Jumaat, 29 April 2016

FILEM ADA APA DENGAN CINTA 2








Rangga & Chenta



Ada Apa Dengan Cinta 2. Aku baru balik menonton filem ini.  Menonton bersama Megat, Man dan Asang.  Jiwang karat?. Tak!. Kau silap kalau beranggapan begitu!.  Rata-rata yang menonton Ada Apa Dengan Cinta 2(AADC2) ini adalah insan-insan yang membesar dengan Ada Apa Dengan Cinta (AADC) yang ditayangkan pada sekitar 14 tahun yang lalu.  AADC yang 14 tahun yang lalu, bukan hanya berkisarkan pada cinta sahaja.  Ia lebih dari itu.  Jangan dinilai dari tajuknya yang memang secara jelasnya membawa pada konotasi jiwang karat dalam cakap mudah.  Cukup aku katakan karya AKU dari Chairil Anwar yang dipaparkan dalam AADC.  Ia sudah cukup untuk mengatakan bahawa AADC bukan setakat cerita cinta sampah dan murahan.

Walaubagaimanapun, harapan dan anggapan aku pada kemunculan semula AADC 2 ini tidaklah seperti yang aku harapkan sebelum aku duduk di bangku panggung. Kenapa?. Pertamanya aku mengharapkan watak Chenta menerusi lakonan Dian Sastrowodoyo itu dimunculkan buat pertama kalinya di layar panggung dalam keadaan dan situasi yang berkonsepkan "mengejutkan" dan para penonton "ternanti-nantikan kemunculan beliau". Tapi hal itu tidak terjadi. Chenta ditampilkan secara mudah dan ringkas atau literal di awal penceritaan. Sedangkan Chenta itu peran yang dinanti-nantikan setelah 14 tahun watak itu tidak kelihatan. Ah, sayang sekali.

Kedua, dalam AADC2 ini tiada tokoh realiti istimewa yang diangkatkan ataupun dijadikan ikon atau trademark dalam cerita ini.  Tidak seperti AADC yang mengangkat Chairil Anwar menerusi karyanya yang berjudul AKU itu.  Walau Rangga ada menyebut nama seorang pemuisi luar yang aku lupa namanya dan kemunculan seniman bernama Eko Nugroho yang disukai Chenta, namun itu belum 
cukup ampuh untuk menjadikan AADC2 ini setanding dengan AADC.  Hal ini seterusnya barangkali boleh menjerat dan memerangkap AADC2 dalam lingkungan cerita yang hanya berkisarkan sejauhmana pengakhiran misteri cinta Rangga dan Chenta (Dan sememangnya itulah motif filem AADC2).  Mungkin tokoh realis yang ditampilkan untuk AAD2 kali ini lebih merupakan seniman yang bercorak "fine art" dan agak kurang yang bersifat sastera tulisan, maka atas sebab itu tokoh 
realis itu agak kurang menonjol sosoknya dalam AADC2. Tapi aku mengharapkan ada sedikit tokoh berjiwa rebel sebagai selingan dalam AADC2 agar ianya tidak dianggap sebagai hanya kisah cinta Rangga dan Chenta semata yang mana akhirnya akan menjebakkan aku dalam menonton filem cerita yang berkonsepkan cinta semata.  Aku perlukan cukup hanya sedikit elemen yang bersifat "kekeluaran" daripada konteks cinta agar aku tidak dicop atau dilabel sebagai "mamat jiwang karat".  Dan sekali lagi hal itu tidak terjadi.

Ketiga,menurut aku, puisi adalah antara elemen penting yang menguatkan filem AADC yang dahulu.  Terutamanya menerusi watak Rangga.  Hal itu masih cuba dikekalkan dalam AADC2. Tapi yang mengecewakan aku, puisi yang ditampilkan dalam AADC2 ini sifatnya terlalu lurus, linear dan literal.  Kurang metafora dan nuansa dari gaya bahasa, susunan bahasa. Seharusnya bila watak Rangga itu sudah menginjak dewasa malah sudah menjadi penulis dalam sebuah majala di New York, maka sepatutnya puisi yang ditampilkan itu lebih matang, non literal, non linear, penuh metafora dan abstrud sifatnya. Atau dalam kata mudahnya, tidak punya "kick". Tidak seperti dalam AADC, puisi yang ditampilkan menerusi Rangga dan Chenta itu bahkan jauh lebih matang sedangkan dalam AADC itu latar peristiwanya adalah zaman sekolah.  Harusnya puisi AADC2 itu jauh lebih mengancam dan menggetarkan jiwa dari puisi AADC.  Dan itu tidak terjadi sekali lagi.  Bahkan surat puisi yang diberikan Rangga kepada Chenta pada saat akhir pertemuan di Jogjakarta itu juga menghampakan.  Sedangkan penonton seperti aku ini ternanti-nanti apakah isi puisi yang diberikan Rangga kepada Chenta dengan penuh debaran.  Lebih-lebih lagi dengan permintaan Rangga yang menghalang Chenta dari membaca langsung puisi itu disaat pertemuan singkat itu masih berlangsung. Dan debaran itu ternyata menurut aku tidak berbaloi dengan kualiti puisi yang ditampilkan dalam AADC2. Cis, mengecewakan.

Keempat, dari segi dialog.  Dialog juga tidak cukup mantap. Maksudnya, kurang kata dialog yang bersifat falsafah ringkas dan mudah iaitu dialog yang dilontarkan dalam bahasa ringkas dan pendek tapi mengesankan. Mujur bahasa badan dalam konteks bahasa filem antara Rangga dan Chenta itu bagus dan tidak kaku.  Ia bukan suatu masalah bagi Rangga lakonan Nicholas Sapurta dan Chenta lakonan Dian Sastrowodoyo kerana 2 insan ini merupakan pelakon berbakat.Selain itu mujur ada watak Milly yang sedikit sebanyak tidak membosankan penonton dengan soalan-soalan dan jawapan yang bersifat naif sesuai dengan karekternya.

Kelima, sepertimana menurut Megat dan Asang, filem AADC2 ini seolah-olahnya mahu mempromosi Jogjakarta yakni antara latar tempat yang mengambil sebahagian besar dalam pengambaraan filem ini.

Keenam, pengakhiran cerita yang juga tidak cukup "kick" dan kurang mengesankan.  Ianya terlalu mudah disudahkan walhal suatu konflik baru seolah mahu cuba dicetuskan saat Chenta melihat Rangga sedang berpelukan dengan pekerja kedai kopinya di New York setelah Chenta seperti bersusah payah ke New York untuk menemui semula Rangga.  Tapi permulaan konflik itu dibunuh dengan penyelesaian yang cukup mudah dan bersahaja.  Bukankah ini filem epik yang menemukan kembali lagenda Rangga dan Chenta setelah ia dinanti-nantikan penonton untuk tempoh 14 tahun.  Kenapa epik cinta antara 2 lagenda ini bagi remaja yang membesar sekitar tahun 90-an diakhiri dengan penamatan yang mudah sekali!?.

Ketujuh, tiada ost dalam bilangan yang banyak dan mengesankan jiwa sepertimana ost dalam AADC dahulu yang dihasilkan oleh Melly Goeslow.

Kelapan, ini bukan menurut aku tapi menurut mungkin kebanyakan penonton iaitu kenapa adegan Rangga dan Chenta bercumbuan menahan beban rindu perlu dipotong dalam tayangan panggung wayang di Malaysia?. Kalau menurut aku itu, ia bukan isu besar sangat pun dan tak lah mengecewakan aku sangat.  Lainlah pemotongan babak mencium itu melibatkan aksi cium mulut antara Aku dan Dian Sastrowodoyo. Itu sudah pastinya perlu sangat dikecewakan. Kah, Kah, Kah. 


Apapun, walau filem AADC2 ini tidak memenuhi harapan aku sepenuhnya (mungkin tinggi sangat kot harapan aku kat filem AADC2 ini), tapi filem ini masih lagi SANGAT berbaloi untuk ditonton.  Sesuai bagi yang mahu bermelankolia masa remaja lebih-lebih lagi bagi yang pernah menonton AADC pada 14 tahun yang lalu. 

Dan dalam pada masa yang sama, filem ini tidak sesuai untuk mamat-mamat yang jenis pakai baju batik, pakai songkok hitam, pakai tali leher, pakai kasut kulit muncung panjang, pakai baju kemeja masuk dalam seluar slack yang kain licin tu ditambah jenis lelaki yang suka selfie (kau boleh faham benda ini menerusi kata dialog Rangga sewaktu memberikan definisi tentang perbezaan antara mengembara dengan bercuti atau melancong).  Serius lebih baik kau jangan tengok.  Kalau dapat tahu ke si Rangga yang laki-laki jenis ini tengok AADC2, mahu menangis si Rangga dibuatnya.  Seolah-olahnya AADC ini telah tercemar dengan najis kehinaan. Mamat jenis macam ini seperti watak Trian dalam AADC2.


Maka dengan itu, datanglah ke pawagam dan tontonlah filem ini. 





Buku AKU tentang Chairil Anwar. Kaset OST AADC lama yang masih lagi ada dalam simpanan aku. Aku beli kaset ini masa tingkatan 4 di Kedai Kaset Radin dekat bus stesen Batu Pahat.






p/s: Benar kata Rangga tentang Chenta iaitu: "Baru sekali itu aku melihat karya syurga dari mata seorang hawa".

Dan aku dahulunya cukup senang melihat mata si dia yang bulat belolok itu.  Cukup indah mata itu. Dan aku rindu bukan sahaja untuk melihat bebola mata indah itu lagi bahkan jika punya kesempatan yang menurutku agak mustahil, akan aku tenung sedalam-dalamnya sehingga menembusi retina matanya. Ah, itu pun jika punya kesempatan kedua!.






Tiada ulasan: