m.e.r.d.a.h.e.k.a.
kanlah aku kembali….
– cetera dua -
Syahdan apakala sampailah Bakal Raja itu dibalai penghadapan dihadap oleh segala wazir menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian maka baginda pun bertitah:
"Hai segala wazir menteri dan lain-lainnya! Adakah kamu sekalian ingat akan perkataan Burung Tekukur dulu merayu-rayukan kehilangan kemerdahekaan?".
Sembah Perdana Menteri "Ampun Tuanku! Ada".
Titah baginda, "Bagaimanakah kamu sekalian muradkan makna kemerdahekaan yang dimaksudkannya di dalam segala perkataanya di situ!".
Sembah Perdana Menteri, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun! Burung Tekukur hendak dilepaskanlah Tuanku daripada sangkarnya kerana dia hendak tinggal balik di tempatnya yang lama iaitu di dalam segala pokok-pokok kayu di hutan rimba itu".
Titah baginda "Pada hari ini dating seekor Pipit kepada beta mengatakan adapun maksud kemerdahekaan itu konon hendaklah dimuradkan kepada perbahasaan Inggeris "Independent State".
Sembah Perdana Menteri "Ampun Tuanku adapun makna state itu dua, yang pertama maknanya condition yang kedua maknanya negeri".
Titah Tuanku, "Nampaknya daripada perkataan Burung Pipit dia memaknakan negeri itulah kerana diceritakannya dengan panjang darihal negeri Tempua. Katanya jika negeri Tempua itu merdaheka yakni independent tidaklah ia bersangkut-paut dengan binatang-binatang yang lain dan tidak ia berkehendakkan pertolongan mereka itu umpamanya tidak ia meminta tolong kepada tukang Undan atau pemerintahan Gagak atau pelayaran Ketam dan sebagainya."
Sembah Perdana Menteri, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun!, Sesungguhnyalah Tempua itu tidak berkehendakkan pertolongan daripada Undan atau Gagak atau Ketam akan tetapi jika ia berkehendakkan "terang" Tuanku pada malam yang gelap tak dapat tiada terpaksa juga Si Tempua itu meminta pertolongan daripada "cahaya" kelip-kelip. Itu pun entahlah Tuanku masa dunia akhir al-zaman ini barangkali Si Tempua sudah pandai membuat lampu mendapat "terang" dengan sendirinya.
Sembah Bentara "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Nampaknya yang belum ada ini belumlah lagi Si Tempua pandai membuat lampu mendapat "terang" dengan sendirinya itu melainkan masih berkehendakkan lagi kepada kelip-kelip kerana menerangkan gelapnya. Ampun Tuanku sekiranya telah pandai sekalipun Si Tempua bencikan kelip-kelip di dalam sarangnya kerana kedatangan kelip-kelip itu semata-mata ialah dengan panggilan Si Tempua".
Titah Baginda, "Sebenarnyalah titah Datuk Bentara itu! Nampaknya zaman ini zaman ketiadaan kenangan budi kerana beta sendiri tadi telah dituduh oleh Si Burung Pipit merampas kemerdahekaan Burung Tekukur itu akan halnya kamu sekalian bagaimana jatuh ke tangan beta?".
Sembah Bentara, "Tekukur yang mana itu Tuanku kerana Tekukur Tuanku tersangat banyak?".
Syahdan pada masa itu Bakal Raja itu pun berangkatlah ke meja tulisan lalu dikeluarkan oleh baginda suatu buku kecil di dalamnya ada tertulis sekalian cerita-cerita menunjukkan bagaimana baginda mendapat satu persatu daripada segala tekukurnya yang ada itu. Setelah itu diunjukkan oleh baginda buku itu kepada Perdana Menteri seraya bertitah, "Cuba Mak Menteri cari jika ada mana-mana Tekukur yang kita rampas kemerdahekaannya di dalam buku ini."
Sembah Perdana Menteri "Tekukur Tuanku yang meminta kemerdahekaan itu nombor berapa?".
Titah Baginda, "Nombor 1909".
Setelah dibuka oleh Menteri buku itu tentang nombor 1909 lalu ia pun membaca daripadanya demikian bunyinya, "Adapun Tekukur nombor 1909 ini didapati kerana bertukar dengan "Miss". Keadaannya memang sudah biasa duduk di tangan "Miss" yang mengambil faedah daripadanya dengan mengambil bulunya akan menjadi perhiasan bagi "Miss" yang tersebut itu".
Titah Baginda, "Cuba Mamak Menteri baca pula kisah Tekukur 1874".
Setelah dibuka oleh Perdana Menteri pada nombor yang tersebut itu lalu dibacanya demikian bunyinya "Adapun Tekukur nombor 1874 ini oleh kerana letih dan penatnya melawan musuhnya Burung Hantu telah terjelipak di tepi jalan dan keadaannya tatkala diambil oleh Baginda sudah setengah mati. Itu pun sebab ia meraung-raung minta tolong kepada Baginda. Kasihan hati Baginda melihatnya itulah Baginda masukkan akan dia ke dalam sangkar serta diberi makan minum dengan secukupnya dan telah berwaadlah Tekukur ini tiada mau keluar daripada sangkar selagi ada peredaran matahari dan bulan".
Titah Baginda, Ahem! Begitulah mulanya?. Amboi Si Pipit bertuah!. Sampainya hatinya mengatakan beta merampas!".
Sembah Panglima Perang, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun di manakah Si Pipit itu ada sekarang?".
Titah Tuanku, "Sudah hilang ghaib terbang ke udara".
Sembah Panglima Perang, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Jika dia balik mengadap Tuanku, patik aan diperjumpakan dengannya".
Titah Tuanku, "Apa Datuk Panglima perbuat kepadanya?".
Sembah Panglima Perang "Bukan patik hendak pengapakan kepadanya hanya patik radang pertama-tama dituduhnya Tuanku merampas. Yang kedua dituduhnya Tuanku menzalim. Dari sebab itu patik hendak berpesan kepadanya jika dia hendak makan padi itu sendirinya jangan mencari-cari segala bendang sawah orang-orang negeri Tuanku ini."
Titah Tuanku, "Akan tetapi Pipit itu bukannya sebarang-sebarang Pipit kerana dia tahukan harga mutiara sehingga ada pada suatu masa jagung pun disangkanya mutiara. Juga hendak ditelannya tersangkut di kerongkongnya lalu ia terbang lari."
Sembah Perdana Menteri, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sesungguhnya Pipit itu bukan sebarang-sebarang pipit kerana ia memohonkan ilmu supaya boleh ia mematuk atau membutakan kedua-dua mata pemburu-pemburu dan musuh-musuhnya dan itulah sehabis-habis tinggi ilmu kemerdahekaan pada fahamnya".
Sembah Datuk Bentara, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, nampaknya musuh besar pada Si Pipit itu ialah Si Kuda Putih sehingga disangkanya pula kuda itu bercucuk hidung."
Sembah Abu Nawas, "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, pada faham patik semuanya ini ialah alamat bagi persahabatan segala orang-orang dan mergastua kerana Si Pipit telah reda menjadi loyar kepada Si Tekukur".
Titah Tuanku, "Benar!"
Terlebih dahulu daripada Bakal Raja itu menimbangkan segala perkataan ahli al-musyawarah wazir menterinya itu tiba-tiba menyahut pula Tekukur itu dari dalam sangkarnya dengan merayu-rayu seraya berbunyi.
"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, adalah yang menyebabkan patik berkokok dengan ratap tangis patik pada masa suatu dinihari dulu ialah oleh mengenangkan kehilangan kemerdahekaan patik yang telah patik perdapat dengan ilmu yang sedikit pada zaman purbakala yang sungguhpun ada juga diperolehi oleh merbahaya daripada musuh-musuh akan tetapi jika disiasat dengan halusnya tidaklah syak lagi bahwa merbahayanya itu tidak berapa lebih kurangnya dengan yang ada pada zaman ini seperti yang telah diceterakan oleh Layang-Layang yang telah terdulu syarahannya.
"Sungguhpun patik telah merayu-rayu berkokok mengenangkan kemerdahekaan patik pada zaman purbakala itu tetapi janganlah Tuanku sangkakan pula patik meminta dilepaskan pada masa ini kerana patik sedia mengetahui hal keadaan patik sunyi daripada ilmu-ilmu yang terwajib akan jadi syarat kemerdahekaan itu hanyalah sebenar-benarnya adalah kokok patik itu ialah dimuradkan seperti permohonan jua kepada Tuanku meminta supaya diberi patik ilmu-ilmu kemerdahekaan yang patik syarahkan dulu boleh jua kita kiaskan kepada burung yakni apabila seorang berkata "Burung Undan itu ialah seekor unggas yang merdaheka atau yang mempunyai kemerdahekaan". Maka dengan ayat itu mengetahuilah kita yang Sang Undan itu tidak mengharapkan beras putih pemberian orang akan jadi makanannya. Jauh sekali daripada berkehendakkan air jernih yang disediakan orang bagi minumannya. Pendeknya Tuanku, Burung Undan itu pandai ia mencari sendiri yakni cukup ilmunya atau pengetauhannya!".
Sekalipun "kelip-kelip" itu ada jua terkadang-kadang ia masuk ke dalam sarang tempua pada malam hari dengan memancar-mancarkan cahayanya seolah-olah hendak memberi terang kepada Sang Tempua itu tetapi tidaklah dihiraukan kerana sememang-memang ianya tidak berkehendakkan cahaya pada malam hari walaupun bagaimana gelapnya. Demikian jua sungguhpun cahayanya kelip-kelip itu tidak dikehendaki Sang Tempua tetapi tidaklah pula kedatangan kelip-kelip itu menjadikan kebajikan kepadanya asalkan jangan kelip-kelip itu merosakkan faedahnya.
"Sebenarnyalah titah Tuanku itu nampaknya zaman ini zaman ketiadaan kenangan budi kerana patik telah merasai sumpah seranah berbagai nista "tekukur bodoh, tekukur bingung, tekukur dungu", padahal Tuanku sendiri mengetahui akan ketaatan, kesabaran dan kebaktian patik selama ini bernaung di bawah petikan hujung jari Tuanku, yang telah menghabiskan masa setengah kurun lamanya dengan maksud supaya dilatih dan diberi ilmu kemerdahekaan dan yang seumpamanya kepada anak cucu bumiputra patik. Tatkala demikian adanya siapakah agaknya yang tidak mengenang budi itu Tuanku? Patikkah atau siapa?.
"Dan lagi pula Tuanku, adalah bahaya yang tersangkut di kerongkong Pipit pada masa menelannya dulu itu bukannya jagung Tuanku, tetapi ialah mutiara sebenar-benarnya. Alhamdulillah telah terlepas ke dalam perutnya sehingga pada masa ini mutiara itu ada bertanam di dalam kalbunya. Maka dengan berkat mutiara yang tertanam dalam hatinya itu mudah-mudahan telah terlepas dianya daripada ikatan yang terikat pada kakinya pada masa dulu dan pada masa ini telah dapat pula ia menjadi loyar kepada patik.
"Pada akhirnya ampun Tuanku, perkataan Perdana Menteri yang lain itu tidaklah patik jawab di sini kerana telah terdulu syarahannya oleh Sang Layang-Layang".
Maka Tekukur itu pun menyembah lalu berdiam diri adanya.
***********************************************************************************************************************************************