Khamis, 2 Mei 2013

TUHAN MANUSIA




"Tuhan Manusia" merupakan novel yang harus dibaca. Ditulis oleh Faisal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani.  Karya ini harus dibaca kerana ia mungkin suatu refleksi atau respon terhadap suasana iklim kemasyarakatan yang melanda dalam landskap kehidupan umat Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini.  Ada suatu bahana besar yang merayap dalam keharmonian dan kesucian umat Islam di negara ini.  Ia merayap dan menjalar secara senyap dan tersembunyi dibalik suatu medium yang kononnya berkonsemurni,indah,dan damai.  Bahana itu adalah gejala pluralisme agama.  Gejala ini kononnya dicanang-canangkan atas nama
kebebasan.  Melihat semua agama adalah sama.  Melihat semua agama membawa kepada kebaikan.


Isu ini melibatkan soal akidah.  Suatu serangan terhadap akidah yang sebenarnya.  Seperti yang terkandung dalam novel ini, dimana abang kepada watak utama Ali Taqi iaitu Talha telah ternoda minda dan jiwanya dengan pengaruh ideologi pluralisme sehingga menyebabkan dirinya mengambil jalan murtad.  Kemurtadan abangnya itu telah memberikan suatu kesan yang cukup mendalam kepada kehidupan mereka sekeluarga lebih-lebih ayah dan juga mungkin kepada ibunya yang telah pergi menemui Penciptanya.  Si bapa tiada menyangka yang anaknya tergamak menjadi murtad sedangkan didikan agama telah ditanam dan disemai
pada anaknya itu.

Melihatkan keadaan itu, Ali Taqi sebagai suatu respon kepada apa yang berlaku dalam keluarga telah berusaha dan berjuang untuk membongkar kesesatan ideologi ini dalam masyarakat.  Dalam novel ini dipaparkan bahawa perkembangan ideologi ini didukung oleh golongan yang kononya berdiri atas nama intelektual.  Kononnya merupakan golongan akademik dan terpelajar tetapi sayangnya keademikkannya itu tidak berlandas pada ikatan wahyu.  Hal ini tergambar menerusi watak Aris Iskandar yang juga merupakan watak yang menyebabkan dan menyokong abang Ali Taqi menjadi murtad bahkan anak perempuanya yang bernama Zehra turut menjadi mangsa kepada ideologi fahaman yang didukungnya itu.

Sisi songsang fahaman pluralisme ini diceritakan dengan gaya perdebatan, perbincangan, komentar antara watak-watak dalam novel ini.  Komentar dan perbincangan bagi sesama watak yang tidak bersetuju dan menentang fahaman ini manakala perdebatan pula terjadi antara watak yang menyokong dengan menentang ideologi ini.

Antara hujah yang sering diungkapkan oleh golongan yang menyokong ideologi pluralisme bagi menyokong perjuangan mereka adalah menerusi ungkapan kata-kata Maulana Rumi yang sering diputar-belitkan oleh John Hick iaitu "The lamps are different but the lights is the same."  Golongan pluralisme ini meletakkan kata-kata Maulana Rumi pada tempat dan asas yang tidak sepatutnya. Rumi tidak langsung bermaksud untuk mengatakan bahawa Islam, Kristian, Budhha, Hindu, Yahudi dalam satu kerangka agama yang punya dasar yang sama.  Kerna sememangnya asas kepercayaan setiap agama ini adalah berbeza-beza.  Islam misalnya dengan jelas bahawa konsep ketuhanannya adalah Satu iaitu Allah.  Bagi Kristian pula mereka menjustifikasikan tuhan itu dalam 3 bentuk tapi bersatu dalam satu atau yang dipanggil triniti.  Hindu pula, hakikat ketuhanannya dimanifestasikan menerusi 3 sembahan iaitu Vishu, Shiva dan Sakhti.  Justeru apa mungkin setiap agama dipandang sama sedangkan asas kepada setiap kepercayaan mereka itu berbeza.


Atas sebab itu, pluralisme merupakan suatu bentuk fahaman songsang yang kononnya atas nama global, atas nama perpaduan, atas nama kesamarataan.Kesemua agama diadun menjadi satu.  Gila. Caca merba.

Apa yang boleh dilihat dalam fahaman pluralisme ini ada 4 elemen.  Pertama ia ada punya elemen toleransi.  Kedua, pluralisme itu menegaskan wujudnya hakikat yang satu.  Ketiganya, pluralisme itu melihat hakikat yang satu itu boleh ditanggapi dengan cara yang berbeza.  Dan keempat, pluralisme membawa erti itu terdiri daripada pelbagai unsur dan masing-masing terdapat dalam pelbagai agama.

Jadinya, golongan pluralisme ini melihat bahawa hakikat ketuhanan dapat diperoleh dalam mana-mana agama dan semua agama adalah sama.Kerna itu, golongan ini kerapkali memutar-belitkan kata-kata Maulana Rumi bahawa "lampu adalah berbeza tapi cahayanya sama". Mereka melihat agama-agama sebagai lampu, meski ia adalah lampu yang pelbagai tapi tetap menghasilkan cahaya yang sama.  Mereka turut memperguna bait-bait ayat yang terdapat dalam kitab agama lain misalnya dalam kitab suci Hindu iaitu Bhagavad Gita yang mengatakan bahawa "jalan apapun yang dipilih, manusia adalah milikku".  Mereka cuba mencari suatu titik temu atau titik sama antara agama yang kononnya atas motif perpaduan.  Suatu yang jelas bahawa ia merupakan suatu ancaman terang kepada Islam dan akidah umat Islam khususnya.


Novel ini di babak hujungnya, menceritakan bahawa Talha yang murtad itu mati tanpa sempat bertaubat, Ali Taqi bersama rakan-rakannya terus berjuang menyebarkan syiar Islam dan membongkar kesesatan pluralisme bahkan Zehra juga akhirnya mengakui bahawa Islam tidak dapat diduduk-letakkan sama tinggi dan sama rendah dengan mana-mana agama di dunia ini.


p/s Dulu gua hampir terjebak dan terpengaruh dengan bentuk fahaman ini.  Gua ikut budak2 SPF berkomentar tentang benda ini yang pada masa itu tidaklah dinyatakan secara jelas motif utama pluralisme ini.  Disebarkan secara halus dan tersembunyi.  Sebab gua ikut kerna ia memaparkan suatu ciri yang kononnya bersatu-padu, melihat persamaan dan membuang perbezaan.  Di Malaysia benda ini dah semakin menular.  Menular dan berkembang atas nama kebebasan kononnya.  Digiatkan oleh golongan pembikin filem dan penulis serta akademia dan juga ahli politik.  Lihat sahaja kes Lina Joy, lihat sahaja individu yang mengungkapkan kata-kata 'agama adalah hak kebebasan setiap manusia", kes LGBT,, filem Mualaf, filem Sepet, filem Gubra...ini adalah antara ancaman karut-marut yang membahayakan generasi kita....

Tiada ulasan: