JUDUL: TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
PENULIS: HAMKA
PENERBIT: PSN PUBLICATION
HARGA: RM 16
"Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick" merupakan karya HAMKA yang kedua aku baca. Karya ini aku baca usai aku membaca karya HAMKA yang berjudul "Merantau Ke Deli". Bagi yang serius dalam bidang sastera penulisan, sepastinyalah telah lama membacanya. Tidak seperti aku yang pada usia setua begini baru sahaja membacanya.
Novel ini merupakan antara karya HAMKA yang popular. Sepertimana Merantau Ke Deli, novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick ini juga turut mengambil latar budaya Minangkabau sebagai latar sisi belakang penceritaannya yang melibatkan pelaku watak dan tempat.
Dalam kedua-dua karya HAMKA yang aku baca ini, seolah-olahnya penulis mahu menceritakan dan mempersoalkan permasalahan adat Minangkabau dalam realiti kehidupan manusia terutamanya pertembungan kepentingan adat dengan keterbukaan perubahan dan peredaran zaman.
Watak utama dalam novel ini adalah Zainuddin dan Hayati. Kisah cinta 2 anak muda. Kisah cinta uda dan dara. Kisah cinta terhalang. Kisah cinta terlarang. Terhalang dan terlarang bukan disebabkan melanggar batas syariat agama. Tetapi norma adat yang telah dipegang sekian lamanya Orang Minang.
Larangan dan halangan ini disebabkan dalam budaya Orang Minang, mereka hanya menerima menantu yang mana ibu bapanya terdiri daripada Orang Minang. Sekiranya salah satunya bukan dari Orang Minang, maka ia sesuatu yang agak sukar diterima.
Hal inilah yang menimpa ke atas Zaiuddin. Ayahnya memang merupakan Orang Minang tetapi ibunya adalah Orang Mengkasar. Maka atas sebab itulah, hubungan cinta antara Zainuddin dan Hayati tidak membawa ke jinjang pelamin.
Penceritaan dalam novel ini dipaparkan secara berkronologi dan dengan cara itu ia memudahkan pemahaman pembaca.Ianya dimulai dengan memperkenalkan tentang siapakah Zainuddin. Penceritaannya dilakukan dengan menyatakan tentang siapakah bapa Zainuddin iaitu Pandekar Sutan sebelum dia berkelana ke bumi Mengkasar sehingga berkahwin dengan gadis di sana.Lantaran disebabkan ibunya yang bukan berdarah Minang inilah kemudiannya menyebabkan hubungan cinta Zainuddin-Hayati tidak kesampaian.
Setelah bapanya meninggal dunia, Zainuddin membuat keputusan untuk pergi ke tanah asal ayahnya iaitu di bumi Minang yang bertempat di negeri Batipuh.Kedatangan Zainuddin ke Batipuh, bukanlah suatu yang mendatangkan tuah kepada dirinya. Dia dianggap sebagai "orang asing" atau "orang luar" lantaran darah ibu Mengkasar yang diwarisinya.
Di bumi Batipuh, beliau berkenal dengan seorang gadis Minang bernama Hayati. Hubungan yang pada awalnya dimulai dengan pandang pertama berlanjutan ke fasa lanjut iaitu berutus surat.Dari surat membawa kepada pertemuaan.
Perbuatan utus-mengutus surat dan seringkali bertemu untuk kemudiannya tidak disenangi oleh orang kampung. Akhirnya, Zainuddin diminta keluar dari kampung manakala Hayati pula diberhentikan dari bersekolah.
Zainuddin membawa dirinya. Seolah-olah di dunia ini tiada ruang dan tempat untuknya. Jika di Mengkasar, beliau dianggap "orang luar" lantaran darah ayahnya yang berdarah Minang manakala di bumi Minang pula dianggap juga "orang luar" disebabkan darah Mengkasar ibunya.
Beliau kemudiannya ke Padang Panjang. Di situ, Zainuddin menuntut pelajaran dari pelajaran agama, bahasa Inggeris, Bahasa Belanda selain dalam pada masa yang sama turut belajar muzik kerana menurutnya muzik itu menghaluskan perasaan.
Meskipun berada di Padang Panjang, hubungan antara dua kekasih itu tetap terus berjalan menerusi surat.
Suatu hari, ada upacara di Padang Panjang iaitu upacara pacu kuda dan pasar malam. Hayati diberi keizinan untuk ke sana dengan menumpang rumah sahabatnya yang bernama Khadijah.
Di upacara tersebut, kedua-duanya bertemu tetapi dalam tempoh yang singkat tanpa wujud bibit-bibit melepaskan rindu. Zainuddin tidak dapat menerima perubahan Hayati dari sudut pakaian terutamanya perbuatan Hayati yang menanggalkan tudungnya. Asalnya itu bukan kehendak Hayati tetapi desakan kawannya, Khadijah yang berpandangan bahawa wanita sepatutnya berkembang dan berubah mengikut perubahan zaman.
Semenjak dari upacara pacu kuda dan pasar malam di Padang Panjang itu berlakulah perubahan dalam perhubungan Zainuddin-Hayati. Bukan disebabkan teguran dan ketidaksukaan Zainuddin terhadap perubahan dari segi pakaian Hayati.Khadijah, kawan Hayati cuba menjodohkan Hayati dengan abangnya yang bernama Aziz. Akhirnya usaha itu berjaya meskipun Zainuddin sudah berusaha sehabis mungkin untuk memiliki Hayati. Zainuddin jatuh sakit. Kemudian bangkit menghadapi realiti.
Ditemani saudara angkatnya bernama Muluk, Zainuddin ke Tanah Jawa. Memulakan hidup baru.Bermula dengan mengarang hikayat yang dihantar ke surat khabar sehingga Zainuddin akhirnya berjaya membuka penerbitan sendiri. Dengan menggunakan nama pena "Z" akhirnya karya tulisan Zainuddin digemari ramai.
Berkenaan Hayati pula, perkahwinanya dengan Aziz tidak sebahagia seperti awal-awal perkahiwnan lebih-lebih lagi semenjak keduanya berpindah ke Surabaya. Aziz kembali ke perangai lama. Suka berfoya-foya.
Suatu hari Zainuddin-Hayati bertemu. Bertemu di pertunjukkan sandiwara Zainuddin yang menghimpunkan anak-anak Sumatera di Surabaya. Pertemuaan itu berjalan dengan aman tanpa sebarang dendam bahkan berikutnya wujud hubungan baik antara Zainuddin dengan Hayati-Aziz.
Sikap Aziz yang gemar berfoya-foya akhirnya mendatangkan celaka kepada dirinya. Dia dibuang kerja dan akhirnya terpaksa menumpang di rumah Zainuddin. Berikutnya Aziz mahu merantau mencari kerja dan meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin. Tidak lama selepas pemergian, datang surat daripada Aziz kepada Zianuddin dan Hayati. Aziz melepaskan Hayati bagi diperisterikan kepada Zainuddin. Semasa surat itu sampai ditangan Zianuddin, surat khabar melaporkan bahawa Aziz mati membunuh diri.
Meski rasa cinta terhadap Hayati masih menebal namun Zainuddin tidak dapat menerimanya. Padanya kata "maaf" sungguh tidak cukup adil untuk melupakan segala kesengsaraan dan keperitan cinta yang dihadapinya selama ini.Zainuddin memutuskan agar Hayati pulang sahaja ke pangkuan keluarganya. Hayati pulang dengan menaiki kapal Van Der Wjick.
Sepertimana tajuknya, akhirnya kapal itu tenggelam. Hayati dimasukkan hospital dan kemudian meninggalnya disisi Zainuddin.Sebelum Hayati menaiki kapal Van Der WEjick, suatu surat telah ditinggalkan kepada Zainuddin. Membaca isi surat itu, hati Zainuddin berubah, namun penyesalannya itu sudah terlambat dan Hayati telah meninggalkannya selama-lamanya.
Tidak lama setelah kematian Hayati, berita tentang Zainuddin si pengarang hebat itu kurang diketahui orang. Tiba-tiba muncul berita di khabar bahawa Zainuddin meninggal dunia. Jenazahnya dimakam kan disebelah pusara Hayati. Beliau mati sewaktu sedang menulis. Ayat terakhir yang sempat ditulisnya adalah
"... dan akan tercapai juga kemuliaan bangsaku, persatuan tanah airku. Hilang perasaan perbezaan dan kebenciaan dan tercapai keadilan dan bangsa".
Begitulah cerita tentang pencintaan uda dan dara yang tidak kesampaian sehingga akhirnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan