Isnin, 8 Ogos 2011

Ranjau Sepanjang Jalan

Masa gua dok lepak makan angin kat Lenggong nie, gua sempat lah jugak habiskan membaca sebuah novel yang dikarang oleh sasterawan negara Shanon Ahmad. Judulnya "Ranjau Sepanjang Jalan". Awal penceritaan dimulakan dengan frasa ayat "mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan Allah Azzawajalla". Ya, suatu frasa ayat yang menurut gua sangat unik dan bermakna meskipun kalau dibaca sekali lalu ianya tidaklah lebih daripada sekeping ayat yang bukanlah sukar sangat untuk difahami. Namun pada gua, ayat ini sememangnya memberikan suatu kesan yang mendalam kepada hati gua lebih-lebih lagi apabila gua secara tetiba sahaja dalam keadaan spontan bertafakur tentang sejauhmana hubungan gua dengan Tuhan Allah gua.




* Novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shanon Ahmad



Berbalik kepada "Ranjau Sepanjang Jalan". Kisahnya berkisarkan kepada perit jerih, penat lelah kehidupan sebuah keluarga pesawah yang mengambil Kampung Banggul Derdap sebagai latar tempatnya. Keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri bernama Lahuma dan Jeha yang terpaksa berjuang demi survival kehidupan mereka dan anak beranak mereka yang tujuh orang semuanya. Dengan menggunakan kudrat manusia tanpa bantuan sebarang mesin traktor canggih, Lahuma sekeluarga mengerjakan tanah yang luasnya 14 relung itu untuk ditanam padi. Dari menebas hutan menerung dan rumput landak sehinggalah padi menjadi beras dan kemudiannya nasi yang akhirnya bertukar tidaklah lebih hanya dipandang sebagai najis, semua perbuatan itu dilakukan Lahuma sekeluarga sejak dari dahulu lagi. Memang begitulah ragamnya hidup bangsa pesawah. Sudah menjadi pekerjaan tradisi turun-temurun. Belum pun sempat, hutan menerung habis ditebas, si isteri, Jeha sudah pun tertimpa malapetaka terkena geruh ular tedung. Kemudian, apabila semangaat si Jeha kembali pulih, si suami, Lahuma pula tercucuk onak nibung yang kemudiannya membawa kepada suatu penyeksaan yang begitu menyakitkan kepada fizikalnya sehingga membawa kepada kematian.


Kematian Lahuma juga barangkali suatu bencana kepada keluarga itu. Hanya Lahuma sahaja lelaki dalam keluarga itu yang punya kudrat kuat untuk mengusahakan padi di tanah 14 relung itu. Lahuma sudah bertahun-tahun lamanya memongkah dunia sawah. Lahuma cukup mengerti mainan dunia sawah. Cukup faham jenis dugaannya. Banjir, kemarau, ketam, tikus, lintah gajah, ular tedung, burung tiak, hutan menerung dan rumput landak yang merupakan malapetaka yang sangat ditakuti tapi tiada pernah mengalah melawannya selagi mampu. Kini Lahuma sudah pergi, tinggallah Jeha menghadapi musim membuat petak, menanam padi dan musim-musim seterusnya bersama anak-anak betinanya itu. Ternyata Jeha belum cukup kuat mental dan moralnya untuk menghadapi segala macam dugaan dan ujian membuat sawah tanpa Lahuma. Sudahnya, Jeha hilang akal kerana tiada termampu menunaikan amanah peninggalan arwah suaminya. Mana taknya, bukan mudah melawan ketam yang beribu banyaknya, banjir yang membawa segala macam sampah dn balak yang memusnahkan batang-batang padi, bahkan kemudiannya serangan tiak yang datang dalam banyak gerombolan menelan padi-padi itu. Mujur Sanah dan beradiknya yang lain tidak hilang akal macam maknya. Sanah dan adik-adiknya itu - Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah itulah yang akhirnya menyambung perjuangan mak dan bapak mereka agar padi-padi di sawah itu dapat diangkut naik ke jelapang.

Meskipun padi tahun itu kurang hasilnya, namun keluarga malang itu tidak pula memaki-maki Allah Azzawajalla kerana menurunkan bala yang bertali arus kepada mereka. Bala dan segala macam yang berlaku diterima dengan hati terbuka bahkan segalanya itu dijadikan tekad dan semangat untuk terus menanam padi di masa depan sekiranya roh masih bersemadi di dalam jasad mereka.


Betullah kata guru gua,: "Orang yang buat padi merupakan bangsa yang rajin dan mempunyai kesungguhan yang tinggi".




* Poster filem Ranjau Sepanjang Jalan arahan Jamil Sulong



"Ranjau Sepanjang Jalan" yang merupakan antara karya besar Prof. Emeritus Datok Haji Shanon Ahmad tahun 1966 juga merupakan novel yang pernah diadaptasi kepada bentuk filem yang diberi judul "Rice People" yang mana cerita tersebut telah diarahkan oleh pengarah filem dari Kemboja iaitu Rithy Panh pada tahun 1994. Filem "Rice People" ini juga telah memenangi anugerah "Best Foreign Language Film" di pentas Festival Filem Cannes 1994 yang mana turut merupakan anugerah pertama yang diterima industi filem Kemboja di peringkat antarabangsa. Bahkan, sebelum itu lagi iaitu tahun 1983, novel ini sebenarnya telah diadaptasi ke dalam filem dibawah arahan anak tempatan sendiri iaitu Dato Haji Jamil Sulong dengan menggunakan judul filem yang sama dengan judul novel asal. Filem ini juga turut membuahkan hasil apabila berjaya memenangi sejumlah penganugerahan dalam Festival Filem Malaysia ke-4 pada tahun 1983. Dalam FestivalMalaysia tersebut, filem Ranjau Sepanjang Jalan ini telah memenangi anugerah dalam ketagori Filem Terbaik, Lakonlayar Terbaik, Jurukamera Terbaik dan Pengarah Seni Terbaik.




* Poster filem "Rice People" arahan Rithy Panh



p/s : masa gua berbuka puasa makan nasi, serius gua macam nak nangis sebab asyik teringatkan kisah Lahuma, Jeha dan sawah padinya....

Tiada ulasan: