Jumaat, 29 Oktober 2010

Seminar Isu Sejarah 1945-1957

Tanggal 25 dan 26 Oktober lalu, satu seminar sejarah telah diadakan dibawah anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM. Penganjurannya melibatkan pembentangan kertas kerja oleh beberapa sarjana tempatan yang datang dari beberapa universiti yang berbeza. Temanya tentang isu sejarah yang berlangsung sekitar tahun 1945 hinggalah 1957. Dari pengamatan penulis, kebanyakan peserta lebih berminat menghadirkan diri mereka di seminar yang membincangkan isu sejarah politik berbanding isu sejarah yang berkait soal sosial ataupun ekonomi. Malah yang lebih menarik seminar ini dilihat cuba merungkai episod sejarah tempoh tersebut dengan membawa suatu tafsiran baru yang berbeda dengan tafsiran tipikal sebelum ini. Rata-ratanya cuba melihat pejuang kiri nasionalisme Tanah Melayu era pra Merdeka sebagai kelompok yang jauh lebih berperanan berbanding dengan kelompok pejuang kanan yang diterajui UMNO. Bahkan terdapat juga pembentang yang mempersoal tentang isi kandungan buku teks sejarah yang diguna-pakai para pelajar di sekolah kerana menurut mereka ini kandungannya tidak lebih sebuah mitos atau dongeng yang sudah jelik dan basi untuk diperdendangkan di gegendang telinga generasi muda masa kini. Berdasarkan pembentangan tersebut, barulah penulis mengerti bahawa kandungan buku teks itu seperti ada unsur pembohongan. Bukan itu sahaja, kandungannya sangatlah berat sebelah sehingga menutup atau memadamkan perjuangan nasionalisme sebenar yang didukung oleh PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya) sehingga tokoh-tokoh dan sumbangannya dipinggirkan begitu sahaja ditelan zaman. Ternyata, seminar semacam ini telah membuka mata peserta seminar tersebut untuk kembali memikirkan tentang sejarah dan pensejarahan bangsa dan tanahairnya....

Tiada ulasan: