Pada 19-20 Ogos 2014 yang lalu, guruku dan aku diundang oleh Universiti Islam Riau (UNRI), Indonesia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membentangkan kertas kerja di Pekan Baru, Riau, Indonesia.
Kami bertolak ke lapangan terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang jam 5.30 pagi pada 18 Ogos 2014. Untuk ke Pekan Baru, kami perlu menaiki 2 pesawat. Dari Pulau Pinang ke KLIA dan kemudiannya baru ke Pekan Baru. Walaubagaimanapun, rencana itu tidak terjadi. Hal ini kerana kami terlepas pesawat dari Pulau Pinang. Kami sepatutnya berangkat jam 6.40 pagi. Tapi disebabkan waktu yang agak lama diperuntukkan sewaktu pemeriksaan imigresen, maka pesawat tambang murah Air Asia itu meninggalkan kami.
Sepatutnya, kami perlu berada di balai pelepasan sekurang-kurangnya 20 minit awal sebelum penerbangan. Guru aku bertanya pada aku: "kenapa tak ingatkan?". Aku lantas jawab: "manalah saya tahu Cik Hamid". Kemudian guru aku menyoal lagi: "Kau tak pernah naik kapal terbang ke?". Aku jawab: "Tak pernah". Dalam hati aku pula bermonolog: "Dia ini dah banyak kali naik pesawat, aku ini pula baru pertama kali naik, manalah aku tahu urusannya macam mana". Dalam hal ini guruku agak sedikit kecewa dengan syarikat Air Asia. Menurutnya, lazimnya mereka akan buat pengumuman sekurang-kurangnya 3 kali bagi para penumpang yang masih lagi tiada di balai pelepasan. Namun hal ini tak terjadi. Maka sepanjang perjalanan kami, guruku itu akan menyebut-yebut tentang peristiwa tertinggal pesawat ini dan bagaimana layanan Air Asia kepada para pelanggannya.
Kemudiannya, guruku terpaksa membeli tiket sendiri. Untuk mengejar pesawat kedua di KLIA, sudah tak sempat kerana pesawat di KLIA akan berlepas ke Pekan Baru sekitar jam 10 pagi. Maka dengan itu, guruku membuat keputusan agar pergi ke Medan terlebih dahulu. Dari Medan, barulah ke Pekan Baru. Dari Pulau Pinang ke Medan, kami menaiki pesawat Air Asia dengan tambang harga sekitar RM 150 seorang.
Pesawat kami jam 11.00 pagi. Untuk mengelakkan kejadian terlepas pesawat, maka guruku membuat keputusan agar menunggu di balai pelepasan. Bosan gila menunggu. Buku aku pula dalam beg. Beg dah
pun dihantar ke bahagian bagasi. Jadi sepanjang tempoh menunggu tue, aku tidur sahaja. Dan aku memang memerlukan tidur. Sebabnya semalaman aku tak tidur lantaran menonton bola sepak EPL di kedai mamak bersama Wandy dan Faiz sehingga larut malam. Sebelum ke balai pelepasan, guruku menukar wang dari Ringgit Malaysia ke Rupiah Indonesia. Kadar tukaran mata wang pada hari itu adalah sekitar RM 1= 3333 Rupiah. Guruku menukar wang sekitar RM 1000. Maka nilainya dalam rupiah adalah sekitar 3 333 000 rupiah Indonesia.
Tempat duduk aku di sekitar bahagian tengah sebelah kiri pesawat. Disebabkan ini merupakan kali pertama aku menaiki pesawat, guruku memberikan ruang tempat duduk yang bersebelahan dengan tingkap. Sebelum pesawat berlepas, pramugari yang berseragam merah seksi memberikan sesi penerangan tentang aturan dan langkah keselamatan dalam penerbangan. Penerangannya diikuti dengan demostrasi yang dilakonkan oleh
beberapa pramugari yang seksi itu. Ianya berkenaan tentang cara memakai tali pinggang keselamatan, topeng udara, jaket keselamatan, laluan yang perlu dilalui jika berlaku kecemasan dan lain-lain lagi.
Kemudian, pesawat berlepas. Setelah berada di kedudukan lurus di laluan berlepas, pesawat itu pun memecut laju untuk menaiki ruang udara. Bunyi enjin dan kipasnya menderum-derum. Mungkin disebabkan pesawat ini tambangnya murah, maka imbalan bunyi itulah hasil harganya.
Setelah berada di ruang udara, aku dapat saksikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Dari atas, segala yang dibawah umpama lukisan. Nampak dengan jelas petak-petak kawasan yang telah diterokai manusia daripada tanah alam yang dikurnia tuhan. Ada petak yang meunjukkan kawasan perumahan. Ada petak yang menunjukkan kawasan perindustrian. Ada petak yang menunjukkan kawasan perladangan.Cuaca hari itu baik dan cerah. Aku dapat melihat gumpalan awan. Pesawat melalui dan menerobos gumpalan-gumpalan awan itu. Dari balik gumpalan awan itu, terlihat juga sinaran matahari memancar. Memancar menembusi lapisan awan untuk sampai ke permukaan tanah bumi.
Sepanjang perjalanan, aku tidak melepaskan mata pandangan aku ke luar tingkap. Ini adalah pengalaman aku yang pertama. Mungkin pesawat yang berikutnya, aku tak mungkin ada kesempatan untuk duduk di sebelah tingkap.
Sebelum mendarat, pramugara berbangsa Indonesia ada memberikan 2 buah borang. Satu borang kastam.
Satu lagi borang imigresen. Pada awalnya, aku hanya diberikan borang kastam. Borang imigresen tidak diberikan. Aku rasa pelik sebab guruku diberikan 2 borang sedangkan aku hanya satu borang. Aku diamkan sahaja. Ketika mahu menyerahkan kembali borang tersebut, barulah guruku perasaan yang aku tidak mengisi borang imigresen. Guruku aku bertanya: "Kenapa tak isi borang imigresen?". Aku jawab: "Dia tak bagi pun". Guruku kata lagi: "Dia ingat kau orang Indonesia lah tue".. Kemudian guruku gelak kecil. Dalam borang tersebut, kita perlu isi tentang butiran diri kita iaitu terdiri daripada nama, no pasport, alamat, tujuan ke Indonesia dan jangka masa berada di Indonesia.
Pesawat mendarat di lapangan terbang Medan, Sumatera, Indonesia. Nama lapangan terbang itu adalah Lapangan Terbang KualaNamu, Medan, Sumatera, Indonesia. Menurut guruku, ini merupakan lapangan terbang baru. Guruku memang sering ke Medan. Paling kurang pun sekali setahun. Hal ini disebabkan guruku itu beristerikan orang Medan.
LAPANGAN TERBANG KUALANAMU MEDAN SUMATERA.
Setelah para pramugara mengucapkan selamat tinggal, kami pun turun dari pesawat. Kemudian menuju ke ruang dalam lapangan terbang. Sebelum memasuki ruang dalam, kami perlu melepasi pemeriksaan imigresen sepertimana keadaannya di Malaysia. Segala barang yang berunsurkan besi dan logam perlu ditanggalkan daripada badan iaitu jam, tali pinggang, telefon bimbit dan sebagainya. Barang ini diletakkan di sebuah bekas dan akan disaring pada sebuah mesin. Jika ada barang2 yang mencurigakan, alat penggera akan berbunyi. Namun, mujur segala berjalan lancar dan beres sahaja.
Begitulah cerita tentang pengalaman pertama aku berhubung dengan lapangan terbang, pesawat, pramugari, pramugara, juruterbang, Malaysia-Indonesia. Disebabkan aku ini haiwan sosial dari kelas bawahan, kelas proletariat, anak kampungan, maka pada usia setua begini barulah aku merasa menaiki kapal terbang yang mana dahulunya, aku beranggapan bahawa kapal terbang itu adalah sinonim dan layak untuk golongan kelas atasan, aristokrat apatah lagi superstokrat dan juga hanya layak untuk orang kota sahaja. Rencana tuhan tiada siapa yang tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan