Rabu, 4 Jun 2014

MERANTAU KE DELI - HAMKA





Ahad baru ini iaitu pada 1 Mei 2014 aku ke  Queensbay.  Aku ke sana ditemani Faiz lantaran disebabkan kecacatan dan ketempangan kaki aku yang perlu bertongkat. Jika tidak cacat dan tempang, aku mungkin hanya sendirian sahaja membeli-belah di Queensbay.  Tujuannya adalah untuk membayar bil internet di P1 Wimax, membeli alat kelengkapan diri di Watson dan membeli belah 4 helai baju t-shirt di FOS. Kesemua ini tidaklah sangat menterujakan aku.  Yang menterujakan aku adalah membeli-belah di Borders. Membeli-belah buku dengan menggunakan baucer buku yang diberikan pihak kerajaan menerusi skim Baucer Buku 1Malaysia. Jumlah keseluruhan baucer tersebut adalah RM 250.  Buat masa ini aku baru sahaja menghabiskan nilai baucer berjumlah RM 100.  Dengan nilai baucer RM 100, aku dapat membeli 6 buah buku.  6 buah buku tersebut adalah berjudul "Merantau Ke Deli", "Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick", "Sitora Harimau Jadian", "Yang Nakal-Nakal", "Nazi Goreng" dan "Nyanyi Sunyi".  Untuk kesemua buku ini aku hanya perlu tambah RM 16 sahaja duit dari kocek aku.  Itupun setelah aku diberi diskaun kerana mempunyai kad siswa 1Malaysia.


Sebelum ke Borders, aku sudah pun merancang untuk membeli beberapa buah buku yang sudah pun aku kenal-pasti judulnya.  Namun sayangnya, judul buku yang aku inginkan itu sudah pun habis.  Disamping itu juga, aku perhatikan buku-buku di Borders pada ketika itu tidak banyak pilihan.  Mungkin disebabkan buku-bukunya sudah laris terjual disebabkan ramai pelajar yang telah menggunakan baucer buku di sana. Aku sebenarnya mahu beli buku novel 'And The Mountains Echoed" karya Khaled Hosseini dan juga buku Quran and Cricket: Travels Through the Madrasahs of Asia and Other Stories" karya Dr. Farish Ahmad Noor.  Khaled Hosseini, aku sudah pun membaca karyanya yang lain iaitu "The Kite Runner", begitu juga dengan karya Dr. Farish Ahmad Noor menerusi "Di Balik Malaysia: Dari Majapahit Ke Putrajaya".  "Di Balik Malaysia: Dari Majapahit ke Purtajaya" adalah merupakan hadiah dari si dia sewaktu hari ulang tahun aku. Dah cukup!. Titik!. Noktah!. 


Entri kali ini aku nak kongsi sikit pembacaan aku tentang novel "Merantau Ke Deli".  Sebenarnya banyak buku yang telah aku baca tetapi masih lagi tidak sempat aku ulaskan di blog ini. Moga-moga ianya dapat direalisasikan kelak.

"Merantau ke Deli" adalah merupakan karya novel HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Satu sosok yang tidak asing dalam dunia penulisan apatah lagi dunia keagamaan.

Novel ini menampilkan 2 watak utama iaitu Ayu Poniem dan Leman. Novel ini bolehlah dikatakan ringan sahaja kerna penceritaannya disampaikan secara literal meskipun terdapat beberapa persoalan berat yang cuba disampaikan. Namun, persoalan berat tersebut disampaikan oleh penulis secara mudah dan atas sebab itu isi matlamat penceritaannya mudah difahami.  Ianya tidak seperti aku membaca koleksi cerpen yang berjudul "Namaku Epal Kuning" karya Roslan Jomel yang sangat rumit dimengertikan dan difahami isi penceritaannya.  Dari nama judulnya sahaja sudah dapat diketahui betapa abstrak karyanya itu.  Epal berwarna kuning?...Roslan Jomel merupakan penulis yang menulis di luar kerangka masa dan tempat.  Kerna itu, memahami karyanya itu adakalanya tidak harus didasarkan pada kelogikan akal.





