Khamis, 12 Ogos 2010

DIASPORA MELAYU

Sepagi yang tadi, kami menghadiri satu ceramah dan komentar yang menyentuh tentang hal-hal yang bersangkut paut dengan perihal “MELAYU”. Komentar tersebut disampaikan oleh seorang sarjana yang dilihat agak hebat dalam bidang sejarah dan pensejarahan di dunia Melayu. Sarjana yang dimaksudkan tersebut bernama Prof. Leonard Y. Andaya. Tajuk komentar tersebut berbunyi “Malays in the eastern diaspora in the early modern periode (1500-1800)”. Beliau cuba menghurai tentang persoalan yang berlegar dalam terminologi Melayu itu iaitu samaada yang meliputi tentang “siapakah Melayu”?, “proses perkembangan kebudayaan Melayu”. Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan terminologi “diaspora”. Istilah diaspora (bahasa Yunani kuno διασπορά, "penyebaran atau penaburan benih") digunakan (tanpa huruf besar) untuk merujuk kepada bangsa atau penduduk etnis manapun yang terpaksa atau terdorong untuk meninggalkan tanah air etnis tradisional mereka; penyebaran mereka di berbagai bagian lain dunia, dan perkembangan yang dihasilkan karena penyebaran dan budaya mereka.
Menurut Andaya, Melaka merupakan negara dan kerajaan contoh yang mana warisan “Melayunya” diguna-pakai oleh kerajaan-kerajaan lain yang terdapat di sekitar Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Antara kawasan yang penting dalam perkembangan kebudayaan Melayu itu adalah di kawasan Selat Melaka yang mana kawasan ini terletak di antara Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Hal ini kerana, kawasan ini merupakan kawasan yang mempunyai kaitan yang begitu akrab dengan kerajaan Melaka dimana penguasaan Melaka terhadap kawasan ini secara tidak langsung telah membawa kepada mudahnya perkembangan “Melayu” itu sendiri. Selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511, kerajaan lain telah mengambil peranan sebagai pengembang budaya Melayu. Antaranya kerajaan Johor dan Acheh. Maka menurut Andaya, “Acheh itu perlulah dianggap sebagai salah satu dalam dunia Melayu”. Antara yang menarik dalam seminar tadi adalah apabila sarjana ini mengemukakan bahawa salah satu kelompok masyarakat yang bertanggungjawab dalam mengembangkan “Melayu” itu adalah orang-orang Makassar. Sedangkan, kalau dikaji berdasarkan hikayat-hikayat lama seperti “Hikayat Hang Tuah”, maka dapat difahami bahawa hubungan orang Melayu dengan orang Bugis itu adalah tidak sebulu malah kedua-dua kelompok masyarakat ini salah bertelagah antara satu sama lain. Malah hal ini dapat dilihat dengan lebih jelas melalui karya-karya yang mewakili kaum masing-masing sepertimana “Tuhfat Al-Nafis” yang mewakili pihak Bugis manakala “Hikayat Siak” yang mewakili pihak Minangkabau yang mana istilah “Minangkabau” ini sebenarnya adalah merujuk kepada Melayu (berdasarkan sumber Portugis). Dalam kedua-dua karya penulisan ini, para pembaca dapat melihat betapa pertelagahan antara kedua-dua pihak ini begitu serius sekali. Namun begitu, ini tidak berlaku dalam sesi seminar yang disampaikan oleh Andaya. Malah hubungan yang digambarkan oleh Andaya antara Makasar dengan Melayu itu adalah agak akrab dan saling bersahabat. Kenyataan ini diperkuatkan lagi berdasarkan hujah yang didapati melalui tradisi lisan dimana orang-orang lama yang mendiami kawasan Selatan Sulawesi mengatakan bahawa Melayu itu merujuk kepada “ sesiapa sahaja yang memakai kain sarung”. Maka dengan itu, Melayu itu merangkumi Orang Pahang, Pattani, Cham, Minangkabau dan Johor. Disamping itu juga, masyarakat Makasar pada ketika dahulu begitu menitik-beratkan soal kepentingan Bahasa Melayu. Perkara ini dapat difahami apabila anak-anak diajar membaca dan menulis hikayat selain mempelajari adat Melayu. Selain itu juga, gadis-gadis Makassar dikatakan mempunyai kebolehan yang istimewa dalam menyampaikan dan melagukan syair bukan sahaja dalam bahasa Makassar tetapi juga dalam bahasa Melayu. Malah, perkara yang agak menakjubkan adalah penyebaran bahasa Melayu di kawasan Sulawesi bukanlah dijalankan oleh para masyarakat keturunan Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu tetapi penyebaran dan perkembangannya dilakukan melalui peranan orang-orang Makassar yang pada ketika itu bertindak sebagai pedagang. Daripada komentar yang disampaikan oleh sarjana Andaya, dapatlah difahami bahawa martabat Melayu itu begitu berkait rapat dengan hal-hal yang berkaitan dengan elemen perdagangan antarabangsa, Islam, bahasa Istana dan kesusasteraan.

Tiada ulasan: