Jumaat, 30 Julai 2010

GERAK SEMPURNA : “ITU BARU NAMANYA SENI TEATER”….

GERAK SEMPURNA : “ITU BARU NAMANYA SENI TEATER”….

Ada satu pertandingan teater. Aku hadirkan diri aku ke sana. Di Dewan Budaya berlangsungnya. Malam tanggal 29 Julai tarikhnya. Temanya tentang soal kemiskinan, pembuangan bayi dan perangi HIV/AIDS. Janganlah mengharap suatu pementasan teater yang menggagumkan kerna tujuan asalnya adalah untuk mengasah bakat pelajar sahaja. Makanya, para pesertanya cumalah terdiri daripada jenis seniman kelas amatur. Meski amatur, tapi pujian wajar diberikan kerna niat murninya itu lantaran mutakhir ini lapangan seni semacam mahu terhakis dalam budaya generasi muda. Punya enam kumpulan bertanding. Dimulai dengan kumpulan dibawah tenaga produksi Meow-Meow. Jujur dikatakan bahawa persembahannya agak hambar. Sama seperti kumpulan 2,3 dan 6. Kenapa hambar?..Jalan penceritaan terlalu biasa sahaja ditambah pula dengan pelbagai tarian dan nyanyian yang agak serabut kerna kadang-kala elemen-elemen ini mencetuskan rasa bosan menunggu dalam pandangan mata penonton seperti aku. Meski penggunaan kesan cahaya dan bunyi yang menggagumkan tapi kekurangannya adalah dari sudut persembahan dan gaya lakonan para pelakonnya. Penggunaan suara latar terus meranapkan persembahan kumpulan-kumpulan ini. Lebih wajar agaknya mereka ini berlakon dengan suara mereka sendiri agar penyataan emosi dapat digambarkan dengan jelas dan dapat memberi kesan langsung kepada para penonton. Saat menonton persembahan ini, aku mahu sahaja mengangkat bontot aku berlalu pergi. Niat itu terhenti kemudiannya. Gerak Sempurna punya angkara. Aku jadi terdiam sambil melompong seketika. Permulaan yang bagus dari kumpulan ini. Para pelaku teaternya punya nilai tersendiri dalam menyampaikan mesejnya melalui seninya. Tanpa prop yang hebat. Hanya beberapa kotak2 kayu dipersembahkan. Tapi asbab para pelakonnya punya gerak-laku dan bahasa seninya tersendiri, maka teater mereka ini saya katakan hebat. Penyampaian mesej disampaikan dalam bentuk yang tidak literal. Membuatkan penonton perlu berfikir sejenak. Dengan penggunaan bait-bait kata yang disusun rapi dan punyai nilai artistik dan sarkastiknya tersendiri, lantas teater milik Gerak Sempurna berjaya mencetuskan jurang yang jauh juga bezanya dengan persembahan milik kumpulan lainnya. Pujian memang aku sandarkan pada para pelakonnya. Lakon para senimannya bisa buat bulu aku meremang. Tema kemanusiaan dan kemasyarakatan terangkum dalam teaternya dengan nilai kematangannya yang tersendiri yang jauh meninggalkan tahap kematangan kumpulan lain. Watak Si Miskin begitu “hidup” sekali. Menyentuh hati dan membangkit amarah bagi para penonton yang memahami maksud tersiratnya. Justeru adalah agak mustahil andai Gerak Sempurna ini tidak memenangi pertandingan. Dugaan aku tepat sekali. Gerak Sempurna ini menerima hambuan yang setimpal dengan modal seni yang dipamerkan. Makanya, Gerak Sempurna itu jaguh dan juara seni pada malam itu.

Khamis, 29 Julai 2010

KE MANA PERGI SUBSIDI KAMI????

KEMANA PERGI SUBSIDI KAMI????

Kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari...
Kalian beritahu wang mesti dicatu, kita menuju maju....
Kalian kata: jika tidak semua menderita, habis harta negara....
Kalian berbahasa : bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja....

Kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta....
Kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
Jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu....
Tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?...

Apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?....
Papa semakin parah? Wang semakin lelah?....
Jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah...
Kerana kerajaan kita sedang susah?....
Maka subsidi kita terpaksa diserah....
Jika semalam kau makan sepinggan, hari ini separuh....
Kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh....
Apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?....
Makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang....
Jika mereka bertanya siapa yang bawa lari...
Kepada siapa patut kami tuding jari???...
Janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
Akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini...
Atau kami jadi insan curang....
Kami beritahu: cuma subsidi sahaja yang kurang?...
Tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang....

Dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!!!...
Pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami....
Pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati....
Kami yang semput bagai melukut di kota kedekut....
Kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa...
Bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja....

Pernahkah kau merasa?
Rumah bocor yang lanjut usia...
Baju dan kasut anak yang koyak...
Tinggal dalam rumah yang berasak-asak...
Siang kami sebak, malam kami sesak....


Sedangkan kalian manusia angkasa...
Istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
Elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
Hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...


Tapi kami masih disini, di teratak ini...
Dengan lauk semalam...
Dengan hidangan yang tidak bertalam...
Dengan rumah yang suram...
Dengan wang yang hampir padam...

Tiada istana lawa...
Tiada kereta berharga...
Tiada layanan diraja...
Tiada baju bergaya...
Tiada kediaman menteri...
Tiada hidangan VIP...
Tiada persen disana-sini...
Tiada bahagian anak dan bini...


Tiba-tiba kalian kata : kamilah beban negara...
Aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
Kalian yang belasah, kami yang bersalah...
Kalian buat untung, hutang kami tanggung....
Kalian mewah melimpah, kami susah parah...
Kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang....
Kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
Kalian makan isi, kami dijadikan abdi....


Lantas, kalian rampas lagi subsidi...
Ke mana wang itu pergi nanti?...
Jika kalian berhati suci..
Wajib mengganti buat kami...
Jika tidak pun buat gula konon merbahaya...
Mengapa tidak beras diturun harga?....
Jika tidak untuk minyak kereta...
Mengapa tambang tidak dipotong sahaja....
Tapi entah berapa kali janji...
Konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti....
Hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
Kami terus termanggu di sini...
Kalian juga yang nikmati....
Kami hanya menggigit jari...

Kembalikanlah kepada kami harta negara...
Jangan hanya kalian sahaja yang merasa....


(SAJAK OLEH DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN : 20 JULAI, 12.24 PM)

CERAMAH DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Malam 28 Julai kelmarin, aku bersama saudara Yusof Salleh menghadiri sebuah ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Muhammadiyyah di kawasan George Town berdekatan dengan kawasan Hospital Pulau Pinang. Asalnya aku ingin menonton tayangan filem Soop di DTSP tapi setelah mendapat tahu bahawa ceramah tersebut disampaikan oleh Dr. Mohd Azri Zainul Abidin (Dr. MAZA), maka aku pun mengubah rencana ku. Dalam perjalanan menuju ke destinasi, kami mengalami kesukaran untuk mencari lokasi ceramah tersebut. Namun tanpa disangka-sangka, seorang insan berbangsa Cina sudi memberi pertolongan sebagai petunjuk jalan kepada kami berdua. Alhamdullilah. Ceramah tersebut dimulai dengan penerangan serba ringkas tentang sejarah awal penubuhan Persatuan Muhammadiyyah. Dari pemahaman aku, persatuan ini telah mula wujud sebelum era merdeka lagi. Persatuan ini juga dari satu sudut pandang, merupakan antara gerakan reformis yang mendapat liputan penting dalam lipatan sejarah tanah air kita. Persatuan ini dalam erti nama lain dikenali juga dengan istilah “Kaum Muda” sebagai suatu pertubuhan kontra kepada golongan “Kaum Tua”. Ada juga yang menggelarkan kelompok ini dengan gelaran “Kaum Muda”. Antara objektif penubuhannya adalah untuk memperbetulkan salah faham masyarakat khususnya masyarakat Melayu tentang ajaran Islam yang sebenarnya iaitu cuba membuang segala amalan-amalan yang dianggap sebagai agama namun hakikatnya amalan tersebut langsung bukanlah dari apa yang diajar dalam Islam. Setelah sesi penerangan tersebut, maka tibalah DR.MAZA untuk menyampaikan ceramahnya. Antara isi kandungan ceramah beliau adalah:

~ Islam itu adalah agama yang mudah. Agama yang cukup pratikal. Agama yang sememangnya boleh diamalkan oleh para pendukungnya. Masalah kita hari ini adalah menganggap bahawa Islam suatu agama yang sukar. Pemahaman semacam ini secara tidak langsung akan memberikan suatu persepsi yang kurang baik kepada golongan bukan Islam. Beliau mengesyorkan dalam hal pemakanan misalnya, janganlah dilihat semua perkara itu sebagai haram. Jika, hal haram ini begitu ditekankan, maka secara tidak langsung, masyarakat akan melihat bahawa Islam itu adalah sebuah agama yang sukar dan susah untuk dipratikkan dalam kehidupan harian. Logo “HALAL” dalam setiap bungkusan makanan misalnya, menurut beliau adalah lebih wajar digantikan dengan logo “HARAM”. Dengan cara ini, penerangan tentang halal-haram sesuatu produk makanan itu akan jadi lebih jelas dan nyata. Sesuatu makanan yang memang dari segi nas syarak telah haram, maka secara pratiknya akan tetap haram. Maka dengan itu, secara tidak langsung masyarakat akan mudah untuk mengetahui status sesuatu produk makanan tersebut. Dalam kata lain pula, tidak timbul pula hal kekeliruan dalam pemilihan sesuatu produk makanan tersebut. Makanan yang tidak punya logo “HARAM”, maka makanan itu bolehlah dikonsumer.

~ Dalam soal hukum hudud. Pihak pembangkang, PAS terutamanya sangat beriya-iya untuk menjalankan hukum ini yang katanya merupakan hak Allah dan hukum Islam. Hal ini memang tiada dapat dinafikan. Tapi dalam satu sudut pandang yang lain, pelaksanaan perlu direalisasikan dalam suatu suasana masyarakat yang mana apabila hukum tersebut dilaksanakan, maka keadilan yang sejati dapat ditegakkan. Hudud dan Islam sememangnya menjamin keadilan. Dalam sejarah pula, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, dapat dilihat ada suatu ketika itu, khalifah tidak menjalankan hukum hudud iaitu ketika Madinah berada dalam keadaan gersang dan kering-kontang. Perkara ini berlaku bukanlah disebabkan mahu mengurangkan amalan agama dalam kehidupan masyarakatnya pada ketika itu. Tetapi keadaan ini berlaku dengan sebab dan munasabab yang kukuh. Hudud hanya bisa dilaksanakan apabila kita yakin bahawa yang keadilan sejati dapat ditegakkan dengan bergantung juga kepada suasana persekitaran dan masyarakatnya. Dalam hal Umar tadi, keadaan Negara yang kering-kontang dan gersang sememangnya merupakan sebab yang menyebabkan Umar menangguhkan hukuman Hudud dilaksanakan.

~ Dalam soal anak-anak yang mengandung di luar nikah. Dalam hal ini, beliau mengsyorkan akan kewujudan sebuah “sekolah mengandung” tetapi dengan syarat tertentu. Syaratnya ialah, dalam sekolah tersebut pula diserapkan dengan elemen tarbiyyah yang betul dan jujur iaitu yang lebih kepada pembinaan minda dan bukannya hanya berteraskan kepada soal pembangunan semangat semata-mata seperti mana yang kerap berlaku dalam banyak-banyak kem motivasi hari ini dimana pengisiannya hanya lebih berteraskan kepada pembangunan emosi semata-mata tetapi dalam pada masa yang sama, pembinaan minda kurang ditekankan sehingga menyebabkan generasi muda kurang memahami Islam dan hanya bersemangat dengan ‘SEMANGAT ISLAM” semata-mata tanpa mempunyai ilmu dan kefahaman tentang agama Islam itu sendiri. Penubuhan sekolah mengandung ini disyorkan berdasarkan hujah : Pada zaman Nabi SAW, ada seorang wanita yang mengandung anak luar nikah. Wanita ini bertemu dengan Nabi SAW. Maka Nabi SAW pun meminta wanita ini akan melahirkan terlebih dahulu kandungan tersebut. Setelah anak tersebut dilahirkan, maka wanita itu pun bertemu Nabi SAW lagi. Kemudian Nabi SAW meminta wanita tersebut agar menyusukan anak tersebut terlebih dahulu.

~DR MAZA juga turut menyentuh tentang wajah Islam yang dicerminkan oleh umat Islam pada masa kini terutamanya di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa, Islam yang dicerminkan oleh masyarakat Islam Negara ini dari satu segi telah mencemarkan wajar asal Islam itu sendiri. Kita selalu sahaja mengaitkan Islam dengan Melayu sehingga tercetus dogma yang mengatakan bahawa “Islam itu milik Melayu”. Hal ini barangkali boleh dilihat melalui definisi Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia dimana Melayu itu dimengertikan sebagai manusia yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Sedangkan Islam itu agama untuk semua…Untuk semua bangsa…Islam tidak terbatas kepada satu-satu bangsa sahaja. Hal ini dari satu segi pastinya akan mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat non-muslim di Negara ini. Meraka akan melihat bahawa sesuatu yang sukar akan berlaku bilamana mereka memeluk Islam iaitu dimana mereka akan terpaksa masuk “Melayu” dan mengorbankan identiti bangsa mereka. Kita sebagai Melayu-Islam sepatutnya memaparkan wajah Islam sepertimana yang dizahirkan oleh Nabi SAW. Dan bukan menyempitkannya. Kita perlu terangkan bahawa Islam itu agama yang syumulliyyah, universal dan fleksibal malah juga pratikal. Orang non-muslim yang punya keinginan pada Islam perlu didekati malah jika bantuan kewangan perlu dipergunakan, maka gunakanlah wang zakat. Dengan cara ini, maka orang non-muslim akan tertarik dengan Islam kesan pendekatan dakwah yang menggangumkan ini.

*Hanya setakat ini sahaja yang dapat dikongsikan…..
“Hal Ibadat perlu disempitkan tanpa sebarang tokok tambah tapi hal muamalat perlu dibincangkan secara lebih terbuka dan pelbagai”

Rabu, 28 Julai 2010

Kehidupan Usai Belajar


 

Usai belajar, kebanyakan manusia yang sebaya aku (dalam lingkungan 24-26) semuanya sudah mengalami tahap perubahan mereka yang tersendiri. Rata-ratanya mahu menempuh alam pekerjaan dengan gaji yang agak lumayan beserta dengan suasana persekitaran yang dianggap tinggi oleh masyarakat sekeliling. Memang itulah ragamnya manusia sebaya aku masa kini. Kerja penting…Sangat penting. Tanpa kerja, duit tak ada… Tanpa duit segalanya seolah-olah macam tak bererti…Ada yang mahu melangsaikan hutang pinjaman…Ada yang mahu membalas budi keluarga dengan imbalan duit sebagai lambangnya…Tak terlepas juga, ada yang memerlukan duit untuk melangkah ke alam gerbang perkahwinan…Duit semacam tuhan….atau dalam nada lembut semacam dewa….Dipuja dan disembah…Dengan harapan segala keinginan menjadi tertunai…Sepertinya dewa Vishnu, Siva dan Brahman….Dipuja dan disembah sehari-hari…Moga tuah datang menjenguk dan bala menjauh….Ya…itulah warnanya kehidupan manusia sebaya aku masa kini….Pokok takkan bergoyang kalau tiada punya anginnya….Mereka punya sebab itu bertindak sedemikian rupa….Itu mereka…Mereka dengan gaya dan ragam mereka….Dari satu sudut tingkap di hatiku, adakalanya aku cemburu dengan mereka…Aku berasa mereka manusia yang hebat…Punya kesedaran yang tinggi tentang betapa pentingnya jasa keluarga dalam kehidupan mereka. Sehingga takat ini, jujur aku tak punya langsung kesedaran untuk membalas segala macam pengorbanan yang telah dilimpahkan keluarga dalam kehidupan aku….Jasa, pengorbanan, bakti, mereka memang banyak…Meruah-ruah banyak gamaknya….Aku tak terfikir langsung untuk memikirkan akan hal mereka….Cukuplah untuk aku fikirkan tentang perut aku yang luasnya tak sampai sejengkal manapun…Itu lah aku…Entahlah….Apa yang ada didepan mata ini sahaja yang akan ku pergunakan sebaik mungkin…Dibalik mata…Siapapun tak tahu….Hanya tuhan sahaja yang tahu….Yang pasti…Aku langsung tiada perancangan hidup….Pada aku…Hidup…Hidup….Mati….Mati….Hanya itu sahaja aku mengerti buat masa ini….

Isnin, 26 Julai 2010

SAMPAH-SAMPAH –SAMPAH!!!!!


 

SAMPAH-SAMPAH-SAMPAH


 


 

Jiwa kosong….

Kosong sekosong kosongnya…..

Tiada siapa langsung yang mengerti….

Akan peritnya rasa hati….


 

Sakit semakin perit….

Perut kian menjerit….

Meronta-ronta akan simpati….

Semoga isi hati ini didengari…..


 

Melaung-laung…..

Menjerit-jerit……

Meronta-ronta….

Meneriak……..

Menangis…….

Sehingga kering sudah air mata…..


 

Kenapa….

Mengapa….

Mana nilai manusia…

Mana erti kemanusiaan….

Jahanam sudah segalanya….


 


 

Apa yang kini ada???….

Cuma apa yang tinggal???…

Pada siapa bisa diharap???…..


 


 

Sampah tetap sampah…

Sampah hanya sampah…

Sampah Cuma sampah….

Sampah hanya untuk sampah….


 

Langau…

Lalat….

Ulat….

Itulah kawan sampah…

Dunia sampah….

Sampai penghujungnya….

Sampah tetap sampah…

Sampah untuk sampah…

Sampah…Sampah…Sampah….