Rabu, 27 Ogos 2014

Riau 2: Dari Medan Sumatera ke PekanBaru Riau, Indonesia.




Usai tiba di lapangan terbang KualaNamu, Medan, Sumatera, kami perlu berurusan dengan pihak imigresen Indonesia. Kami menyerahkan borang imigresen yang telah diisi di dalam pesawat sebelum ini. Tempoh masa penerbangan dari Bayan lepas ke KualaNamu adalah sekitar 45 minit. Pihak imigresen bertanya dengan soalan tujuan berada di Indonesia dan tempoh masa berada di Indonesia. 

Setelah selesai urusan tersebut, kami memasuki ruang dalaman lapangan terbang.Kami cuba mendapatkan tiket paling awal ke Pekan Baru, Riau. Kami mengambil tiket penerbangan sekitar jam 1700 waktu. Waktu Indonesia adalah sekitar sejam lebih awal daripada waktu di Malaysia.  Maksudnya kalau jam 1700 di Indonesia, di Malaysia adalah sekitar jam 1600.


Kaunter tiket di Lapangan Terbang KualaNamu, Medan, Sumatera.

Kami menaiki khidmat penerbangan Syarikat Lion Air. Sementara menunggu waktu penerbangan, kami solat jamak di musallah lapangan terbang (musallah adalah istilah yang merujuk surau), dan makan. Aku makan menu yang sama dengan guruku iaitu bakso dan air jus aprikat. Jus aprikat tue berwarna hijau pekat dengan terdapat lelehan susu yang berwarna coklat.  

Seterusnya, kami hanya menunggu di tempat duduk yang terdapat di ruangan terbuka lapangan terbang.  
Aku mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekitar ruang dalaman lapangan terbang. Yang paling bestnya, di lapangan terbang ini, kita boleh menghisap rokok. Jadi sambil menghembuskan kempulan asap rokok, aku memerhatikan gelagat manusia Indonesia yang terdapat di kawasan lapangan terbang tersebut. Ada yang menunggu jadual penerbangan. Ada yang baru tiba.  Ada juga yang sedang menunggu barangkali ahli keluarga, sanak-saudara dan teman taulan yang bakal berkunjung tiba.



Keadaan ruang legar di Lapangan Terbang KualaNamu, Medan, Sumatera

Sekitar 2 jam sebelum berlepas, kami masuk ke kawasan balai pelepasan dengan alasan agar tidak lagi ketinggalan pesawat. Ruang balai pelepasannya agak luas dan besar serta terbuka. Tiada ruang-ruang sekatan berdasarkan jenis dan waktu penerbangan. Semuannya dikelompokkan sekali sahaja. Setelah puas 
melihat gelagat dan telatah manusia Indonesia, aku tidur. Tidur untuk menghilangkan kebosanan. Nak baca slide pembentangan, aku rasa malas. Jadi aku tidur sementara menunggu jadual penerbangan tiba.

Nama pesawat dan waktu penerbangan aku dipanggil. Kami bergerak memasuki pesawat. Kali ini seperti sebelumnya, bahagian tempat duduk kami adalah dibahagian tengah, cuma yang bezanya kali ini dibahagian sisi kanan pesawat. Dari 3 baris sisi tempat duduk, aku duduk dibahagian tengah antara guruku dan seorang penumpang lain.

Berkenaan pesawat Lion Air ini, ianya boleh dikatakan lebih selesa dan enak daripada Air Asia. Ruang tempat duduknya lebih besar. Jarak antara tempat duduk depan dan belakang punya ruang yang sedikit luas. Tak seperti Air Asia yang sempit. Tambangnya pula adalah sekitar 600 000 RUPIAH iaitu bersamaan sekitar RM 180 seorang.


Pesawat Lion Air

Sekitar sejam penerbangan, kami pun tiba di lapangan terbang di Pekan Baru.  Namanya adalah lapangan terbang Sultan Syrafiff Kassim II.  Sultan Syraiff Kassim II ini merupakan antara Raja Siak yang dahulunya Kesultanan ini diasaskan oleh Raja Kechil yang konon dengar katanya adalah keturunan Al-Marhum Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Kota Tinggi.


Lapangan terbang Sultan Syarif Kassim II


Kami turun dari pesawat menerusi pintu belakang. Andai kami tidak terlepas pesawat pagi tadi, ada orang dari Universiti Islam Riau yang menjemput kami. Maka kami terpaksa menaiki teksi ke hotel penginapan.  Tambang teksi dari lapangan terbang ke hotel adalah sekitar 50 000 rupiah iaitu sekitar RM 15.

Kami menginap di Hotel Pangeran yang duduk letaknya di Jalan Sudirman. Hotel yang menurut ku adalah berstatus sekitar 4 bintang. Segala keperluannya tersedia dan cukup. Tapi bagi orang seperti aku ini, hotel badjet pun sudah memadai.  Aku ini bukan golongan aristokrat.  Aku ini kan anak kampungan dari galur proletariat bawahan.


Hotel Pangeran

Setelah selesai urusan pendaftaran hotel, kami mencari warung makan.  Tidak susah mencari warung makan. Ianya hanya terletak di sebelah hotel. Nama warung tersebut adalah Warong Ambengan. warung itu menyediakan masakan jawa timur. Guruku memesan pecel ayam manakala aku pecel lele dengan tambahan 
tempe dan tauhu. Jenis masakan ini bukan suatu yang asing bagi aku sebab aku ini kan keturunan Jawa dari garis belah ibu ku bahkan aku juga dibesarkan dalam budaya Jawa. Maka jenis makanan seperti itu bukanlah suatu yang sangat asing dalam hidupku. Bahkan di Pulau Pinang, aku juga sering makan masakan 
ini bersama-sama rakanku di sebuah warung yang diusahakan oleh pendatang Indonesia keturunan Jawa di Relau.


Warong Ambengan

Usai makan, kami pulang ke hotel. Rehat untuk sesi seminar esoknya. Sehingga sampai ke Pekan Baru pun, aku masih tak tahu jadual sesi pembentangan aku. Aku berharap agar sesi pembentangan aku jatuh pada hari Rabu bukannya esok, sebabnya aku masih penat dan perlu buat sedikit persediaan.





Tiada ulasan: