-suara yang dipergunakan atas maksud dan jalan yang salah dan songsang dengan kehendak wahyu, maka secara langsungnya suara itu mendatangkan kepada isu dosa dan kemarahan tuhan. Suara-suara wanita yang diekplotasi untuk tujuan menggoda, merayu-rayu dan mendesak-desak para lelaki yang bukan mahramnya, maka suara yang semacam itu bukanlah suara yang seperti mana dikehendaki dalam Islam.
KESIMPULAN:
Jelasnya, suara itu bukanlah aurat bagi wanita berdasarkan situasi penggunaanya (penggunaan yang baik dan bermanfaat). Hal ini juga dapat dilihat berdasarkan pandangan Imam Al-Ghazali dalam karyanya yang berjudul Ihya yang mengatakan bahawa suara bukanlah aurat bagi wanita kecuali jika ia menyanyi. Manakala Al-Qurtubi pula berpendapat bahawa suara wanita bukan aurat kecuali bila ia memerdukan, melunakkan, melembutkan suaranya semasa berhubung dengan lelaki ajnabi. Suara itu akan memberi manfaat jika dipergunakan pada landasan yang benar seperti mana yang dikehendaki wahyu tetapi jika suara itu membawa mudarat maka secara tidak langsung ia menjadi suatu yang akhirnya membawa kepada kemunculan istilah "haram".
3 ulasan:
thanks beb...cilakek ari ti arsenal main...cm best je kn..!!
maaf. lari topik. ko mmg tkr font ke atau browser ak yang tetiba read font ko jd besar?
CIKGU
Catat Ulasan