GERAK SEMPURNA : “ITU BARU NAMANYA SENI TEATER”….
Ada satu pertandingan teater. Aku hadirkan diri aku ke sana. Di Dewan Budaya berlangsungnya. Malam tanggal 29 Julai tarikhnya. Temanya tentang soal kemiskinan, pembuangan bayi dan perangi HIV/AIDS. Janganlah mengharap suatu pementasan teater yang menggagumkan kerna tujuan asalnya adalah untuk mengasah bakat pelajar sahaja. Makanya, para pesertanya cumalah terdiri daripada jenis seniman kelas amatur. Meski amatur, tapi pujian wajar diberikan kerna niat murninya itu lantaran mutakhir ini lapangan seni semacam mahu terhakis dalam budaya generasi muda. Punya enam kumpulan bertanding. Dimulai dengan kumpulan dibawah tenaga produksi Meow-Meow. Jujur dikatakan bahawa persembahannya agak hambar. Sama seperti kumpulan 2,3 dan 6. Kenapa hambar?..Jalan penceritaan terlalu biasa sahaja ditambah pula dengan pelbagai tarian dan nyanyian yang agak serabut kerna kadang-kala elemen-elemen ini mencetuskan rasa bosan menunggu dalam pandangan mata penonton seperti aku. Meski penggunaan kesan cahaya dan bunyi yang menggagumkan tapi kekurangannya adalah dari sudut persembahan dan gaya lakonan para pelakonnya. Penggunaan suara latar terus meranapkan persembahan kumpulan-kumpulan ini. Lebih wajar agaknya mereka ini berlakon dengan suara mereka sendiri agar penyataan emosi dapat digambarkan dengan jelas dan dapat memberi kesan langsung kepada para penonton. Saat menonton persembahan ini, aku mahu sahaja mengangkat bontot aku berlalu pergi. Niat itu terhenti kemudiannya. Gerak Sempurna punya angkara. Aku jadi terdiam sambil melompong seketika. Permulaan yang bagus dari kumpulan ini. Para pelaku teaternya punya nilai tersendiri dalam menyampaikan mesejnya melalui seninya. Tanpa prop yang hebat. Hanya beberapa kotak2 kayu dipersembahkan. Tapi asbab para pelakonnya punya gerak-laku dan bahasa seninya tersendiri, maka teater mereka ini saya katakan hebat. Penyampaian mesej disampaikan dalam bentuk yang tidak literal. Membuatkan penonton perlu berfikir sejenak. Dengan penggunaan bait-bait kata yang disusun rapi dan punyai nilai artistik dan sarkastiknya tersendiri, lantas teater milik Gerak Sempurna berjaya mencetuskan jurang yang jauh juga bezanya dengan persembahan milik kumpulan lainnya. Pujian memang aku sandarkan pada para pelakonnya. Lakon para senimannya bisa buat bulu aku meremang. Tema kemanusiaan dan kemasyarakatan terangkum dalam teaternya dengan nilai kematangannya yang tersendiri yang jauh meninggalkan tahap kematangan kumpulan lain. Watak Si Miskin begitu “hidup” sekali. Menyentuh hati dan membangkit amarah bagi para penonton yang memahami maksud tersiratnya. Justeru adalah agak mustahil andai Gerak Sempurna ini tidak memenangi pertandingan. Dugaan aku tepat sekali. Gerak Sempurna ini menerima hambuan yang setimpal dengan modal seni yang dipamerkan. Makanya, Gerak Sempurna itu jaguh dan juara seni pada malam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan