Sabtu, 3 Oktober 2009

“M.E.R.D.A.H.E.K.A. KANLAH AKU KEMBALI” – cetera pertama




"M.E.R.D.A.H.E.K.A.
KANLAH AKU KEMBALI"

– cetera pertama-


Pada suatu hari, datang kepada sebuah negeri Tekukur di mana rajanya berada di dalam sangkar emas untuk dipelihara dan dilindungi daripada kacau-bilau yang berlaku di negeri itu, seorang raja daripada atas angin untuk memerintah negeri Tekukur itu. Sedang ia melihat-lihat akan keadaan istana dan negerinya tertembung ia pada sebuah sangkar yang dihuni oleh seekor Tekukur. Ketika itu Tekukur telah melafazkan permohonannya supaya ia diberi kemerdahekaan seperti dulunya. Bakal Raja yang mendengarnya tidak faham akan maksud kemerdahekaan yang dikatakan oleh Tekukur itu, lalu ia meminta nasihat daripada Kuda Putih yang ia tunggangi itu. Kuda Putih yang amat taat itu segera memberi jawaban katanya, "Adalah yang dimaknakan dengan kemerdahekaan itu bermaharajalela, melakukan sekehendak hati menurut hawa nafsu".


************************************************************************************************************************


Apabila telah selesai Kuda Putih itu melafazkan ucapannya tiba-tiba hinggap seekor Pipit di hadapan Bakal Raja itu dengan tersenyum simpul seolah-olah geli hatinya mendengarkan nasihat yang dihuraikan oleh Kuda Putih itu lalu ia berdatang sembah demikian bunyinya:

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun dibunuh patik mati, direndam patik basah, digantung patik tinggi, barang diampuni patik kiranya Tuanku. Nampaknya Sang Kuda Putih itu tersalah faham tentang perkataan "kemerdahekaan" yang dituntut dalam perbahasan ini supaya jangan terkeliru Tuanku".

"Adapun kalimah kemerdahekaan di sini tidaklah boleh dimaknakan kepada maharajalela yakni berbuat sekehendak hati mengikut hawa nafsu sendiri", dan bukan pula dengan makna "ketuanan" seperti sangka-sangka Sang Kuda Putih itu. Akan tetapi adalah makna "kemerdahekaan" yang dimurad di sini jika kita bawa pada bahasa Inggeris ialah "independence" yakni tiada sangkut-paut atau tiada berkehendak kepada pertolongan orang lain. Misalnya, apabila kita berkata "Negeri Orang Tempua itu ialah sebuah negeri yang merdaheka atau yang kemerdahekaan (independent state) maka dengan ayat itu mengetahuilah kita bahwa negeri itu ialah sebuah negeri yang dimiliki dan diperintahi oleh orang-orang Tempua yang tidak berkehendak mereka itu kepada tukang Burung Undan apabila ia hendak membuat sesuatu perkakas yang terwajib diadakan dalam negerinya dan tidak pula mereka itu berkehendak kepada pertolongan Burung Gagak pada menjalankan pemerintahan tanahairnya. Demikian juga tiada ingin mereka itu meminjam sayap kepada Burung Hantu apabila ia hendak berterbang, jauh sekali daripada mengharapkan pertolongan Sang Ketam apabila belayar dalam lautan. Pendeknya Tuanku, dalam tiap-tiap pekerjaan yang diperbuat oleh mereka itu tidaklah ia tergendala kerana berkehendak kepada pertolongan daripada makhluk yang lain daripada mereka-mereka yang sebangsa dengan mereka itu atau milik mereka itu. Sanya inilah negeri yang dinamakan negeri yang merdaheka atau yang mempunyai kemerdahekaan".


"Akan tetapi Tuanku," kata Burung Pipit itu dengan putus-putus suara serta berhamburan air matanya oleh mengenangkan hal yang berlaku di dalam negeri pemerintahan Bakal Raja itu. "Adakah boleh kita merdaheka apabila kita tiada mempunyai ilmu kemerdahekaan? Yakni adakah boleh kita mengadakan segala perkakas yang terwajib akan menjadi syarat pada mengadakannya? Atau tidakkah sentiasa kita berkehendakkan fikiran atau pertolongan daripada Burung Bangau apabila kita hendak memperbuat suatu perkara manakala tiada kita mempunyai ilmunya? Adakah boleh kita menjalankan pemerintahan tanahair kita dengan sempurnanya apakala hampa keadaan kita daripada pengetauhan atau pelajaran pemerintah? Demikianlah Tuanku tiap-tiap pekerjaan, perbuatan dan sebagainya berkehendak ia kepada ilmunya dan tidak sempurna sesuatu pekerjaan, perbuatan dan sebagainya itu melainkan dengan ilmunya yang terwajib. Di atas diri Tuanku pada mengisikannya ke dalam dada anak cucu dan hamba rakyat Tuanku sekiranya ada pada Tuanku daripada raja-raja yang berkehendakkan negerinya mempunyai kemerdahekaan."


"Dan lagi Tuanku tentang hal kak Sang Tekukur itu sangat benarnya janganlah Tuanku lepaskan ia pada masa ini kerana dianya masih lagi dalam kelemahan sehingga tiada upaya baginya hendak mengembangkan sayapnya lagi yang telah disebabkan oleh kezaliman Tuanku dengan jalan dipenjarakan ia dalam sangkaran emas sedemikian lamanya dengan tiada teringat oleh Tuanku sedikit jua pun hendak member latihan-latihan dan ilmu-ilmu seperti patik syarahkan itu supaya dapat mencapai kemerdahekaan yang sebenar-benarnya akan pembalasan budi kebaktian yang selama ini bernaung di bawah perintah Tuanku dengan sabar dan taatnya. Akan tetapi sekiranya adalah Tuanku daripada raja-raja yang adil dan insaf, pemurah lagi penyayang, sanya terwajib di atas diri Tuanku mengembalikan kemerdahekaan supaya boleh dengan senangnya ia mematuk atau membutakan kedua-dua mata pemburu-pemburu dan musuh-musuh terlebih dalu daripada dapat mereka itu mendatangkan merbahaya di atas dirinya.


"Syahdan lagi pula, ampun Tuanku sembah patik sayogianya janganlah Tuanku dengarkan sangat perkataan Sang Kuda Putih itu kerana maklumlah Tuanku yang ia itu suatu ... yang terjumlah kepada …yang lazim baginya kelikar tercucuk pada hidungnya dan sentiasa memperhargakan rumput kering itu terlebih mahal daripada mutiara." Maka pipit itu pun menundukkan kepalanya di hadapan Bakal Raja itu lalu terbang ghaib ke udara dengan meninggalkan Bakal Raja itu termenung-menung memikirkan ucapan Burung Pipit itu sambil berjalan dengan berdukacita ke balai penghadapan di mana segala ahli al-Mesyuarah wazir menteri pengasuhnya supaya ditimbangkan perkataan kedua-dua binatang itu manakah yang benar?. Demikian ceteranya.


*************************************************************************************************************************************


1 ulasan:

Alexia Aqram berkata...

Liga Super Harapan

Jemput masuk.

kod: 1237942-381932