Ahad, 30 Ogos 2009

NASI AMBANG (BERKAT)

Bulan Syaaban yang lalu, kami buat kenduri arwah kat surau dan "nasi ambang"
(BERKAT) telah dieksplotasi sebagai juadah hidangan kepada para jemaah surau yang hadir sewaktu upacara kenduri tersebut. Ruangan kali ini, saya ingin berkongsi serba sedikit tentang perihal "nasi ambang".


Nasi ambang ialah sejenis nasi yang dihidangkan pada masa seseorang itu membuat kenduri terutamanya pada bulan Syaaban sebelum kedatangan bulan Ramadhan. Nasi ini sangat popular di kampong, (semasa kenduri arwah), selepas masjlis Tahlil dan Doa Selamat. Nasi ini akan dihidangkan kepada tetamu yang diletakkan di dalam satu hidangan dan dicampur dengan lauk-pauk yang kering.


Pada kebiasaannya, sewaktu menghidangkan nasi ambang ini, tuan rumah akan menyertakan sekali dengan kertas surat khabar, daun pisang dan tali untuk membungkus juadah yang tidak habis dan dibawa pulang ke rumah untuk santapan anak-anak dan isteri.


Kebiasaannya, ketua-ketua keluarga yang hadir kenduri hanya memakan sedikit sahaja dan selebihnya sama rata dibahagikan dan dibawa pulang. Mungkin inilah yang dinamakan (Berkat) kepada anak dan isteri yang menunggu di rumah.


Bila ayah pulang ke rumah, ibu akan mengejutkan anak-anak yang sudah tidur untuk memakan makanan yang dibawa pulang tadi. Caranya ialah dengan membuka bungkusan tadi dan dimakan sekeluarga tanpa menggunakan pinggan.


Memang benarlah adat orang dahulu kalau bersedekah bukan sahaja bapa yang pergi kenduri dapat menikmati hidangan itu tetapi anak-anak yang di rumah juga dapat menikmati bersama.


Bagi orang kampong yang hidupnya miskin, inilah masanya untuk menikmati jamuan yang serba serbi lengkap dengan lauk ikan, ayam, sayuran dan sebagainya.


Berbalik kepada anak-anak yang sedang membesar, maka mereka pergi kenduri dan makan nasi ambang, apa yang dibuatnya ialah cuba sedaya upaya menghabiskan makanan tersebut (4 atau 5 orang sehidang) sehingga kadangkala habis dikerjakannya. Hendak dibungkus dibawa pulang, ayah telah mendapat satu bungkusan. Gelagat anak-anak muda ini (kami) hanya diperhatikan oleh orang tua dan mereka hanya berbisik sesama sendiri dengan perkataan:

"Hai, lapar benar budak-budak tu!"…

"Budak-budak muda, makan apa pun sedap"….

"Kita dulu macam itu juga"….

Inilah masa-masa yang indah untuk dikenang kembali.


Apa yang menghairankan kami, nasi ambang (berkat) tadi tidak pernah basi atau rosak walaupun telah dicampur adukkan. Biasanya nasi ini jika tidak habis dimakan bersama keluarga akan disimpan di atas dapur hingga pagi. Ibu akan menggorengkannya untuk dibuat bekalan anak-anak ke sekolah atau bapa bekerja..


KELEBIHAN NASI AMBANG (BERKAT)

  1. Tidak basi/busuk walaupun disimpan hingga keesokkan hari
  2. Dapat dirasa oleh isteri dan anak-anak di rumah walaupun tidak ke majlis kenduri
  3. Makan bersama keluarga. Ibu dapat membahagikan sama rata kepada anak sambil member tunjuk ajar dan nasihat pada anak-anak.
  4. Menceritakan hal-hal yang baik tentang si mati.
  5. Mengurangkan beban keluarga. (yang terlalu miskin).
  6. Niat tuan rumah sebagai sedekah dirasai oleh orang ramai. Bukan setakat mereka yang pergi kenduri sahaja.


BAHAN2 UTK MEMBUAT NASI AMBANG (BERKAT)

  1. nasi putih (8 pinggan penuh)
  2. ayam masak kicap / kari
  3. tempe goring
  4. sambal goring
  5. serunding
  6. mee jawa (mee goring berkicap)
  7. kentang goring ("tembong" panggilan orang jawa)
  8. ikan kering





Kesemua lauk dan nasi diletakkan dalam satu dulang, sedikit kuih-muih disertakan sebagai pencuci mulut. Semoga amalan ini tak luput dek zaman tak lekang dek hujan ya……

1 ulasan:

todaxx berkata...

aku ske entri ni..
teringt aku kt arwah atuk aku..
ble die pg kenduri..kteorg kt uma sume tggu die..
msing2 da ready nk melantak berkat 2..
huhu...
even dpt jamah sorg skit tp sgt best..
da lme aku x rse pngalaman 2...
ko mngingatkn aku ttg 2.. =)