Khamis, 29 Julai 2010

CERAMAH DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Malam 28 Julai kelmarin, aku bersama saudara Yusof Salleh menghadiri sebuah ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Muhammadiyyah di kawasan George Town berdekatan dengan kawasan Hospital Pulau Pinang. Asalnya aku ingin menonton tayangan filem Soop di DTSP tapi setelah mendapat tahu bahawa ceramah tersebut disampaikan oleh Dr. Mohd Azri Zainul Abidin (Dr. MAZA), maka aku pun mengubah rencana ku. Dalam perjalanan menuju ke destinasi, kami mengalami kesukaran untuk mencari lokasi ceramah tersebut. Namun tanpa disangka-sangka, seorang insan berbangsa Cina sudi memberi pertolongan sebagai petunjuk jalan kepada kami berdua. Alhamdullilah. Ceramah tersebut dimulai dengan penerangan serba ringkas tentang sejarah awal penubuhan Persatuan Muhammadiyyah. Dari pemahaman aku, persatuan ini telah mula wujud sebelum era merdeka lagi. Persatuan ini juga dari satu sudut pandang, merupakan antara gerakan reformis yang mendapat liputan penting dalam lipatan sejarah tanah air kita. Persatuan ini dalam erti nama lain dikenali juga dengan istilah “Kaum Muda” sebagai suatu pertubuhan kontra kepada golongan “Kaum Tua”. Ada juga yang menggelarkan kelompok ini dengan gelaran “Kaum Muda”. Antara objektif penubuhannya adalah untuk memperbetulkan salah faham masyarakat khususnya masyarakat Melayu tentang ajaran Islam yang sebenarnya iaitu cuba membuang segala amalan-amalan yang dianggap sebagai agama namun hakikatnya amalan tersebut langsung bukanlah dari apa yang diajar dalam Islam. Setelah sesi penerangan tersebut, maka tibalah DR.MAZA untuk menyampaikan ceramahnya. Antara isi kandungan ceramah beliau adalah:

~ Islam itu adalah agama yang mudah. Agama yang cukup pratikal. Agama yang sememangnya boleh diamalkan oleh para pendukungnya. Masalah kita hari ini adalah menganggap bahawa Islam suatu agama yang sukar. Pemahaman semacam ini secara tidak langsung akan memberikan suatu persepsi yang kurang baik kepada golongan bukan Islam. Beliau mengesyorkan dalam hal pemakanan misalnya, janganlah dilihat semua perkara itu sebagai haram. Jika, hal haram ini begitu ditekankan, maka secara tidak langsung, masyarakat akan melihat bahawa Islam itu adalah sebuah agama yang sukar dan susah untuk dipratikkan dalam kehidupan harian. Logo “HALAL” dalam setiap bungkusan makanan misalnya, menurut beliau adalah lebih wajar digantikan dengan logo “HARAM”. Dengan cara ini, penerangan tentang halal-haram sesuatu produk makanan itu akan jadi lebih jelas dan nyata. Sesuatu makanan yang memang dari segi nas syarak telah haram, maka secara pratiknya akan tetap haram. Maka dengan itu, secara tidak langsung masyarakat akan mudah untuk mengetahui status sesuatu produk makanan tersebut. Dalam kata lain pula, tidak timbul pula hal kekeliruan dalam pemilihan sesuatu produk makanan tersebut. Makanan yang tidak punya logo “HARAM”, maka makanan itu bolehlah dikonsumer.

~ Dalam soal hukum hudud. Pihak pembangkang, PAS terutamanya sangat beriya-iya untuk menjalankan hukum ini yang katanya merupakan hak Allah dan hukum Islam. Hal ini memang tiada dapat dinafikan. Tapi dalam satu sudut pandang yang lain, pelaksanaan perlu direalisasikan dalam suatu suasana masyarakat yang mana apabila hukum tersebut dilaksanakan, maka keadilan yang sejati dapat ditegakkan. Hudud dan Islam sememangnya menjamin keadilan. Dalam sejarah pula, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, dapat dilihat ada suatu ketika itu, khalifah tidak menjalankan hukum hudud iaitu ketika Madinah berada dalam keadaan gersang dan kering-kontang. Perkara ini berlaku bukanlah disebabkan mahu mengurangkan amalan agama dalam kehidupan masyarakatnya pada ketika itu. Tetapi keadaan ini berlaku dengan sebab dan munasabab yang kukuh. Hudud hanya bisa dilaksanakan apabila kita yakin bahawa yang keadilan sejati dapat ditegakkan dengan bergantung juga kepada suasana persekitaran dan masyarakatnya. Dalam hal Umar tadi, keadaan Negara yang kering-kontang dan gersang sememangnya merupakan sebab yang menyebabkan Umar menangguhkan hukuman Hudud dilaksanakan.

~ Dalam soal anak-anak yang mengandung di luar nikah. Dalam hal ini, beliau mengsyorkan akan kewujudan sebuah “sekolah mengandung” tetapi dengan syarat tertentu. Syaratnya ialah, dalam sekolah tersebut pula diserapkan dengan elemen tarbiyyah yang betul dan jujur iaitu yang lebih kepada pembinaan minda dan bukannya hanya berteraskan kepada soal pembangunan semangat semata-mata seperti mana yang kerap berlaku dalam banyak-banyak kem motivasi hari ini dimana pengisiannya hanya lebih berteraskan kepada pembangunan emosi semata-mata tetapi dalam pada masa yang sama, pembinaan minda kurang ditekankan sehingga menyebabkan generasi muda kurang memahami Islam dan hanya bersemangat dengan ‘SEMANGAT ISLAM” semata-mata tanpa mempunyai ilmu dan kefahaman tentang agama Islam itu sendiri. Penubuhan sekolah mengandung ini disyorkan berdasarkan hujah : Pada zaman Nabi SAW, ada seorang wanita yang mengandung anak luar nikah. Wanita ini bertemu dengan Nabi SAW. Maka Nabi SAW pun meminta wanita ini akan melahirkan terlebih dahulu kandungan tersebut. Setelah anak tersebut dilahirkan, maka wanita itu pun bertemu Nabi SAW lagi. Kemudian Nabi SAW meminta wanita tersebut agar menyusukan anak tersebut terlebih dahulu.

~DR MAZA juga turut menyentuh tentang wajah Islam yang dicerminkan oleh umat Islam pada masa kini terutamanya di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa, Islam yang dicerminkan oleh masyarakat Islam Negara ini dari satu segi telah mencemarkan wajar asal Islam itu sendiri. Kita selalu sahaja mengaitkan Islam dengan Melayu sehingga tercetus dogma yang mengatakan bahawa “Islam itu milik Melayu”. Hal ini barangkali boleh dilihat melalui definisi Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia dimana Melayu itu dimengertikan sebagai manusia yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Sedangkan Islam itu agama untuk semua…Untuk semua bangsa…Islam tidak terbatas kepada satu-satu bangsa sahaja. Hal ini dari satu segi pastinya akan mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat non-muslim di Negara ini. Meraka akan melihat bahawa sesuatu yang sukar akan berlaku bilamana mereka memeluk Islam iaitu dimana mereka akan terpaksa masuk “Melayu” dan mengorbankan identiti bangsa mereka. Kita sebagai Melayu-Islam sepatutnya memaparkan wajah Islam sepertimana yang dizahirkan oleh Nabi SAW. Dan bukan menyempitkannya. Kita perlu terangkan bahawa Islam itu agama yang syumulliyyah, universal dan fleksibal malah juga pratikal. Orang non-muslim yang punya keinginan pada Islam perlu didekati malah jika bantuan kewangan perlu dipergunakan, maka gunakanlah wang zakat. Dengan cara ini, maka orang non-muslim akan tertarik dengan Islam kesan pendekatan dakwah yang menggangumkan ini.

*Hanya setakat ini sahaja yang dapat dikongsikan…..
“Hal Ibadat perlu disempitkan tanpa sebarang tokok tambah tapi hal muamalat perlu dibincangkan secara lebih terbuka dan pelbagai”

1 ulasan:

mohd amirrulzaman berkata...

Haram x ajak aku. Ayat akhir tu cemerlang la abg maikel