MELAYU JOHOR
Melayu Johor
Telah terlalu banyak kita kehilangan
Sawah ladang bertukar tangan
Pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
Yang tinggal hanyalah pakaian
Sedarah sedaging hampir hilang
Yang ada hanyalah setulang
Selat Tebrau kian sempit
Hati rindu jauh tergamit.
Di Johor,
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Minangkabau memang Melayu
Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
malah Muallaf bertakrif Melayu.
Melayu itu maknanya bijaksana
"Jika menipu pun bersopan"
Kurang ajarnya tetap bersantun
Dajalnya cukup selamba
Budi bahasa jangan dikira
Beraninya cukup benar
Tunduk bila bersalah
"Lembutnya cukup jantan"
Setia sampai ke kubur
Biar mati adat jangan mati sahabat.
Anak Johor,
Luka di Tanjung Putri
Parutnya di Parit Raja
Muka biar berseri
Mulut biar berbahasa.
Berkelahilah cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dalam senyum
Marahnya dalam tertawa
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Jiwa Melayu mengangkat persahabatan
Kasih sayang kekeluargaan
Ringan tulang saling bertolongan
Jujur memaafkan, ikhlas memberikan.
Berdamailah cara Melayu
Silaturahim yang murni
Di mulut sama di hati
Maaf senantiasa bersahut
Tangan dihulur bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.
Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
Dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
sifat terpuji setiap insan.
Bermuafakat supaya berkat
Bersaudara dunia akhirat
Berikhtiar dengan tabah
Kepada Allah berserah.
- USMAN AWANG 1988 -
P/S : Sajak oleh Usman Awang. Besar pengertiaan dalam rangkap2nya. Permulaan rangkap itu sahaja sudah punya isi yang cukup penting..."Melayu Johor, telah terlalu banyak kita kehilangan, sawah ladang bertukar tangan"...Ini kata2 Usman Awang tahun 1988...Kini dah 2013...Aku terkadang2 semacam nak nangis dimata...tapi aku tahankan sahaja...yang pasti hati ku menangis...Jangan kerna terlalu mengejar kemajuan dan kepalsuan serta kemewahan dunia ini, kita gadaikan apa yang telah dipunyai nenek moyang kita...Aku di Penang ini sudah hampir 7 tahun...Aku tak nak Johor nan permai dan takzim menjadi seperti Penang itu...Umpama Hong Kong dan Singapura versi Malaysia nampaknya...Jangan sampaikan anak cucu kita tak mengenal apa itu sungai...apa itu parit...apa itu pucuk ubi...apa itu ubi getuk...apa itu kampung...apa itu ting-ting..apa itu cakar ayam...apa itu main baling selipar....Ingatlah bahawa tanah ini bukanlah sahaja warisan dari nenek moyang kita tapi pinjaman dari anak cucu kita...Sebagai peminjam, berperilakulah sebagai peminjam...Jangan digadai warisan kita.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan