Ahad, 2 Ogos 2009

FILEM GADOH & 1MALAYSIA: SATU SLOGAN TAPI LAIN MAKNA


Semalam saya bersama dua rerakan saya lain pergi menyaksikan suatu wayang terbitan KOMAS (Pusat Komunikasi Masyarakat) di studio PTPM. Wayang tersebut berjudul Gadoh yang jangka masanya berdurasi 70 minit. Sudah saya katakan, janganlah kalian mengharapkan sesuatu yang canggih dalam wayang sebegini rupa kerana wayang semacam ini dibikin dengan modal yang amat terbatas peruntukkannya atau dalam bahasa mudahnya "filem tak cukup budget". Slogan "Aku Bangsa Malaysia" yang terpampang dalam poster filem ini sedikit sebanyak bertepatan dengan suasana iklim tanahair ini pada ketika ini. Hal ini kerana, pembikinan filem ini semacam mahu menyambut dan menyokong aspirasi konsep 1 Malaysia yang cuba dicanang-canangkan oleh Perdana Menteri Ke-6 Malaysia iaitu YAB Dato Sri Mohd  Najib Tun Abdul Razak. Kalau kita menelurusi wayang ini dengan sedalam-dalamnya dan semahu-mahunya, kita akan disajikan dengan babak-babak yang menyelongkar perasaan dan jiwa segenlintir manusia yang hidupnya dengan label bangsa Melayu, Cina dan India di bumi bernama Malaysia ini. Namun, yang banyak disentuh dalam wayang ini adalah pertelingkahan Melayu dan Cina yang mana pertelingkahannya dan perasaan ketidakpuashatiannya disampaikan melalui dialog-dialog yang pada saya merupakan himpunan dialog yang jujur dan dilemparkan oleh Melayu kepada Cina dan begitu jugalah sebaliknya tanpa sebarang tapisan. Manakala label India yang diwakili oleh pelajar bernama "Raj"pula digambarkan sebagai suatu bangsa yang amat minoriti di tanah air ini dan disebabkan oleh keminoritianya itu jugalah watak ini sering kali sahaja menjadi mangsa "melepas geram" oleh bangsa Melayu dan Cina apabila kedua-dua bangsa ini bertikam lidah dan akhirnya membawa kepada pergaduhan. Maka bagi mengatasi permasalahan yang sudah lama ditahan-tahan jauh di lubuk sanubari ketiga-tiga bangsa ini, maka sang pengarah berusaha mencari suatu solusi dan solusi itu adalah dengan menggunakan seni sebagai medium penyatuan antara tiga, opss bukan tiga tapi dua bangsa yang bergelut ini. Yang ketiga itu pada saya hanyalah satu watak yang disampingkan bersesuaian dengan realiti yang harus kamu akui hari ini. Dan seperti yang kita sedia maklum, sudah sepastinyalah usaha penyatuan melalui medium seni teater itu berjaya dilaksanakan. (Biasalah, cerita-cerita yang bersifat perjuangan, berusaha bersungguh-sungguh akhirnya kejayaan yang dikecapi). Tetapi harus diingat bahawa slogan "Aku Bangsa Malaysia" dilihat cuba digunapakai oleh sang pengarah dengan hasrat kaum-kaum di Malaysia ini tidaklah lagi dilabel sebagai "Melayu", "Cina" dan "India" sebaliknya mereka ini perlu dilabel sebagai bangsa "Malaysia". Tetapi yang anehnya, filem ini dilarang untuk sesi tayangan di panggung-panggung wayang sedangkan kemunculannya bersesuaian dengan slogan 1 Malaysia yang dibawa oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Kenapa perkara ini berlaku? Adakah konsep bangsa Malaysia yang dibawa YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berbeza dengan kefahaman konsep bangsa Malaysia yang cuba dimengertikan oleh Brenda Danker dan Namron. Jadi persoalannya kini, apakah bangsa Malaysia yang cuba disampaikan oleh Brenda Danker dan Namron?. Adakah Brenda Danker dan Namron mahukan Cina, India dan Melayu itu yang berdiri dan duduk sebagai bangsa "Malaysia" diberikan hak dan kedudukan yang sama rata dan sama rasa tanpa mempedulikan warna kulit, rupa bangsa, darah keturunan dan latar belakang sejarah seperti mana sistem yang telah lama diamalkan sebelum ini?. Mungkin persoalan ini boleh dijawab melalui dialog-dialog yang dituturkan dalam wayang ini seperti misalannya:


 

" Orang Melayu bodoh pun boleh masuk U".

"Orang Melayu semuannya dapat free".


 

Mungkin sang pengarah melihat, bangsa Cina itu dengkikan Melayu kerana Melayu itu punya keistimewaan yang dikenali sebagai "Hak Istimewa Orang Melayu". Kalau inilah persoalan yang cuba "diungkit" oleh sang pengarah ternyata sang pengarah secara sedar sudah membawa dirinya ke jurang kebinasaan dan ternyata sang pengarah bukanlah mahkluk yang wajar bercakap soal perpaduan dan penyatuan antara kaum di bumi Malaysia ini. Hal ini kerana, setiap orang di Tanah Melayu mempunyai hak-hak dan kewajipan yang sama, namun, rakyat yang berketurunan Melayu mempunyai hak yang istimewa berbanding bangsa lain di Tanah Melayu. Hak-hak istimewa orang Melayu ini bukan merupakan peraturan baru, malahan hak-hak ini telah tercatat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan perjanjian-perjanjian ini telahpun diamalkan di negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu sebelum perang lagi.


 


 

5 hak orang Melayu itu adalah:

1. Raja berpelembagaan
2. Agama Islam
3. Bahasa Melayu
4. Hak istimewa orang Melayu
5. Kerakyatan


 


 

Isi kandungan Hak-hak istimewa orang Melayu

Tanah untuk Orang Melayu

Hak untuk orang Melayu mendapat tanah dengan kebenaran oleh Kerajaan Negeri (kerana pembukaan tanah adalah dibawah kawal-selia Kerajaan Negeri). Kerajaan Negeri boleh membuka tanah khas untuk Melayu dengan syarat Kerajaan Negeri juga memperuntukan pembukaan tanah bagi orang ramai yang serupa, luas tanah untuk orang Melayu tidak boleh melebih luas tanah orang ramai.


 


 

Jawatan dalam Kerajaan

Jawatan-jawatan kanan dalam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, mestilah diperuntukan pada nisbah yang tertentu untuk orang Melayu.


 


 

Peruntukan biasiswa

Peruntukan biasiswa atau bantuan yang lebih banyak untuk kepada penuntut-penuntut Melayu


 


 

Bantuan Ekonomi

Peraturan hendaklah dibuat untuk memboleh orang Melayu mendapat lesen-lesen atau kebenaran-kebenaran tertentu bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti perusahan dan aktiviti ekonomi lain.

Hak-hak istimewa orang Melayu adalah dibawah perlindungan Yang di-Pertuan Agung. Yang di-Pertuan Agung hendaklah mendengar nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, dan segala perubahan baharu berdasar hak-hak istimewa orang Melayu adalah berdasarkan persetujuan Raja-raja Melayu. Hak-hak istimewa orang Melayu di negeri-negeri Melayu adalah terjamin selain daripada hak-hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.


 

Nah, ini merupakan suatu isu yang tidak perlu digembar-gemburkan lagi kerana isu ini sudah pun diselesaikan sejak dulu lagi dan kaum bukan Melayu sepatutnya tidak lagi mempersoalkan hal-hal yang berkaitan dengan Hak Istimewa Orang Melayu. Malah kaum bukan Melayu sepatutnya lebih jelas dengan sejarah mereka di Tanah Melayu ini iaitu dalam soal bagaimana kemurahan hati kaum Melayu sanggup memberikan kewarganegaraan kepada mereka.


 


 

Kemudian, soal konsep 1Malaysia pula. Apakah pula maksud tersirat dibalik istilah ini?. Adakah ianya merupakan suatu formula yang bertujuan untuk menyatukan ketiga-tiga bangsa ini kepada suatu nama bangsa baru iaitu bangsa "Malaysia". Kalau itu lah yang cuba direalisasikan, adakah bangsa "Melayu" akan hilang haknya dan terpaksa berkongsi segala-galanya dengan cara sama rata bersama bangsa-bangsa yang lain terutamanya "Cina" dan "India". Adakah pelaksanaan 1Malaysia ini menguntungkan bangsa Melayu yang sememangnya dari sudut sejarah merupakan penghuni asal tanah air ini atau kerugian pula yang bakal menjenguk mereka?. Kalau dikaji balik, istilah bangsa Malaysia bukanlah suatu yang baru malah isilah "bangsa Malaysia" ini telah pun diisukan sejak nama 'Malaysia" itu diwujudkan ditanah air ini. Namun, kalau diteliti sedalam mungkin, bangsa Malaysia itu tidaklah bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.


 


 

Kendatipun begitu, ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa 1Malaysia (bangsa Malaysia) ini tidak ubah seperti mana konsep Malaysian Malaysia yang dicanang-canangkan oleh Lee Kuan Yew iaitu ketua Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan manifestasi slogan itu seterusnya disambung oleh DAP yang mana matlamatnya antara lain adalah bertujuan menuntut hak sama rata bagi semua kaum yang menghuni bumi Malaysia ini dengan slogan popularnya yang berbunyi "sama rata,sama rasa". Namun 1Malaysia kalau difahami tidak seperti mana yang diperjuangkan dalam konsep "Malaysian Malaysia".


 


 


 

Hal ini kerana, "Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu  menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud  buat sekian lama.  Keadilannya diambil secara membuta tuli  dengan mengambil konsep kesamarataan versi total.  Tetapi  konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat  dalam ruang lingkup yang berbeza". Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia  juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa  Malaysia.  Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya  terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti  dan sejarah negara Malaysia.

Walaubagaimanapun,konsep bangsa Malaysia itu dari satu segi telah menggagalkan perjuangan para pejuang kebangsaan Melayu sebelum era merdeka. Hal ini kerana, para pejuang kebangsaan Melayu dahulu berusaha keras untuk menjadikan istilah "Melayu" sebagai suatu rupabangsa bagi setiap yang menghuni di tanah air ini tanpa mengira darah keturunan seseorang itu samaada Cina ataupun India. Istilah "Melayu" cuba diguna pakai suatu elemen penting yang bertujuan untuk menyatukan kaum-kaum yang terdapat di Tanah Melayu dan barangkali jika hal ini berlangsung maka kekacauan-kekacauan yang berlaku lewat hari ini mungkin tidak akan terjadi. Perkara ini dapat difahami dengan mengkaji isi kandungan Perlembagaan Rakyat yang cuba diusulkan pada tahun 1947 sebagai wadah kepada pembinaan negara bangsa Melayu setelah mengecapi kemerdekaan namun sayangnya usul Perlembagaan Rakyat ini ditolak mentah-mentah.

ISI KANDUNGAN PERLEMBAGAAN RAKYAT 1947

1.Malaya disatukan termasuk juga Singapura


 2.satu badan perundangan pusat ditubuhkan untuk seluruh Tanah Melayu


 3.kesama-rataan dalam soal politik diberikan kepada penduduk yang menganggap Tanah Melayu sebagai tanah tumpahnya dan akan setia terhadap Tanah Melayu


 4.Sultan-Sultan Melayu berperanan sebagai raja yang berdaulat dan berfungsi sebagai raja berperlembagaan serta menerima nasihat dari rakyat dan bukannya menjadikan British sebagai penasihat


 5.hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan hal-ehwal adat-istaiadat orang Melayu diletakkan sepenuhnya dibawah kawalan dan tanggungjawab orang Melayu


 6.perhatian yang khusus dan istimewa perlu diberikan kepada soal kemajuan orang Melayu.


 

7.Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi masyarakat Tanah Melayu,


 8.pertahanan Tanah Melayu dan urusan luar negeri diuruskan oleh Kerajaan Malaya dan Kerajaan Inggeris


 9.istilah "MELAYU" digunakan sebagai rupa bangsa yakni kewarganegaraan bagi penduduk Tanah Melayu


 10.bendera kebangsaan hendaklah berwarna merah di atas dan putih di bawah.


 

Kalau dikaji isi kandungan ini, ternyata ianya tidak merugikan bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu kerana Melayu sememangnya mempunyai hak-haknya yang terjamin sebagai penghuni asal tanah ini manakala bagi bukan Melayu yang enggan menerima isi kandungan ini, maka mereka tiada perlu diberikan hak politik dan kewarganegaraan di tanah air ini. Namun sayangnya usul ini tidak diterima, maka ianya terus berkubur dan dari satu segi telah menggagalkan perjuangan kebangsaan para pejuang kemerdekaan dahulu kerana nasionalisme Melayu bukanlah suatu ideologi nasionalisme yang bersifat perkauman yang sempit malah ianya bersifat unik iaitu selain bersifat progresif dan anti-imperialis serta ianya juga bersifat tidak perkauman. Kegagalan konsep nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh para pejuang kebangsaan ini juga dilihat menjadi semakin gagal apabila konsep bangsa Malaysia direalisasikan.


 


 


 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sebenarnya movie ni dah lama buat sebelum najib jadi pm