Khamis, 27 Ogos 2009

Yang Tersurat & Tersirat disebalik Merdeka


Bulan Ogos bagi insan-insan yang melabelkan dirinya sebagai manusia ber "bangsa" Malaysia pastinya akan mempercayai malah meyakini bahawa bulan tersebut ialah bulan kemerdekaan bagi negara bangsanya itu. Malah boleh juga dikatakan bahawa orang-orang yang kononnya bernafas dibawah udara bangsa Malaysia itu meskipun dirinya tiada langsung mengerti sejarah realiti kewujudan negara bangsa ini pasti tanpa rasa segan silu mendakwa bahawa 31 Ogos itu merupakan tarikh kemerdekaan bagi bumi yang mereka huni ketika kala ini. Perihal ini lebih jelas dan nyata tampaknya dapat dilihat dalam sudut pemahaman yang kadangkalanya bukanlah dilihat sebagai suatu pemahaman tetapi tidak lebih daripada budaya ikut-ikutan yang sudah lama terpasak di benak dan sanubari generasi yang kelahirannya di bumi ini berlaku sekitar era pasca kolonial ataupun era pasca merdeka. Yang menjadi tanda tanyanya adalah punca yang menyebabkan barah ini berlaku. Subjek sejarah itu sudah dijadikan bacaan wajib yang barangkali "tarikh-tarikhnya", "tokoh-tokohnya", "kronologi-kronologinya" merupakan suatu "kewajipan" yang pasti untuk dihafal oleh para pengambil PMR dan SPM di negara ini. Maka dengan itu, tiada sebab para penghuni negara bangsa ini mengeluh resah dan gelisah akan kepincangan generasi mudanya tentang pengetauhan sejarah negara bangsanya itu. Apabila Ogos menjelma, slogan "Merdeka" lantang disuarakan tanda bumi ini bebas dan merdeka bak sang burung terlepas dari sangkar emasnya. Media sama ada cetak mahupun elektronik pasti menayangkan dan memaparkan seluas-luasnya didada-dada mediumnya itu sejarah perjuangan para pejuang kemerdekaan yang kemunculannya pada tahun 1946 dengan "Hidup Melayu" sebagai slogannya sehingga mungkin agaknya terlupa untuk memberitahu barang sesaat dua dan sebaris dua ayat tentang perjuangan para pejuang yang pernah muncul pada 1938 dengan "Merdeka" sebagai slogan perjuangannya.


Para penghuni negara bangsa Malaysia era pasca merdeka mungkin terlepas pandang agaknya tentang kewujudan Perlembagaan Rakyat namun yang pasti para penghuni itu akan mengetahui tentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu walau yang hanya diketahui tidaklah lebih dari sekadar namanya itu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. 1948 pula menurut mereka semacam suatu era yang akan membawa mereka ke jurang neraka. Bukan apa, takut terpakai "baju tak bertuhan" sedangkan mereka itu telah diasuh bahawa agama itu bukanlah candu sehingga mengkhayalkan para penganutnya. Tapi bagi sesiapa yang mengagung-agungkan 1948, nahaslah bagi dirinya sehingga akhir hayatnya. Yang peliknya, orang yang mengaji ilmu agama di "gunung" pun terpaksa menanggung sama azab 1948 itu. Bicara soal perpaduan antara kaum, Perikatanlah jaguhnya sehingga kewujudan Putera-Amcja terus lenyap perlahan-lahan dari ingatan generasinya yang mendatang.



Oh, ya!. Baru diri ini teringat. Negara ini bukan negara bangsa "Melayu" seperti mana yang diperjuangkan oleh para pejuang yang namanya sudah terhakis sekian lama dari sejarah yang kalau tiada dibuka lipatannya maka tiadalah diketahui akan kewujudan namanya itu. Jadi tiadalah perlu dipedulikan sejarah jenis ini. Biarkan ia terpadam secara perlahan malah lebih senang dibakar sehangus boleh. Lagipun pelaku sejarah jenis ini sudah kalah. Sejarah itukan hanya untuk golongan yang menang sahaja. Sementelahan itu, kita juga sudah punya rupa negara bangsa baru : Malaysia namanya. Ya, bangsa Malaysia. Rupa bangsa baru yang masih belum jelas lagi matlamatnya. Justeru itu, perjuangan kini adalah untuk mencari dan seterusnya memberi pengertian yang sebaik dan serelevan mungkin terhadap istilah ini. Ya, inilah fokusnya. Perjuangan negara bangsa Melayu itu sudah lapuk dan tiada sudah kena pada masa dan tempatnya. Maka buat apa perlu diperdendangkan lagi. Yang ada kini ialah perjuangan negara bangsa Malaysia yang dilihat kehadapan sifatnya. "Jalan mesti ke depan, bukan ke belakang, tak gitu".

Tiada ulasan: