Rabu, 30 September 2009

KISAHNYA SANG ANARKIS

<

U.M.I K.AL.S.O.M B.I.N.T.I. M.A.T. L.A.S.I. Teriak anak- anak Sekolah Menengah Kebangsaan Hujung Syura sewaktu guru baru itu menyuruh mereka membaca tulisan yang tertera pada papan kapur di hadapan kelas. Itulah nama guru baru mereka. Ayu wajahnya umpama ayunya bunga mawar. Manis bicaranya laksana manisnya gula melaka. Memang seorang guru yang penyayang dan sopan tingkah lakunya. Rasanya tidaklah terlalu awal untuk membuat hipotesis terhadap guru baru itu. Luarannya sahaja sudah dapat merungkai segala isi dalaman hatinya.

" Adakah semua hari ini hadir ke kelas?", tanya guru baru itu dengan nada yang agak tinggi sedikit.

" Tidak cikgu. Nur Jannah tidak hadir pada hari ini. Bukan sahaja hari ini, malah hari- hari yang lalu pun seperti begini", terang ketua kelas tingkatan 3 Zamrud itu dengan penuh dedikasi.

" Kenapa?", tanya cikgu itu ringkas.

" Dia anak orang susah cikgu. Kadang- kadang ke laut mencari nafkah", jelas pelajar yang duduk bersebelahan dengan tempat duduk Nur Jannah.

" Budak perempuan ke laut dalam usia sebegitu muda?"

" Ya, cikgu".

Terharu tetapi sedikit menakjubkan. Hati guru itu berbicara sepi.

" Kenapa anak semuda itu perlu turun ke laut?. Apa dia tak punya bapak?. Bagaimana anak sementah itu dapat menjalani kehidupan di laut? Bukankah anak ini perlu ke sekolah agar masa depannya terjamin?. Ah, persoalannya hanya akan terjawab apabila aku bersemuka sendiri dengan tuan empunya diri", desis hati cikgu itu membuat keputusan muktamad.

Petang itu hari kelihatannya agak cerah. Tiada tanda- tanda awal yang menandakan hujan akan turun. Ternyata kumpulan awan itu sentiasa memayungi bumi ini dari terik panas matahari. Sungguh indah dan hebat ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa ini. Satu kesempatan yang baik untuk mengorek rahsia yang tertanam di dalam diri insan bergelar Nur Jannah.

" Assalammuailaikum. Ada sesiapa di rumah?, panggil cikgu itu.

"Rasanya inilah rumahnya. Memang tak silap. Alamatnya sama dengan alamat yang terdapat dalam buku pendaftaran pelajar", hati guru itu berbicara sendirian.

" Waalaikumussalam". Tiba- tiba terpacul keluar seorang gadis sunti yang berkulit agak gelap. Namun gelapnya itu menyemat 1001 satu rahsia kehidupan.

" Cik nak cari siapa?", jelas gadis itu lagi setelah menjawab salam guru itu.

" Adik Nur Jannah".

"Sayalah insan itu. Kenapa dan mengapa mencari saya?".

" Saya ni cikgu baru kelas kamu. Boleh kita berbicara sebentar?".

" Berkaitan soal apa?. Soal saya tidak datang ke sekolah?. Sudahlah. Saya sudah bosan dengan semua ini", bentak Nur Jannah.

" Kenapa anak berbicara sedemikian rupa?"

" Tak gunanya saya ke sekolah. Malah bukan saya sahaja tetapi semua manusia miskin dan papa macam saya tak perlu lagi ke sekolah. Cikgu nak tahu sebabnya?".

" Boleh, kalau ianya tidak menyusahkan diri orang yang berbicara"

" Sebabnya, sistem pendidikan sekarang hanya dibentuk dan diakses hanya untuk golongan atasan. Dengan yuran yang mahal dan kos yang tidak munasabah, ternyata golongan macam kami ini tidak layak ke sekolah!", jelas anak itu seumpama berdebat dengan gurunya.

" Hanya kerana alasan itu sahaja yang menyebabkan kamu benci akan alam persekolahan. Bukankah masalah ini boleh dibawa ke meja perundingan. Membentak 1000 bahasa takkan mengubah kondisi ini', jelas guru itu sedikit tegas.

" Ah, sudahlah. Kalau datang ke sini hanya untuk berbicara hal begini, lebih baik cikgu pulang sahaja!".

"DAMM", tiba- tiba daun pintu rumah usang itu ditutup.. Cara pintu itu ditutup sudah cukup untuk menggambarkan perwatakan anak gadis itu. Cikgu itu pula tidak sempat melepaskan sebarang kata mengundur diri. Hanya mampu tergamam melihat adabnya seorang wanita melayu. Ternyata peristiwa ini memberikan suatu pengalaman yang baru bagi cikgu itu untuk disematkan di dalam diari kehidupannya.

" Tak apa. Hari ini memang tiada hasilnya. Tapi aku takkan berputus asa. Sekeras mana pun batu, kalau dititiskan air setiap masa akan lekuk juga akhirnya. Percayalah, kau akan dapat kujinakkan wahai Nur Jannah", omong batin cikgu itu dengan penuh kesungguhan.

Pagi muncul lagi seperti biasa. Kesegaran cuaca pagi ini disambut juga dengan kicauan burung dan hembusan angin bayu yang ternyata menghidupkan semangat setiap insan untuk meneruskan kehidupan. Terbangnya kumpulan burung di angkasa menandakan bahawa rezeki perlu dicari. Terbangnya kumpulan burung itu ternyata menguatkan lagi semangat Cikgu Umi untuk meneruskan kehidupan ini.

" Cikgu Fadhli kenal tak pelajar yang bernama Nur Jannah?", tanya Cikgu Umi.

"Oh, pelajar bermasalah itu. Kenapa?. Dia timbulkan masalah dengan cikgu ker?", tanya Cikgu Fadhli pula.

" Tak adalah. Saya cuma nak tahu lebih lanjut tentang kehidupannya. Saya ingin menghasilkan suatu manuskrip novel yang berkisarkan tentang diri beliau. Sangat menarik. Insan semuda 15 tahun sudah mampu untuk turun ke laut. Yang lebih menarik insan itu merupakan seorang gadis", jelas Cikgu Umi.

" Mungkin cikgu juga mampu untuk mengatasi masalahnya. Untuk maklumat terperinci, Cikgu boleh dapatkan daripada Sofea. Dia merupakan rakan baik Nur Jannah".

" Baiklah. Terima kasih Cikgu".

"Gadis berusia 15 tahun sudah pandai berbicara soal kemasyarakatan. Soal keadilan sejagat. Tapi kenapa perlu disembunyikan sahaja dalam hati.Keadaan takkan berubah kalau terus begitu. Bukankah perkara ini boleh dibincangkan. Mungkin dia tiada tempat untuk mengadu nasib. Tiada ruang untuk menyatakan penentangannya. Tak apalah. Biarlah aku yang mendengar segala protes dan ketidakpuashatiannya. Tapi macam mana?. Oh, Sofea kan ada!", terang kata hati cikgu itu.

" Sofea, awak tahu latar belakang Nur Jannah?", tanya Cikgu Umi mencari kepastian.

"Tahu cikgu. Tapi kenapa?", tanya anak murid itu pula.

"Kerana saya nak menyelami kehidupan dia".

" Oh, begitu!. Tapi dia merupakan seorang insan yang agak abnormal sedikit".

"Abnormal yang macammana?".

" Dia seorang penganut fahaman Anarkisme. Untuk pengetauhan cikgu, pendukung fahaman ini mempunyai cara mereka tersendiri. Mereka berfikir, berhubung dan bertindak berdasarkan konsep anarkisme ini, cikgu"

"Dan rata- rata kebanyakan daripada mereka menjadi seorang yang atheis", sampuk cikgu muda itu pula.

" Ya. Tapi macam mana cikgu tahu?", tanya Sofea pula .

" Tak delah. Cuma perkara yang menimpa Jannah sama seperti yang menimpa sahabat karib cikgu semasa di universiti dahulu", jelas cikgu itu.

" Cikgu juga tahu, kebanyakkan daripada mereka ini punya keistimewaan yang tersendiri. Antaranya, mereka gemar membaca bahan bacaan ilmiah yang luas informasinya seperti yang berbentuk falsafah dan kehidupan. Tapi sayang. Keistimewaan itu digunakan pada landasan yang salah", terang cikgu seolah- olah pernah mendukung fahaman tersebut.

" Kalau cikgu ingin mengetahui tentang siapakah Jannah sebenarnya saya boleh bawa cikgu ke suatu tempat.

Petang itu Sofea membawa Cikgu Umi ke tempat yang dimaksudkannya. Suatu tempat yang terletak di kawasan yang sentiasa dihurungi oleh kebanyakan remaja untuk berpeleseran iaitu di kompleks membeli –belah. Di sana, kelihatannya ramai manusia yang mengunjungi pusat itu atas tujuan yang tertentu. Tidak ketinggalan juga, para remaja kita. Namun di suatu sudut terdapat sekelompok makhluk yang berkeadaan agak ganjil. Berbeza dengan manusia – manusia normal yang lain. Seolah- olahnya mereka ingin mensyiarkan kepada masyarakat bahawa mereka adalah manusia yang lain daripada yang lain. Dengan rambut tercacak umpama landak. Seluar koyak- rabak umpama pemgemis jalanan. Berjaket kulit dengan dilengkapi aksesori ganas yang terdiri daripada paku, dan stud besi. Ternyata perwatakan kelompok itu mencuri pandangan setiap mata yang berkeliaran di situ. Apa tidaknya, perwatakan mereka itu sememangnya bertentangan dengan norma- norma kehidupan manusia timur yang normal.

" Cikgu, itulah komuniti yang disertai oleh Jannah", tiba- tiba Sofea bersuara.

"Boleh kamu bawakan Jannah kepada cikgu", pinta cikgu Umi.

" Baiklah. Sementara itu, cikgu boleh tunggu saya di food court. Nanti saya bawakan dia ke sana".

" Kenapa cikgu nak jumpa saya sangat ni. Saya kenal cikgu pun tak!", terpacul suatu suara daripada mulut Jannah dalam keadaan yang tak disangka- sangka.

" Assalammuailaikum, Jannah. Nama cikgu ialah Umi Kalsom Binti Mat Lasi. Saya ialah cikgu baru kamu. Cikgu cari kamu atas sebab tertentu."

" Sebab apa cikgu!. Sebab saya bermasalah. Sudahlah. Saya dah bosan dengan semua ini", balas Nur Jannah tanpa menjawab salam yang disampaikan kepadanya.

" Kenapa perlu kau menongkah arus?", tanya guru itu dalam nada merayu.

" Keadaan yang memaksa saya berbuat begitu!", jelas anak muda itu seolah- olah sudah mengerti akan maksud tersirat daripada pertanyaan gurunya itu.

" Kau berbohong wahai anakku. Keadaan tidak pernah memaksa untuk kita menongkah arus. Suasana hidup di Malaysia sememangnya aman, harmoni dan adil".

" Itu pada zahirnya sahaja. Namun realitinya siapa yang tahu?".

" Faktor apakah yang telah mendorong kau untuk berbicara sedemikian?", soal guru itu untuk mengorek rahsia kepincangan gadis remaja itu.

" Kondisi di negara ini sudah dapat merungkai segala persoalan cikgu itu"

" Sebab sistem pendidikan negara ini tidak adil?. Kau silap anakku. Kerajaan tidak sekejam yang kau sangkakan. Malah pelbagai usaha telah mereka lakukan untuk membangunkan kehidupan anak bangsa negara ini tanpa mengira sebarang status, pangkat , jantina, agama , kaum mahupun kedudukan. Ternyata tidak ada sebarang unsur diskriminasi.", terang cikgu Umi dengan panjang lebar.

" Tapi sejauhmanakah kebenarannya?".

" Banyak sekali bukti yang dapat menjawab persoalanmu itu. Contohnya, pihak Kerajaan telah banyak sekali memperuntukkan sejumlah wang kepada para pelajar terutamanya kepada golongan miskin sepertimu. Program SPBT telah lama dilaksanakan, biasiswa telah diberikan bagi yang layak. Apa lagi yang membuatkan hatimu untuk terus memprotes Kerajaan?. Percayalah bahawa anarkisme telah menghancurkan kehidupanmu. Merosakkan kewarasan akalmu. Dan yang paling utama ianya bisa mengancam keteguhan akidahmu."

" Hati- hati dalam berbicara cikgu. Terlajak perahu boleh berundur, tapi terlajak kata buruk padahnya!. Apa yang cikgu tahu tentang fahaman ini?. Jangan hanya lazat mengkritik sahaja sebelum mengkajinya. Tahukah cikgu bahawa dengan anarkisme inilah saya mengerti akan erti kehidupan sebenar. Dengannya juga saya punya kesedaran untuk mempraktikkan konsep D.I.Y. ( Do It Youself ) dalam hidup ini. Buktinya, lihat sahaja kehitaman warna kulit ini. Setiap hari bersabung nyawa mencari rezeki di laut. Ternyata dalam usia semuda ini saya sudah mengerti apakah yang dimaksudkan dengan ' kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Jadi salahkah saya menganut fahaman ini?", giliran Jannah berbicara panjang. Ternyata gaya ucapannya memang menarik sekali. Persis tokoh pidato.

" Habis bagaiamana pula dengan Islam?. Apa tidak sempurna lagikah Islam?. Bukankah ianya agama yang bersifat syumuliyah, sarwajagat dan flaksible serta universal?. Jadi mengapa perlu lagi kamu menganut doktrin ciptaan manusia yang sememangnya banyak kelemahannya. Dan yang paling penting ialah anarkisme merupakan propaganda barat untuk menjahamkan anak bangsa kita!. Untuk pengetauhanmu juga, perjuangan anarkisme tidak akan pernah menjadi realiti. Ianya hanya fantasi bagi insan yang mengigau di siang hari", hujah cikgu Umi yang tidak ubah seperti pemikir bangsa yang hebat.

" Jangan cepat menilai perjuangan kami ini, cikgu!", balas anak muda itu dengan darah membakar di dalam saluran arterinya.

" Cikgu bukan omong kosong. Sejarah telah membuktikan segalanya. Lihat sahaja nasib yang menimpa pelopor doktrin ini iaitu Mikail Bekunin. Bekunin sebagai seorang anarkis, tidak pernah menikmati kejayaan perjuangannya, walaupun korban rakyat yang dipimpinnya tidak sedikit. Seorang anarkis yang berjuang di luar organisasi tidak mudah menemui kejayaan. Percayalah anakku. Namun yang paling kutakuti adalah berkaitan dengan pegangan agamamu. Dengan akidahmu", terangnya dengan wajah yang penuh kerungsingan diikuti dengan riak matanya yang penuh berkaca- kaca.

" Soal agama itu soal private. Saya berhak menentukan pegangan saya. Sama ada saya seorang Islam ataupun tidak punyai agama langsung, siapa yang peduli!, omong Jannah yang seolahnya tidak takut akan kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa.

PANG….. Satu lempangan kuat hinggap di pipi Jannah.

******************************************************************************************************************

Hujan renyai- renyai yang turun sejak pagi sememangnya membasahi tanah perkuburun itu. Daun dan bunga Kenanga yang ditanam disitu juga banyak yang sudah gugur menyembah bumi. Alunan suara hujan dan gaya gugurnya Sang Kenanga ternyata hanya mengimarakkan lagi suasana emosional di perkuburan itu. Kelihatannya seorang wanita sedang meratapi salah satu pusara yang terdapat di situ.

" Cikgu, kenapa begitu cepat Tuhan memisahkan kita?. Kenapa derita mesti datang, tika bahagia baru tercipta?. Kenapa cikgu pergi meninggalkan Jannah tanpa sebarang pesan? Maafkan Jannah cikgu kerna tidak bisa datang di hari pengkebumianmu. Waktu itu Jannah sedang menghadiri majlis Konvokesyen di Universiti Melbourne. Sayangnya, kejayaan ini tidak dapat kita kongsi bersama. Namun, terima kasih atas segalanya. Terima kasih kerana usaha cikgu menyelamatkan saya dari ditipu oleh pembohongan kehidupan dunia ini dan yang paling penting adalah kejayaan cikgu dalam memelihara keperluan iman saya yang hampir diancam masalah gejala tidak bertuhan. Ternyata lempangan cikgu 10 tahun yang lalulah yang melahirkan seorang bakal doktor falsafah pada hari ini. Ampunkanlah segala dosa Jannah, cikgu!", pohon Jannah dalam nada separuh meraung sambil tangan kanannya memegang nisan kayu yang terpacak di pusara mulia itu.

" Selaut manapun air matamu tidak akan bisa membangkitkan insan yang telah mati. Yang harus kau lakukan hanyalah mendoakan ketenteramannya. Kupasti cikgumu itu aman dan tenang di kehidupan sana.", tiba- tiba terpacul kata- kata daripada seorang lelaki.

"Ibu dan ayah, ayuh pulang ke rumah. Hari sudah semakin senja", teriak dua anak kecil dengan lantangnya dari kejauhan.

" Ayuh, sayang kita pulang ke rumah!", jelas lelaki itu.

Rasa sedih masih menyelubungi diri Jannah. Mahu sahaja dia tidur di pusara itu menemani roh gurunya.

" Selamat tinggal cikgu dan terima kasih juga atas novel ini. Novel ' Kisahnya Sang Anarkis'. Semoga kita dapat berjumpa lagi di kehidupan sana pada suatu hari nanti", desis hati Jannah sambil memegang karya novel gurunya itu sewaktu melangkah keluar meninggalkan pusara milik insan mulia itu.


Tiada ulasan: