Sabtu, 24 Oktober 2009

M.E.R.D.A.H.E.K.A. kanlah aku kembali –cetera tiga-



* - dua biji telur burung Tekukur yang sedang menunggu masa untuk menetas di laman rumah saya -...



M.E.R.D.A.H.E.K.A.

Kanlah aku kembali….

-Cetera Tiga-


Kemudian daripada telah diceterakan oleh Bakal Raja itu kepada ahli al-musyawarah wazir menteri pengasuhnya segala ehwal perbahasan yang berlaku di antara Burung Pipit dengan Kuda Putih itu sekonyong-konyong kedengaran suara yang dilafazkan oleh seekor Burung Layang-Layang daripada sarangnya yang di dalam balai penghadapan itu berdatang sembah dengan sayup-sayup bahasa seolah-olah dengan berpilu hati oleh mengenangkan nasib Burung Tekukur itu, demikian bunyinya:


"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, dibunuh patik mati, digantung patik tinggi, direndam patik basah, dibakar patik hangus, harap akan diampuni patik kiranya Tuanku. Terlebih dahulu daripada wazir menteri "pengasuh" Tuanku menimbangkan perbahasan yang berlaku di antara Sang Pipit dengan Kuda Putih itu biarlah patik hubungi sedikit lagi perkataan kak Sang Pipit itu serta diharap moga-moga perkataan patik yang akan terhurai ini kelak akan menjadi suluh pada menerangkan segala ehwal yang telah berlaku di atas diri kak Sang Tekukur itu."


"Adapun kak Sang Tekukur itu ialah seekor daripada sebangsa unggas yang mempunyai dan memerintahi sebuah negeri pada zaman purbakala dengan merdahekanya akan tetapi oleh sebab diketahuinya yang keadaannya sunyi daripada ilmu-ilmu yang terwajib akan memeliharakan keselamatan kemerdahekaannya pada masa yang akan datang terpaksalah ia dengan muka yang jernih hati yang putih (bukan dengan peperangan, ingat-ingat Tuanku!,. Jangan sampai dikata-kata oleh bangsa-bangsa lain Tuanku zalim) menyerahkan negerinya bernaung di bawah panji-panji kerajaan Tuanku yang telah didengarnya amat mashyur pengasih lagi penyayang serta adil dengan insaf konon, dengan bergantung harap kak Sang Tekukur itu laksana anak menggantungkan harap kepada bapa. Demikianlah dianya berharap kepada Tuanku supaya dilatih dan diberi pelajaran ilmu kemerdahekaan kepada anak cucu hamba rakyat bumiputranya yang diharapnya dengan wasitah ilmu yang akan Tuanku ajarkan itu kelak mencapailah mereka itu kepada kemerdahekaannya, kemuliaan dan kekayaan seperti keadaan Si Burung Undan itu. Maka pada masa ini, ampun Tuanku, nampak-nampaknya pernaungan kak Sang Tekukur di bawah panji-panji Tuanku itu telah menyebabkan dianya terpenjara atau sengaja dipenjarakan di dalam sangkar emas sepuluh mutu yang tidak sekali-kali disangkanya akan jadi balasan ketaatan dan kesabarannya dengan menanggung beberapa sengsara memakan hati berulam jantung di bawah kuit telunjuk Tuanku selama ini sehingga boleh dikatakan belum sekali jua pun dianya membantah apa-apa perkataan atau kehendak Tuanku melainkan sentiasalah ia sedia menanti titah perintah Tuanku apabila Tuanku kehendaki dengan mengangguk mengeluarkan perkataan "tur, tur" (yakni benar, benar). Sesungguhnya apabila teringat olehnya akan nasib kemalangan (padi disemai menjadi lalang, ayam di tangan disambar helang) yang berlaku di atas dirinya pada masa ini dan terkenang pula olehnya akan kemerdahekaannya yang dimiliki pada zaman purbakala sepatut-patutnyalah ia menangis kerana telah dirasai dan diketahuinya bahawa adalah kemerdahekaannya yang terdapat dengan ilmu yang sedikit pada zaman purbakala itu terlebih elok daripada bersangkut-paut dengan sahabat yang sungguhpun bijak tetapi zalim,

yakni sarang yang diperbuatnya daripada ranting-ranting kayu dengan ilmunya yang sedikit pada zaman purbakala itu terlebih baik daripada sangkar emas sepuluh mutu perbuatannya Si Burung Undan yang menjadi penjara bagi kak Sang Tekukur itu pada masa ini, atau makanannya daripada sayur keladi pada zaman purbakala terlebih lazat daripada mutton chop yang berisi acid di dalamnya, ataupun tilam yang hapak pada zaman purbakala itu terlebih molek daripada mattress bertekatkan emas sepuluh mutu yang berisi kala jengking di dalamnya, demikian jua sepatu yang diperbuat daripada upih pada zaman purbakala terlebih elok daripada shining boots yang senantiasa menggigit dan mendatangkan pekung pada kaki, baju yang diperbuat daripada kulit terap terlebih cantik daripada baju tuid (tweed) yang diperbuat daripada daun jelapang, air minumannya daripada air tasik danau yang ada di cerung-cerung gunung yang tinggi pada zaman purbakala itu terlebih lazat daripada air tapisan yang jernih seperti air embun yang bercampur dengan poisonous lotion, demikianlah Tunaku ibaratnya.


****************************************************************************





p/s: untuk lebih memahami cerita ini, disyorkan agar membaca dari cetera pertama dan cetera dua....

1 ulasan:

hafiz zainuddin berkata...

sis. merdeheka! hahaha
tersiratnya banyak dalam educate pembaca.
tapi sis, raja dulu2 asalnya taiko2 dan konon jagoan.
makan dan minum mereka di cukai dari petani yang rajin!
;)