Ok berbalik kepada novel Merantau Ke Deli. Ceritanya berkenaan kehidupan berumah tangga antara seorang gadis Jawa dengan seorang jejaka Minang.  Ayu Poniem mewakili gadis jawa manakala Leman mewakili jejaka Minang.  Penceritaannya dimulai dengan cara memperkenalkan watak dan latar tempat dimana watak tersebut berada.  Ayu Poniem itu diterangkan pada awalnya merupakan gadis yang telah ditipu oleh kekasihnya. Kekasihnya itu dalam erti kata mudah telah menjual Ayu Poniem agar bekerja di kebun di Deli.  Suatu pekerjaan yang sukar dan memeritkan.  Namun, disebabkan Ayu Poniem itu punya sedikit paras rupa, dia akhirnya tidak bekerja di ladang tetapi menjadi perempuan simpanan kepada mandurnya meskipun perbuatan itu tidak disukainya sendiri.


Leman pula merupakan lelaki Minang yang kerjanya menjual kain-kain kepada para pekerja kebun. Dia tertarik pada Ayu Poniem dan kemudiannya merancang untuk menikahinya.

Setelah kedua-duanya bersetuju,Leman pun melarikan Ayu Poniem dari majikannya dan berjanji untuk hidup semati bersama.  Janji Leman adalah seperti begini:

"Oh Poniem, saya tidak mahu begitu, saya mahu kahwin. Saya berjanji sepenuh bumi dan langit akan memeliharamu, akan membelamu.  Tidakkah saya mengharapkan harta bendamu, melainkan mengharapkan dirimu.  Sungguh Poniem, saya bukan seorang penipu!.  Saya akan menaanggung segala penghinaan dan cacian, buat kau Poniem!.  Biar kaum kerabat saya membusukkan saya, saya akan hidup dengan engkau dan dalam hiduphidup dengan engkau itu, saya tidak akan meminta kepada mereka, saya tidak akan mengemis, engkau.... kalau tidak boleh bercerai dengan saya lagi".





Konflik cerita ini dicetuskan menerusi pertembungan budaya yang berbeza iaitu budaya Jawa yang diwakili Ayu Poniem dan budaya Minang yang diwakili Leman.  Awalnya perkahwinan mereka aman, damai dan bahagia segala.  Perniagaan yang diusahakan bersama juga berjalan lancar dan harmoni.

Walaubagaimanapun, titik mula konflik bermula setelah Leman membawa isterinya pulang ke kampung halamannya.


Ayu Poniem meski diterima dengan baik oleh keluarga suaminya, namun disebabkan Ayu Poniem itu tidak berdarah Minang, maka bermulalah konflik dalam cerita novel ini.

Disebabkan Ayu Poniem bukan berdarah Minang, maka keluarga Leman mencadangkan agar Leman brkahwin seorang lagi dengan gadis kampungnya yang bernama Mariatun.  Walau perit diterima, namun Ayu Poniem meredhakan pernikahan tersebut.

Beristeri 2 bukanlah suatu hal yang mudah. Poligami adakalanya membutakan hati seorang lelaki. Poligami adakalanya menyebabkan emosi mengatasi logika. Poligami adakalanya mentelanjurkan batas kewarasan lelaki. Poligami sering mendahulukan dan memenangkan yang muda dan dalam pada masa yang sama mengabaikan dan mengalahkan yang tua.  Itulah yang terjadi pada Leman sehingga akhirnya memungkiri janji yang pernah dilafazkannya dahulu sebelum menikahi Ayu Poniem.  Ayu Poniem diceraikan bukan dengan talak satu tapi talak tiga.

Ayu Poniem kemudiannya membawa diri bersama pembantunya iaitu Suyono yang juga merupakan Orang Jawa.  Suyono ikut membawa diri bersama Ayu Poniem lantaran disebabkan makian Leman ke atas Ayu Poniem yang berbaur sentimen perkauman atau keetnikan.  Leman sewaktu memarahi Ayu Poniem telah berkata seperti begini:

"Kau boleh pergi dari sini! Kau orang Jawa! Boleh turutkan orang Jawa, kau boleh kembali ke kebun! Sebelah mata saya tidak boleh memandang pada kau lagi. Pergilah dari sini, mulai sekarang saya jatuhkan kepada kau talak tiga sekali. Pergilah!".


Semenjak dari itu, terpisahlah antara pasangan suami isteri itu.  Tempoh 3 tahun berikutnya menentukan nasib masing-masing dan juga boleh dikatakan penzahiran pembalasan Tuhan atas perbuatan dan nasib suami isteri itu.  Leman akhirnya mengalami kehidupan sukar dan memeritkan.  Dari punya kedai perniagaan akhirnya terpaksa berbasikal sahaja menjaja kain jualan.  Kejatuhan hidupnya juga didorong amalan adat minangkabau yang dipegangnya.  Dalam adat minangkabau atau juga dikenal sebagai adat perpatih, perempuan mempunyai kedudukan istimewa. Hal ini kerana, adat minangkabau mementingkan nasab yang berkonsep matrilineal iaitu nasab sebelah ibu lebih penting dan utama daripada nasab sebelah lelaki atau bapa. Si suami perlu menyediakan tanah dan rumah buat isterinya di kampung.  Ini membuatkan Leman terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk tujuan itu.  Selain itu, dalam adat Minangkabau, yang memegang rumah tangga ialah isteri.  Suami itu dilihat hanya sebagai "sumanda" iaitu orang lain yang datang ke rumah itu lantaran dijemput menurut adat. Suami tidak punya kuasa yang penuh ke atas isterinya kerana kuasa besar ke atas isterinya itu adalah pada emak si isteri. Sepertimana yang dikatakan oleh Leman:

"Adat kami Poniem, menurut adat kami orang perempuan harus tahu selesai sahaja.  Orang perempuan hanya menerima yang bersih.  Dia tidak perlu menghiraukan kesusahan suaminya, yang perlu baginya hanya menanakkan nasi supaya suaminya tidak lapar, menyediakan teh dan mencuci kain bajunya.  Kerja orang lelaki mencarikan dia wang, membuatkan rumah, mencarikan tambahan sawah ladangnya. Kalau pekerjaan itu berhasil, dia boleh pulang dengan bangga.  Kalau tidak, dia akan pulang juga dan suaminya akan terus berusaha.  Dia akan pulang oleh kerana dijemput emaknya".


Berbeza pula nasib yang menimpa Ayu Poniem.  Tuhan telah membalas dan menganjarkannya dengan hal yang baik.  Ayu Poniem kemudiannya berkahwin dengan Suyono.  Pasangan itu kemudiannya berusaha mengecapi kehidupan yang lebih baik.  Berusaha meningkatkan taraf ekonomi mereka.  Akhirnya kebahagian diperoleh pasangan ini.


3 tahun berikutnya, Ayu Poniem dan Leman bertemu kembali tetapi dalam keadaan yang berbeza dengan nasib hidup yang berbeza.  Suatu keterbalikan barangkali boleh dikatakan.  Kalau 3 tahun dahulu, Leman itu senang tetapi kini melarat manakala sebaliknya bagi Ayu Poniem jika 3 tahun dahulu melarat kini hidupnya sedikit senang dan bahagia.  Meskipun begitu, pertemuaan antara kedua-dua bekas pasangan suami isteri ini tidaklah diwarnai dengan suasana dendam tetapi diakhiri oleh penulis dengan suasana harmoni dan bermaaf-maafan.  Klise cerita novel Melayu.



Judul: Merantau Ke Deli

Penulis: HAMKA

Penerbit: PSN PUBLICATIONS SDN.BHD.

Harga: RM 14











Tiada ulasan: