Selasa, 26 Mac 2013

Salina


A.Samad Said bukanlah suatu nama asing lagi dalam dunia penulisan apatah lagi dunia sastera tanah air.  Seingat aku, karya beliau yang pertama kali aku telitikan adalah sebuah novel yang dijadikan bacaan wajib KOMSAS (komponen sastera) sewaktu aku meniti alam persekolahan dahulu. Itu pun, sepanjang aku belajar tak pernah pun aku khatamkan pembacaannya...Sedangkan secara logiknya bacaan novel itu perlu dikhatamkan paling kurang tidak hanya sekali kerna ia adalah bahan yang akan dijadikan inti dalam peperiksaan SPM...Sumpah aku katakan...sebelum menduduki SPM, tak pernah sekalipun aku baca!!!...  Novel yang aku maksudkan 
itu adalah novel dengan judul 'Di Hadapan Pulau". Karya novel yang sepatutnya perlu dibaca dan wajib difahami oleh pelajar tingkatan empat saat itu...Tapi untuk orang seperti aku, itu tidak terjadi...Sebabnya...Entahlah..Mungkin aku bosan dengan gaya pendidikan yang hanya sekadar berorentasikan peperiksaan dan markah semata-mata...Atas sebab itu, perlawanan arus aku cetuskan...


* Novel "Di Hadapan Pulau" ini, merupakan buku teks pemberian kerajaan yang aku tak pulang2 sehingga kini meski aku dah lama menamatkan zaman persekolahan...Memang dasar jenis manusia yang tak tahu erti terima kasih dan syukur...Tak fikir pasal hak adik2 dan generasi mendatang... - sekadar percakapan untuk diriku sendiri-

Aku membaca novel itu hanya setelah aku tamat SPM (buku teks komsas tue aku tak pulangkan balik kat sekolah)...Faktor bosan yang menyebabkan aku membaca novel ini...Hairan dan aneh sekali...Bila membaca dalam keadaan sebegitu, aku mudah sekali memahami dan menghayati isinya...Bukan masa aku belajar SPM dulu aku tak cuba baca...Tapi bila aku mula baca, ngantuk menguasai aku...Bahkan setelah SPM, aku bukan sekadar khatam membaca novel Di Hadapan Pulau tapi juga beebrapa bahan bacaan wajib KOMSAS yang lain...Antaranya, kumpulan cerpen dan puisi yang termuat dalam antologi "Orang Laut" dan 'Kerusi"...Sejak dari itulah, aku mula mengenal beberapa orang penulis yang sememangnya sudah tersohor dan tidak kurang juga yang pada ketika itu baru mula membina tapak dalam bidang sastera penulisan terutamanya penulis muda. Aku sangat kagum dengan beberapa orang penulis muda. Antaranya Faisal Tehrani dan Siti Hajar Mohd Zaki.  Siti Hajar Mohd Zaki, pada saat beliau masih belajar di Tingkata Enam, karya cerpennya sudah pun dijadikan antara bahan bacaan KOMSAS pada waktu aku bersekolah dulu...Bayangkan...Baru tingkatan enam...tetapi karyanya sudah dibaca oleh semua pelajar sekolah menengah...Karyanya yang digunakan sebagai rujukan bahan bacaan KOMSAS pada ketika itu adalah berjudul "Menatap Wajahnya"...Antara karya cerpen lain dalam KOMSAS yang sehingga kini masih segar dalam ingatan aku adalah seperti "Di Sisi Rinda", "Kerana Manisnya Epal", "Pusaran", 'Annyss Sophillea".  


"Di Sisi Rinda" adalah cerpen karya A. Samad Said...Mengambil latar sekitar era pendudukan Jepun...Rinda adalah nama kucing yang sangat eksotik sekali gelarnya jika ditanggap menurut pemikiran dan suasana latar pada ketika itu...Kisahnya tentang susah payah seorang anak perempuan kecil bersama kucingnya, Rinda yang terpaksa mengharungi kesusahan akibat bahana perang...


"Kerana Manisnya Epal" pula karya yang pada aku sangat manis dibaca semanis tajuknya...Karya Faisal Tehrani...Antara falsafah yang terkandung dalam cerpen itu yang sehingga kini masih ku kenang adalah "Untuk hidup senang mungkin impian kebanyakan orang, tapi untuk hidup tenang hanya impian segelintir orang"...Ok...cukup sahaja sorotan-sorotan masa lampau...Kalau mahu dinukilkan, tak akan pernah habis...cukup...


Sebenarnya aku ingin berkongsi pembacaan aku terhadap 2 karya A. Samad Said atau juga dikenali sebagai Pak Samad.  Sekitar pertengahan bulan Mac baru ini, telah aku khatamkan...Itu pun kalau tiada yang menghalang, aku boleh khatam lebih awal...Tapi disebabkan tuntutan kerja yang terpaksa ke sana- kemari, ia menganggu keasyikkan aku membacanya dengan aman dan tenang...


Satu adalah koleksi cerpen (cerita pendek) dengan judul "Tasik Syahdu"...Aku pilihnya kerana di dalamnya tersemat bacaan lalu aku kerana salah satu koleksi yang terkandung dalam judul itu ada judul cerpen "Di Sisi Rinda"...Aku ingin mengalami semula keasyikkan membaca karya itu...Yang lagi satu pula adalah novel dengan judul "Salina"...Sapa yang jujur dalam dunia sastera pasti akan kenal novel itu...pasti sudah membacanya...Bagi orang macam aku, yang tak bersungguh dan serius dalam dunia semacam ini, maka novel itu baru sahaja aku baca pada usia selewat ini... Sebelum ini hanya ku dengarkan dari mulut orang dan bacaan ulasan orang dalam kepingan-kepingan akhbar saja...Hanya skadar itu... 

* cerita pendek "Tasik Syahdu dan cerpen-cerpen lain.



Aku hanya membaca Salina setelah aku menyudahi pembacaan aku terhadap koleksi cerpen Tasik Syahdu...Ya Salina...Cerita pasal wanita...Pasal satu watak yang kalau diteliti secara kasar dan rambang, mungkin akan dintrepretasi sebagai sisi hitam...Tapi Pak Samad cuba menyampaikan sisi putih dibalik sisi hitam...Aku merasakan bahawa karya Salina bukan rekaan seluruhnya tetapi ia adalah sebahagian liputan cerita dari sejarah silam si penulis....Kerna itu, Pak Samad ada menyatakan bahawa yang mana beliau tidak mahu menyampaikan Salina dengan gaya penghujung cerita yang lazimnya atau klise dilakukan oleh kebanyakan penulis iaitu memberikan suatu yang penghujungnya diakhiri dengan gambaran penceritaan gaya penuh bermoral...Ini jelas seperti yang dinyatakan Pak Samad bahawa "Beliau mahu menulis dengan jujur...Lebih ke arah realis jujur, bukan moralis palsu"...Kerna itu, di penghujung cerita ini kelak bagi yang belum membacanya akan dapat tahu bahawa sisi hitam itu akan terus berlangsung tanpa diputihkan dengan usaha keputihan yang lazimnya...


* Kulit muka depan novel Salina - aku suka reka hias kulit depannya..Gambar rama-rama...Bahkan gambar rama-rama itu timbul di atas belahan kedua tapak tangan itu...Ya..Rama-rama kan semacam ada suatu ikatan dalam nada metafora dengan golongan hawa...

Salina mengambil latar tempat 'Kampung Kambing" yakni sebuah kawasan yang ada dalam Pulau Singapura dengan latar waktu pasca perang dunia kedua di Tanah Melayu.  Diberi nama, Kampung Kambing kerana rumah-rumah yang didirikan di tapak itu asalnya merupakan kadang-kadang kambing yang diubahsuai menjadi bilik-bilik bagi disewakan kepada manusia-manusia miskin lebih-lebih kesan daripada bahana perang yang menurut Pak Samad sendiri memberikan suatu kerosakan yang bukan sedikit kesannya...


*Salah satu gambar yang terdapat dalam novel ini...A. Samad Said ketika muda??? Barangkali???

Salina dalam novel ini adalah pelacur...Pelacur...Dengan melacur dan menyundal itulah Salina isi perutnya...bukan perutnya sahaja yang diisi dengan hasil menlacur dan menyundal tapi ada perut lain yang kalau difikirkan dari sudut kebiasaannya tiada perlu dia isikan...perut yang aku maksudkan itu adalah perut watak antogonis dalam novel ini iaitu watak Abdul Fakar...Lagi satu Abdul Fakar itu tiada punya tali ikatan ijab-kabul pun dengan Salina...tiada hubungan suami-isteri yang sah pun antara keduannya..tapi itulah keanehannya,kenapa Salina itu menyaranya...Abdul Fakar itu seperti yang sering diulang-ulang dalam 
novel ini dilabel sebagai 'makan tanggung,berak cangkung"....Jawapan kepada mengapa Abdul Fakar itu ditanggungnya akan Salina, adalah suatu jawapan yang menurut aku adalah jawapan yang agak tidak patut...Diberitahu oleh Pak Samad bahawa Salina itu mencintai Abdul Fakar kerana wajah si antogonis itu mirip dengan kekasih lamanya yang telah mati akibat bahana perang yang namanya adalah Muhammad Yusup...



Meski Si Salina itu melacur dan menyundal (suatu pekerjaan hina, kotor,neraka) tapi dia itu adalah orang yang ada baiknya...Banyak membantu jirannya yang terutamanhya watak Hilmi dan ibunya yang mana Si Helmi itu ditanggap sebagai adiknya...Dibantunya Helmi itu dalam urusan pelajaran utamanya...Namun Helmi itu tiada dapat menghabiskan pelajaran lantaran terpaksa menjaga ibunya yang sakit kuat itu...

Selain watak Salina, Hilmi, Abdul Fakar ada watak lain..Nahidah misalnya yang punya perasaan dengan Hilmi namun akhirnya cintanya itu tidak ke jinjang pelamin...Sunarto, si tabah yang terpaksa menahan sakit hati dan diri kerna sesuatu yang berlaku di masa lalunya...Zarina satu lagi antagonis yang dikisahkan sebagai ibu tiri yang membawa Nahidah ke lembah kehinaan...Haji Karman dengan berbekal-bekalkan ilmu nasihat dengan asas agama sentiasa aja mengeluh, berasa resah, dan menasihati penduduk kampungnya akan perilaku mereka yang tidak mengikut kehendak syarak...Namun  nasihat hanya tinggal nasihat kerna apa lah sangat ada pada nasihat..bukan dapat memberikan sesuatu dalam bentuk material...Razman pula watak pelik 
dan aneh...menyendirikan dirinya akibat suatu peristiwa yang memberi tamparan dalam hidupnya...dikisahkan bahawa "laut yang mengambil isterinya" telah langsung mengubah dirinya...jangan disalah tafsir bahawa isterinya itu lemas di laut...bukan itu yang dimaksudkan...ada maksud lain...nak tahu, kena baca, fahami dan hayati...tapi ada yang uniknya tentang si Razman ini yang mana dalam hidupnya menyendiri itu, beliau itu suka membaca...mungkin untuk mengisi kekosongan jiwanya itulah ia membaca...


* Kulit belakang novel - unik sekali gambar ini...aku sangat suka gambar ini...paling suka...
ada elemen cool, artistik,intelek,perjuangan,tabah, bersekang mata, kenyang ilmu, tak lapar, hanyut, khayal, mabuk, zouk,berada di dunia sendiri, terpisah dari arus perdana,hanya diri,buku dan Tuhan, terawang2, seolah2 kita memasuki dunia buku yang dibaca lantas memerhati atau turut sama dalam penceritaannya, berterbang-terbangan, berlari2 kecil,berlari2 anak,berlari2 semput di atas huruf-huruf pada setiap helaian muka surat...ah...indah sekali...asyik sangat...teringin nak ada sebuah bilik yang dipenuhi lambakan buku-buku yang dibaca sepanjang hayat ini...dan kemudiannya akan aku wariskan ini sebagai harta warisan utama pada anak cucu ku...


Apapun jika mahu membaca Salina, perlulah dibaca akan ia dengan hati yang tenang, hati yang terbuka, sabar kerna apa yang disajikan mungkin ada yang kurang bersetuju terutamanya dari segi sudut moral lebih-lebih lagi jika dipandang dari sudut pengadilan agama Islam.





Tiada ulasan: