Jumaat yang lalu, aku diminta untuk menggantikan pensyarahku atau lebih senang dan tepat kukatakan sebagai "Guru"ku untuk menghadiri satu seminar yang diberi tajuk "Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu". Semua ini bukanlah suatu yang dirancang. Hanya suatu hal yang datang secara mengejut. Sama seperti selalunya. Mendapat tugas disaat-saat akhir. Awalnya saat aku mula menimba ilmu di pusat pengajian ini, aku rasa agak sedikit tertekan kerana diberi tugasan saat akhir yang adakalanya bukanlah tugas biasa-biasa sahaja malahan sangat besar tanggungjawabnya. Misalnya, pada pertengahan Mei 2011, aku diminta untuk menyediakan satu kertas kerja yang mahu dibentangkan pada seminar arkeologi antarabangsa dengan hanya diberi tempoh dalam masa 2 hari. Kalian bayangkan itu. Macam nak gila aku dibuatnya. Tapi, lama-kelamaan baru aku tahu, apa hikmahnya kejadian-kejadian seumpama ini. Ini semua mengajar aku, bagaimana mahu bekerja dibawah tekanan. Pengarah aku itu kawan, semasa zaman "studentnya" dulu dibawah naungan Prof Emeritus Dato Dr Zuraina Majid, hanya diberikan masa 3 jam sahaja untuk menyediakan kertas kerja seminar. Jadi jika nak dibandingkan dengan apa yang aku alami, sangatlah sedikit sekali kesusahannya. Mujurlah aku hanya hadir sebagai peserta, bukan sebagai pembentang. Kalau sebagai pembentang, ya minta ampunlah. Tak sanggup aku terima.
Seminar itu berlangsung selama 2 hari iaitu 25 hingga 26 Mac. Justeru itu, malam Ahad langsung aku bergerak ke Kuala Terengganu. Menaiki bas ke Kuala Terengganu bukanlah suatu hal yang menyelesakan. Perlu menempuh keadaan morfologi jalanraya yang agak memusingkan kepala. Berbengkok-bengkok jalannya umpama keadaan badan ular yang dipalu. Tambah-tambah lagi laluan di sekitar Grik itu pula berbukit-bukit. Pening kepala dibuatnya. Sesedar ingatanku yang disaat itu berada dibawah pengaruh tidur-tidur sedar, bas itu berhenti di beberapa buah kawasan, antaranya di Besut (masyarakat yang berada di persimpangan antara Terengganu dan Kelantan), Jerteh serta seterusnya terus ke Hentian Bas Kuala Terengganu. Sekitar jam 6 pagi baru aku tiba.
Usai solat Subuh di surau Hentian Bas, otakku mula berfikir. Dengan cara apa harus aku ke Muzium Terengganu yang duduk letaknya di kawasan yang diberi nama Losong itu. Aku ini hanya hadir seorang diri. Ditambah pula, aku langsung tidak diberikan langsung sebarang penerangan lengkap untuk ke sana. Apa yang diberikan Guru kepadaku hanyalah seungkap kata "pandai-pandailah kau!".Seingat aku, baru 2 kali sahaja aku ke Terengganu. Sekali sewaktu aku sekolah menengah mengikuti rombongan dan yang keduanya sewaktu aku tamat sekolah kerana mengikuti jemaah usaha atas iman dan amal selama 40 hari di Dungun. Asalnya aku mahu menaiki bas sahaja. Sebabnya ia jimat. Tapi bas yang ke sana hanya beroperasi sekitar jam 9 pagi. Jadi aku berkeputusan menaiki teksi.
*Hentian Bas Kuala Terengganu
Aku menaiki teksi milik Haji Wahid. Orangnya kalau berjalan, postur badannya agak sedikit tempang ke kanan. Tangannya pula menggigil-gigil. Ada sakit barangkali disebalik simptom-simptom itu. Sepanjang perjalanan sekitar 15 minit itu, adalah jugak kami bersembang-sembang. Ada sesuatu yang menarik yang disembangkan oleh Haji Wahid ini. Di Losong itu, ada sebuah gerai makan yang murah sekali harga makanannya. Percayakah kalian, disaat dunia dihambat dengan kadar kenaikan harga barang, gerai itu masih lagi mampu menjual segelas air teh o dengan harga 40 sen...milo ais 80 sen. Bayangkan itu kawan...Murah sekali bukan harganya. Tapi sayangnya, aku tidak berkesempatan merasai pengalaman di kedai itu. Justeru, aku hanya bisa mendengar tanpa dapat merasainya.
Sesampainya di Muzium, setelah menyalami si pemandu teksi tua tu, aku jumpa pak guard muzium dan langsung mandi di tandas muzium. Mujur, kondisi tandasnya selesa dan nyaman sekali. Tak seperti tandas awam yang lazim aku bayangkan.
p/s : saat ini juga aku sedang hidup bekerja di bawah tekanan kuat nan gila. Pertamanya sudah tentunya berkait soal tesis aku. Sedang berusaha menyiap bab 3. Keduanya, projek buku dengan Guruku. Ketiganya, soal kutipan inventri Orang Asli seluruh semenanjung. Keempat...tak seperti bebanan di atas yang telah diberitahu awal-awal lagi...pulang sahaja dari Terengganu, kena gigih menyiapkan pameran sempena pelancaran galeri baru. Perasmian selasa depan. Tugasannya baru diberi 2 hari lampau. Hahahaha...Gila...Pameran sebesar itu hanya diberi masa 5 hari untuk disiapkan dengan kadar persiapan yang setakat ini boleh ku katakan baru mencapai kadar peratusan siap 5 % sahaja...Gila..ada 3 hari lagilah aku kena kerja sampai malam dan tak mustahil sampai ke pagi seperti selalunya yang terjadi....Hahaha..Tak sudah-sudah kerja "last minute"...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan