Khamis, 2 Mei 2013

Reka Hias Kulit "Tuhan Manusia"



PENERANGAN RAGAM HIAS KULIT "TUHAN MANUSIA"

PELUKIS : Khairul Azuwan
Judul : Monster's Garage

Apabila makhluk aneh yang melucukan membuat ribut dalam sistem kepercayaan religus manusiawi, maka manusia boleh jadi tidak rasional lagi terhadap kebenaran.  Maka binasalah akhlak serta akidah anak-anak Adam secara sedikit demi sedikit - Nauzubillah.

"Monster's Garage" berpaksikan catan ilustrasi fantasi yang termaktub di dalam terma seni halus sebagai aliran gaya "surrealisme". Catan aliran ini bertitik tolak daripada kaedaan minda yang berada di dalam alam bawah sedar (subconscious mind). Secara relatif logiknya, minda membayangkan,menggambarkan atau menafsir dunia khayalan atau mimpi yang bersifat fantasi secara visual.

Metodologi "surrealisme' ini sama sekali menolak hukum hakam logika realiti-tampak mahupun logik minda sedar -"conscious mind'.  Menurut aliran gaya "surrealisme" : sesuatu entiti yang dilihat,dirasa, disentuh, didengari atau dihidu dengan kelima-lima deria yang ada pada manusia tidak semestinya tertakluk kepada kefahaman semasa manusia.

Sejakdari dahulu,telah lahir beribu-ribu tokoh filsuf dari Barat dengan pelbagai macam ideologi dan teori hasil daripada ego-akal rasional masing-masing.  Hujah dan kajian tokoh filsuf Barat ini ternyata merubah pola kehidupan masyarakat dunia daripada seni politik,ekonomi, sosio budaya mahupun mentaliti individu dalam masyarakat itu.  Karl Marx, Hitler, Darwin dan John Locke, sekadar menyebut beberapa nama, muncul gagah menegakkan hujah ideologi kitab kebenaran masing-masing - Komunisme, Fasisme, Imperialisme dan Sekularisme.  Yang pasti kesan buruk daripada teori ideologi merekaini sudah tercatat dalam sejarah tamadun manusia - peperangan,kemiskinan, kebuluran, penghapusan etnik dan keruntuhan nilai moral-akhlak.

Karya ini merupakan refleksi saya terhadap apa yang disampaikan oelh Faisal Tehrani di dalam bukunya yang bertajuk "Tuhan Manusia".  Gambaran sekalian makhluk aneh,lucu, bermata jegil besar dan bergigi tajam merupakan metafora kepadaa ahli falsafah kebanggaan Barat yang sedang bergelak tawa memerhatikan sekumpulan makhluk boneka lain (masyarakat) dalam aksi yang tidak ketentuan, hilang punca, tiada arah dan jelik tubuh fizikalnya.

Keadaan ini akan berterusan selagi masyarakat tidak bebas daripada dibelenggu oleh dogma-dogma falsafah Barat.  Apa yang dianuti mereka selama ini bertentangan dengan ajaran suci pembawaan Nabi Muhammad saw, dan sebenarnya lebih banyak membawa bencana daripada sejahtera untuk kehidupan mereka sendiri.  Apa yang ditakuti kita ialah dosa besar makin melanda dan semakin menjadi-jadi dan akhirnya menolak diri warga Muslim ke lembah jahanam iaitu MURTAD. - Khairul Azuwan - 

Tiada ulasan: