Khamis, 12 Jun 2014

SITORA HARIMAU JADIAN - P.RAMLEE




-"Ironiknya, apabila kebanyakan peminat P.Ramlee di Malaysia bernostalgia mengenai filem-filemnya, mereka sebenarnya bernostalgia mengenai Singapura, tempat di mana 16 filem arahannya yang pertama - dari Penarik Becca (1955) ke Tiga Abdul (1964) dibuat. Sebagai perbandingan, kebanyakan daripada 18 filem yang diarahnya di Malaysia tidak begitu popular"- ( Pengenalan Buku Fixi).



29 Mei 1973, Malaysia kehilangan seorang seniman yang terulung iaitu Al-Marhum Teuku Zakaria B. Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali sebagai P.Ramlee. Sehingga ke hari ini, boleh dikatakan bahawa tiada lagi individu yang dapat menggantikan tempat dan peranan yang ditinggalkan oleh P.Ramlee.  Hal ini kerana, P.Ramlee merupakan suatu sosok yang mempunyai pelbagai bakat.  Bakat beliau meliputi pelbagai bidang iaitu menyanyi, berlakon, mengarah, menulis lagu dan juga mengubah lagu.  

Usai aku mengkhatamkan pembacaan aku terhadap novel Merantau Ke Deli, aku membaca pula novel yang berjudul Sitora Harimau Jadian. Sitora adalah diadaptasikan dari pada istilah Jepun iaitu Tora yang bermaksud Harimau. P.Ramlee pernah bersekolah di sekolah Jepun sewaktu era perang.  Sitora Harimau Jadian merupakan filem arahan yang turut juga dilakonkan oleh P.Ramlee.  Filem ini merupakan filem arahan pertama P.Ramlee setelah beliau berhijrah dari Shaw Brothers di Singapura ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur.  Filem ini telah ditayangkan di pawagam pada tahun 1964 dan juga di RTM sekurang-kurangnya sekali sekitar tahun 1970-an.  Namun sayangnya, filem ini kemudiannya hilang.


Novel Sitora Harimau Jadian terbitan Buku Fixi.


Namun, dengan adanya Sitora Harimau Jadian dalam versi novel, sekurang-kurangnya ia dapat mengubat sedikit duka terutamanya kepada generasi muda yang tidak berkesempatan menonton karya ini dalam bentuk audio-visual.

Karya novel ini pada awalnya telah diterbitkan oleh Penerbitan Angkatan Baru pada tahun 1965.  Naskhah yang aku baca ini pula adalah diterbitkan kembali oleh penerbit Buku Fixi versi cetakan kedua Mei 2012.

Novel ini tidaklah boleh diangkat terlalu tinggi sehingga sama tarafnya dengan novel-novel besar lain seperti Salina atau Ranjau Sepanjang Jalan misalnya.  Namun keberadaannya dari satu segi memainkan peranan yang tersendiri lantaran kehilangan naskhah tersebut dalam bentuk filem.

Walaubagaimanapun, karya ini tetap mempunyai nilainya yang tersendiri.Karya ini pada aku salah satu moralnya adalah untuk menampilkan konsep kesederhanaan atau wasatiyah dalam corak gaya berfikir manusia.

Meskipun sesetengah golongan manusia (terutamanya golongan yang mendapat pendidikan tinggi) melihat sesuatu perkara hanya layak dipercayai jika ianya selari dengan logika akal atau juga dapat dibuktikan menerusi pembuktian emprikal, namun karya ini cuba menampilkan sesuatu yang bertentangan dengan konsep pegangan atau prinsip yang sedemikian rupa.

Barangkali penulisnya atau penciptanya (P.Ramlee) mahu menyatakan bahawa tidak seluruhnya sesuatu perkara itu dapat dibuktikan secara emprikal. Kadang-kadang terdapat juga perkara yang harus dipercayai kewudujudannya meski tidak dapat dibuktikan secara saintifik atau tak masuk logik dek akal.

Isu ini dapat difahami menerusi kejadian yang menimpa Dr. Effendi lakonan P.Ramlee sendiri kalau dilihat menerusi versi filem.  Dr. Effendi merupakan doktor yang dihantar ke Kampung Kiambang atas permintaan OCPD Mutalib.  Selain bertujuan untuk merawat, kedatangan Dr. Effendi juga adalah bertujuan untuk membantu dalam memberi penerangan dan pendedahan kepada penduduk kampung agar tidak mempercayai perkara-perkara yang bersifat tahyul.  Ianya berikutan ketakutan penduduk kampung kepada kewujudan makhluk ghaib yang dikenali sebagai Sitora iaitu sejenis makhluk yang berwajahkan harimau tetapi bertubuh badankan manusia. 

Kekecohan mula meletus apabila Naemah iaitu anaknya kepada Pendekar Amin telah diganggu oleh Sitora.  Mujurnya ada anak murid Pendekar Amin yang datang menyelamatkan keadaan. Sungguhpun begitu, Naemah jatuh sakit. Keadaan Naemah ini kemudiannya dirujuk kepada Tok Dukun. Menurut Tok Dukun, punca Naemah diganggu adalah disebabkan oleh keengganan Pendekar Amin untuk membayar wang perlindungan kepada Sitora. Bagi Pendekar Amin yang mempunyai ilmu kepahlawanan, tiada sebab mengapa perlu keluarganya membayar wang perlindungan kepada Sitora.  Kejadian yang menimpa Naemah ini seterusnya mengundang dendam yang membara pada Pendekar Amin ke atas Sitora.

Suasana berubah dengan kedatangan Dr. Effendi.  Dr. Effendi berjaya merawat Naemah.  Perubahan yang pada awalnya membawa petadan positif tidak bertahan lama. Bahkan ia menjadi semakin teruk. Sitora menganggu lagi. Kali ini, Dr. Effendi mempercayai kewujudan Sitora setelah melihat makhluk tersebut dengan mata kepalanya sendiri.

Seterusnya suatu perancangan disusun untuk menangkap Sitora. Perancangan ini digerakkan oleh Pendekar Amin, Dr. Effendi, Tok Penghulu bersama 4 orang yang lainnya.  Setelah mendapatkan petua dan maklumat daripada Tok Dukun, maka kumpulan ini pun bersiap untuk menangkap Sitora.  Menurut, Tok Dukun, Sitora hanya dapat ditangkap menggunakan jala.

Kumpulan ini sampai ke tempat dimana Sitora tinggal.  Perancangan disusun untuk memerangkap Sitora.  Setelah berjaya diperangkap Sitora dengan menggunakan jala, tanpa disangka Pendekar Amin telah menghunus parangnya pada Sitora lantaran dendamnya yang membara ke atas makhluk tersebut.

Hal ini berikutnya mahu disampaikan kepada OCPD Mutalib bagi mengetahui hukuman apakah yang bakal diterima Pendekar Amin disebabkan perbuatannya membunuh Sitora.  Sementara Pendekar Amin, Tok Penghulu dan Dr. Efendi ke rumah OCPD Mutalib, 4 yang lainnya pula diamanahkan untuk menjaga mayat Sitora.

OCPD Mutalib acuh tak acuh sahaja untuk mempercayai kejadian Sitora ditangkap meskipun telah diberitahu oleh Dr. Effendi. Mereka setrusnya ke tempat kejadian.  Namun alangkah terkejutnya kerana didapati Sitora telah hilang. Hal ini menguatkan lagi ketidakpercayaan OCPD Mutalib kepada kewujudan makhluk yang bernama Sitora itu.


Tidak lama lepas itu, Sitora kembali mengganas lagi.  Kali ini dengan misi membalas dendam disebabkan percubaan orang kampung yang ingin menangkapnya sebelum ini.  Pendekar Amin bersama isterinya, pembuat jala, 3 orang sahabat Tok Penghulu, dan akhirnya Tok Penghulu sendiri mati angkara dibunuh Sitora.  Dr. Efendi pula berikutnya turut diganggu Sitora tetapi dengan cara yang lain.  Sitora telah mengalirkan darahnya kedalam tubuh Dr. Effendi sehingga akhirnya Dr. Effendi turut menjadi seperti Sitora iaitu harimau jadian.

Perubahan sikap pada diri Dr. Effendi telah merungsingkan tunangnya iaitu Naemah dan OCPD Mutalib.  OCPD Mutalib telah meminta rakannya iaitu Dr. Abu Bakar untuk datang ke Kampung Kiambang bagi menyelesaikan masalah Dr. Efendi.

Kedatangan Dr. Abu Bakar ternyata dapat merungkai misteri yang membelenggu. Akhirnya Dr. Abu Bakar dapat memulihkan semula keadaan Dr. Effendi. Selain itu beliau juga dapat membunuh Sitora dan merungkai siapakah sebenarnya Sitora itu.  Rupa-rupanya Sitora tersebut adalah merupakan Tok Dukun.  Dr. Abu Bakar berjaya menyelesaikan misteri dan masalah tersebut hanya menggunakan kayu tas yang sering digunakan oleh beliau sebagai tongkat.  Kayu tas tersebut diperoleh beliau hasil pemberian ketua masyarakat Iban kepadanya suatu ketika dahulu. Dengan kematian Sitora, maka kembali amanlah semula kehidupan penduduk Kampung Kiambang.



p/s: Pada 30 Mei yang lalu iaitu pada hari Jumaat, aku menonton satu dokumentari yang berkisarkan kisah hidup P.Ramlee di TV2. Aku tak dapat menontotnya dari peringkat awal. Aku hanya dapat mengikuti rancangan dokumentari tersebut dari babak pertengahan sehingga akhir iaitu bermula sewaktu penceritaanya yang sudah pun berkisarkan tentang suasana kehidupan P.Ramlee sewaktu berpindah ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur sehinggalah pada saat-saat akhir hayat beliau.  Banyak maklumat yang aku perolehi daripada dokumentari. Antara info yang menyentuh hati aku adalah berkenaan saat-saat akhir hayat P.Ramlee.  Ianya sangat menyedihkan hati.  Betapa seorang seniman agung disaat-saat akhir hayatnya menempuh kehidupan yang melarat. Tiada kawan, tiada pendapatan bahkan juga seolah-olah hilang daripada perhatian masyarakat.  Namun itu lah nasib.  Nasib seorang lagenda yang bernama P.Ramlee.  


Tak lama lepas itu pula, aku berdiskusi dalam gaya spontan dengan Nik tentang dokumentari P.Ramlee tersebut.  Nik juga turut menonton dokumentari tersebut tapi hanyat sekerat jalan sahaja iaitu dari babak permulaan hingga ke pertengahan manakala aku pula dari babak pertengahan hingga ke babak akhir.  Jadi kelompongan info  yang dialami antara aku dan Nik diisi antara satu sama lain dengan cara menceritakan kembali apa yang kami tonton menerusi dokumentari tersebut.  Maksudnya Nik menceritakan babak awal hingga pertengahan yang ditontonnya manakala aku pula menceritakan babak pertengahan hingga akhir yang aku tonton.



-AL FATIHAH BUAT ALMARHUM P.RAMLEE -











Tiada ulasan: