Khamis, 11 Ogos 2011
Suku Air Banjir
* Temubual bersama Tatak Hassan
Hari ini gua tak pergi bertapa dalam gua. Tapi gua pergi berguru ke kawasan bukit. Pergi berguru dengan "Tatak Hassan" (Pak Cik Hassan). Sebenarnya gua kena temankan seorang pelajar PhD dari Universiti Australia yang sedang buat kajian tentang gua-gua yang terdapat di daerah Lenggong ni. Budak itu nak tahu tentang hubungkait gua dengan masyarakat Orang Asal dari suku kaum Lanoh yang terdapat di Lenggong nie. Berdasaran temubual yang dijalankan, dari segi sejarahnya, masyarakat Orang Lanoh ini pada sekitar era sebelum merdeka dahulu tinggal secara pindah rendah terutamanya di kawasan tempat yang bernama "sumpitan". Gua juga merupakan salah satu kawasan yang dijadikan tempat penginapan dan persinggahan mereka. Namun begitu, gua ini bukanlah tempat penempatan kekal atau tetap mereka. Ia lebih berfungsi sebagai tempat berteduh untuk sementara waktu bagi setiap kali mereka keluar dari penempatan utama mereka atas tujuan tertentu. Lazimnya, masyarakat ini yang mana turut dikenali dengan panggilan orang Semang oleh ahli etnografi barat, menjadikan gua sebagai tempat berteduh apabila mereka keluar memburu dan mencari hasil hutan. Masyarakat ini akan berteduh sekitar 7-14 hari bagi setiap kali menjalankan aktiviti ini. Bahkan menurut cerita mereka, terdapat juga dalam kalangan mereka yang lahir di dalam gua tersebut. Antara gua-gua persinggahan mereka adalah seperti Gua Badak, Gua Kajang, Gua Harimau dan Gua Teluk Kelawar. Sewaktu berteduh di gua-gua inilah, mereka melukis sesuatu yang dianggap unik dan menarik di dinding gua-gua dengan menggunakan arang. Namun kini, perbuatan berteduh di gua sudah tidak dijalankan lebih-lebih lagi setelah pihak kerajaan menempatkan masyarakat ini di kawasan penempatan semula di kawasan yang diberi nama Kampung Air Bah. Aktiviti pemburuan (bedil aii) juga turut jarang dilakukan. Budaya sara hidup yang dilihat masih berjalan sehingga kini adalah aktiviti penanaman padi bukit dan mencari hasil hutan untuk tujuan pemakanan dan dijual kepada pihak orang tengah.
* Binaan ini dikenali sebagai "balai sewang". Balai ini berfungsi sebagai pusat perhimpunan untuk majlis tertentu terutamanya untuk aktiviti tarian sewang yakni sejenis tarian masyarakat Negrito yang mana tarian ini mempunyai jenis-jenisnya tertentu seperti sewang perubatan, sewang kematian dan sewang keramaian. Balai sewang ini diperbuat daripada kayu hutan sebagai asas binaannya iaitu sebagai tiang dan alang rumah. Manakala lantainya pula diperbuat daripada buluh-buluh yang mempunyai ruas yang panjang seperti buluh teming dan buluh suwoor yang dibelah-belah. Dindingnya pula daripada batang pokok bertam yang dianyam dengan mengenakan sesuatu corak tertentu yang mana corak tersebut dikenali sebagai "kelarai". Terdapat beberapa jenis kelarai. Yang paling popular adalah kelarai yang berbentuk "diamond". Namun begitu, anyaman kelarai ini bukanlah merupakan budaya asal masyarakat orang Lanoh secara khususnya dan Negrito umumnya. Hal ini kerana, seni bina dan kemahiran seni masyarakat Negrito biasanya tidak mempunyai corak dan lebih bersifat "plain" sahaja. Kewujduan corak ini dalam seni bina dan kemahiran seni mereka adalah kesan pertembungan dan hubungan mereka dengan masyarakat hutan dari kelompok masyarakat Senoi terutamanya masyarakat suku kaum Temiar yang memang sudah maklum terkenal dengan sifat seni halusnya itu. Atapnya pula lazimnya diperbuat daripada daun-daun pokok yang panjang-panjang saiznya misalnya seperti daun cacoh (alik cacoh), daun melanjang (alik hareng), daun bertam (alik layes), daun langkap (alik langkap) dan daun korr (alik korr). Atap ini lebih dikenali dengan nama "atap cacoh".
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
aku dah jumpa blog kau amir
Catat Ulasan