Rabu, 29 April 2015

Bau-Warkah










Takkan lagi aku menunggu
Kau hadir di dalam mimpi-mimpiku
Puasku mengharapkan dirimu
Seperti mereka yang punya cinta

Diriku tanpa dirimu
Kau tempuhi penuh bahagia
Diriku mahu kau tahu
Pedih ini kau tak terasa

Warkahku mengharapkan dirimu
Seperti yang aku kenali dulu
Setiaku menantikan dirimu
Seperti setianya terhadap diriku

Tapiku melepaskan mu
Melangkah namun tak berdaya
Terusku terus menunggu
Cinta yang takkan pernah ada


p/s: aku tak tahu. aku tak faham. aku tak mengerti.
aku keliru sehingga semuanya jadi celaru.




Sabtu, 25 April 2015

TERIMA KASIH



TERIMA KASIH

Syukur kepada Allah.

Salam buat Nabi SAW serta Sahabat Nabi SAW.

Terima kasih guru Hamid Mohd Isa.

Terima kasih Prof Dato Dr Mohd Mokhtar Saidin.

Terima kasih kawan2: 
Amzari, Kenshi, Aim, Nik Ashri, Wandy, 
Faiz, Azhar, Udin, Adam, Fekah,Reza 
Lego, Megat, Fadil, Asang, Ikan, Man,Hussin, Khusaini
Bule, Mirul, Apan,Misbun,Syam, Ucop,Karim,
Rentap,Kak Aiza, Kak Ekin, Kak Nisa, 
Ratna, Sue , Ein, Fazidah, Liza,Kamal, 
Muzani, Syeh, dan lain-lain.

Terima kasih Orang Seletar, Orang Duano dan Orang Kanaq: 
Tok Jamil, Tok Jidin, 
Tok Payang, Tok Jantan, Tok Ahmad, 
Wak Jan, Wak Jahan, Batin Entel, Batin Salim, 
Batin Nah, Khamis, Aduh, Dewi, Khairul, 
Edi, Jefri, Tok Sara, Khairi, Batin Moen, 
johan dan lain-lain lagi.

Terima kasih emak, ayah, Hadi,Yusof, 
keluarga Cik Na, keluarga Cik Joe dan 
keluarga Pak Ngah.

Terima kasih Al-Marhum Haji Hussain b Haji Yussof 
dan Al-Marhum Ahmad Solehin bin Haji Hussain.

Terima kasih ..... ........ ...........

TERIMA KASIH SEMUA.






Rabu, 22 April 2015

Ajal





Ajal
Sampai waktu
Tiada siapa yang mampu menahan
Hatta tuan penguasa dunia sekalipun.

Si algojo itu
Tiada pernah alpa
Melaksana amanah Tuhannya
Menghentikan nafa,
Siapa sahaja yang sudah sampai waktunya.

Menangislah
Meraunglah
Hingga berjejeran air mata darah sekalipun
Tiada akan pernah bisa kembali lagi.

Ajal adalah permulaan hakikat
Datangnya ajal, datanglah hakikat
Yang dahulunya tak pernah  diyakini
Meski pernah  diketahui.

Rugilah bagi yang hanya menyakini hakikat 
Saat ajal menjemputnya.


22 APRIL 2015
USM PULAU PINANG



p/s: Ilham untuk puisi ini hadir selepas secara tiba-tiba sampai berita pemergian ayah kepada salah seorang pelajar arkeologi.  Saat berita itu sampai, kami bergelak tawa dan gembira atas suatu perkara yang barangkali sia-sia. Sampainya berita itu, segalanya berubah. Dari suasana gelak tawa bertukar hiba dan suram.  Ini lah apa yang dikatakan sementara. Dalam tempoh hanya masa sedetik segalanya boleh berubah. Dari gembira kepada duka. Dari tawa kepada hiba. Itulah sementara. Sampainya ajal, maka barulah roh itu mengerti akan apa itu makna hakikat dan apa itu makna sementara.





CERITERA BULAN APRIL





# kredit pic: syuhada.


Hujung bulan Mac aku ke Lenggong dengan lokasi spesifik adalah di Kampung Air Bah. Bawa pelajar minor buat kajian turut serta berkenaan budaya masyarakat Orang Asli.  Misalnya berkenaan tengok cara-cara buat sumpit, pakaian kulit kayu, kajian etnobotani dan lain-lain lagi. Sebelum balik ke Penang, singgah ke rumah Cik Li sebab Cik Li jemput makan laksa.

2 April, aku bersama guru dan rakan-rakan ku yang lain bergerak ke selatan.  Tujuannya untuk menziarahi orang lama dalam bidang arkeologi yang sedang uzur dan sakit di Melaka dan juga untuk menghadiri mesyuarat ikatan arkeologi di Muzium Negara.

Pagi khamis 2 April kami bergerak menaiki van bergerak ke Melaka. Cik Talib memandu van manakala aku disebelahnya hanya berfungsi sebagai tukang karut agar dia tak mengantuk semasa memandu.  Sepanjang perjalanan, kami bersembang tentang macam2 hal tapi yang utamanya tentang M.Nasir dan Ramli Sarip.  Sebabnya Cik Talib ini merupakan peminat bagi 2 sosok seniman ini.

Sekitar jam 6 petang sampai lah di lokasi iaitu di Semabok, Melaka.

Tuan Haji Jalil merupakan insan yang ingin kami ziarahi.  Aku tak punya sebarang sama ada hubungan langsung atau tak langsung dengan insan ini.  Aku tak pernah berhubung dan terlibat dalam mana-mana hal dengan insan ini. Dalam rombongan kami ini, aku rasa lawatan ini sangat bermakna bagi 3 orang individu sahaja iaitu guruku, Cik Talib dan Sue.  Hal ini kerana, ketiga-tiga individu ini pernah berhubung dan berkomunikasi dalam kadar yang agak kerap bersama Tuan Haji berbanding dengan ahli rombongan yang lain.  Maka sebab itu, lawatan ziarah itu barangkali lebih mempunyai makna tersendiri kepada 3 individu ini. Dan sepanjang lawatan ziarah itu berlangsung, penceritaan yang dibualkan dan dibangkitkan adalah berkenaan nostalgia dan memori yang pernah berlangsung dalam kehidupan 3 individu ini dengan Tuan Haji.

Selesai sahaja sesi ziarah tersebut, kami bergerak ke KL. Sebelum memasuki lebuhraya, kami singgah makan. Aku, guru dan Cik Talib menjamu asam pedas ikan kembung. Dan bertuahnya malam itu, guru dengan murah hatinya belanja makan malam kami.

Malam itu kami bermalam di homestay yang terletak di Kampung Baru. Perasaan aku ke kampung baru kali ini tidak sama dengan perasaan aku ke tempat itu 2 tahun lalu .  Kalau 2 tahun lalu, aku dapat menikmati rasa aneh yang melibatkan pemandangan bulan purnama, KLCC, irama blues dan bayangan wajah si genit. Aku ingatkan bila dapat kembali ke Kampung Baru, maka dapatlah aku merasai nikmat dejavu dengan latar rasa yang sama pernah aku rasai 2 tahun lalu.  Barangkali kepenatan dan keletihan menghalang aku untuk mencicip sedikit rasa aneh yang pernah aku rasai 2 tahun lalu. Ah, celaka.

Esoknya awal pagi, kami ke Muzium Negara. Bersarapan di sana disebabkan pihak penganjur mesyuarat menyediakan sesi sarapan pagi itu. Sebelum bersarapan aku mengikuti Cik Talib bersalaman dengan orang lama arkeologi iaitu Prof Emeritus Nik Hassan Shuhaimi.

Lepas menjamah sarapan, aku bersalaman dengan geng2 Prof Madya Dr Zul dari UKM. Dr Zul mengucapkan tahniah kepada ku diatas selesainya urusan pengajian sarjana aku. Masa aku tengah bersalaman dengan geng2 dari UKM, tiba-tiba aku terdengar panggilan orang dari meja belakang yang memanggil dengan perkataan "Orang Seletar". Aku toleh ke belakang, rupa-rupanya rakan  wanita UKM yang mana kami pernah bersama membentang kertas kerja seminar di PekanBaru, Riau pada tahun lepas.

Mesyuarat agong kali ini tujuannya adalah untuk membuat pemilihan untuk jawatankuasa ikatan selain membentangkan hasil kerja yang telah diutarakan pada mesyuarat sebelum ini (mesyuarat 2014 aku tak hadir sebab berada di kerja lapangan di Johor) dan juga mencadangkan usul untuk aktviti yang bakal dijalankan. Hasil daripada pemilihan tersebut adalah seperti pemilihan biasa iaitu ada muka baru yang muncul dan ada juga muka lama yang kekal.


Usai mesyuarat, kami berjalan2 sekitar di muzium. Aku rasa bosan sebab Cik Talib tak menyertai mesyuarat tue sebab ada urusan di MIMOS. Kalau ada Cik Talib, boleh lah lepak dengan dia berdua jer.  Jadi atas sebab itu, aku terpaksa melayan karenah 6 orang pompuan rakan aku. Terpaksa tengok diorg dok selfie kat sekitar muzium. Dan adakalanya aku pula kena amik gambar diorg. Sabar je lah wey. Perempuan memang makhluk yang sangat membosankan. Masa 6 orang perempuan  nie tgh dok berselfie, adalah sekali geng2 perempuan UKM yang dok berselfie sekali.  Geng2 UKM ini aku kenal tapi cuma tak tahu nama jer.  Sebab diorg nie kebanyakannya sama2 membentangkan kertas kerja seminar di PekanBaru, Riau tahun lepas. Salah seorang dari mereka iaitu wanita yang pada masa sarapan pagi memanggil aku dengan gelar "Orang Seletar" sempat lah jugak berbual dengan aku. Dia tanyalah tentang pengajian aku, tentang tesis dan viva serta seangkatan dengannya.


Kemudian aku memasuki ruang dalam muzium untuk melihat pameran. Kami memasuki dengan percuma disebabkan guru ku.  Guru aku itu kan dahulunya pernah bekerja di muzium negara dan juga merupakan orang lama dalam bidang pemuziuman.  Kalau di muzium negara itu, guruku itu umpama rock star yang sangat dikenali.  Semua orang mengenali dan menghormati beliau. Hal ini bukanlah
suatu yang aneh sebabnya guru ku itu punya sifat yang mudah mesra dengan orang, peramah dan pandai berkomunikasi dengan semua lapisan masyarakat.  Maka atas sebab itulah, bukanlah suatu yang pelik untuk kami jika dapat memasuki muzium dengan bayaran percuma. hahahaha...

Ruang pameran muzium di bahagikan kepada 4 bahagian iaitu bahagian prasejarah, sejarah pra merdeka, pasca merdeka dan malaysia pada hari ini. Ruang pameran menampilkan penceritaan sejarah dalam konsep yang ringkas tetapi menarik serta mencakupi segala aspek penting yang terdapat dalam liputan perjalanan pembentukan negara dan bangsa sepertimana yang dapat kita lihat pada hari ini.


Petang sekitar jam 2.30 kami bergerak ke Pulau Pinang. Esok paginya iaitu pagi Sabtu aku menghadiri majlis kenduri kahwin rakan ku iaitu Kak Ekin di Lenggong.  Tahniah Kak Ekin sebab dah ke jinjang pelamin.  Dari Kak Ekin inilah aku tahu cara nak pakai GPS, cara nak buat peta dan cara nak guna perisian CorelDraw. Terima kasih Kak Ekin atas tunjuk ajar yang sangat bermakna itu. Kini Kak Ekin dah tak kat USM tapi dah kerja kat Kelantan dalam bidang geologi.

Kak Ekin ini bertemu jodoh dengan lelaki Lenggong. Kampung Chepor. Masa kenduri belah umah Kak Ekin aku tak gi sebab aku balik kampung masa raya cina.

Aku ke Lenggong dengan menumpang kereta 3 orang rakan iaitu Syuhada, Lin dan Mira.  3 orang ini juga merupakan antara 6 orang perempuan yang ikut serta dalam rombongan ke KL untuk mesyuarat. Aku sering panggil 3 orang budak ini dengan panggilan "Budak UKM". Sebabnya sebelum ini mereka bertiga ini belajar di UKM dalam bidang geologi untuk peringkat ijazah pertama sebelum
meyambung pengajian di peringkat sarjana di USM. Sebelum ini aku tak rapat dengan diorg. Jarang bersembang.  Diorg dok lepak kat lab lain. Aku pun masa sebelum ini tak berapa tahu sangat nama diorg. Jadi kalau nak merujuk pada 3 orang ini, aku selalunya akan merujuk dengan gelaran 'Budak UKM". Aku rasa aku boleh kira berapa kali jer aku bersembang dengan budak 3 orang ini. Itu pun disebabkan keperluan mendesak. Pertamanya masa aku mintak tolong carikan bahan Orang Laut kat UKM sebab diorg masa itu ada urusan di UKM dan keduannya, masa aku terdesak nak pinjam buku perpustakaan disebabkan akaun perpustakaan aku dah tak aktif.  Aku terpaksa mintak tolong diorg sebab waktu itu dah tak ada orang yang boleh aku mintak tolong sebab kebanyakannya ke kerja lapangan. Biasanya aku mintak tolong Sue atau Ratna jer guna kad dia. Ketiganya pun atas sebab yang sama iaitu nak pinjam buku perpustakaan guna kad  3 orang budak UKM ini. Dan kali ini merupakan kali keempat aku bersama dengan diorg dalam kadar yang agak rapat.

Kami sampai ke majlis kahwin sekitar jam 12. Kak Nisa dan Prof Mokhtar dah ada kat sana. Kalau tak silap aku lah, mungkin ini merupakan satu-satunya majlis kenduri kahwin bebudak arkeologi yang didatangi oleh Prof Mokhtar. Barangkali kesibukan dan komitmen kerja telah menghalang beliau untuk mengunjungi majlis kahwin bebudak2 arkeologi yang lain sebelum ini.

Gaya kenduri kahwen Kak Ekin agak islamik. Maklumlah kenduri kahwin Orang Pas. Lelaki dan perempuan makan asing tempat.  Ada Qasidah. Ada Nasyid. Ada bacaan aL-Quran. Aku nak tak nak terpaksa makan semeja Prof Mokhtar. Kami bersembang.  Beliau bercerita tentang suasana kahwin dia dulu, tentang peristiwa dia jatuh gaung, dan juga beliau ada tanya aku tentang perancangan aku selepas ini.

Usai bergambar dengan mempelai pengantin, kami pulang ke Penang. Sampai Penang, aku dengan Wandy pergi gig. Aku gi gig ini hanya nak tengok Plague of Happiness. 3 band yang lain aku langsung tak layan.  Dan celakanya Plague of Happiness perform last sekali. Jadi aku terpaksa tunggu. Disebabkan Plague of Happiness perform last, aku tak dapat tengok game Arsenal lwn
Liverpool. Tapi Arsenal menang malam tue..Hahahaha...Plague of Happiness dah gemuk...hahahah...tapi akhirnya setelah 12 tahun, dapat juga aku tengok band nie perform....band nie merupakan salah satu band yang mewarnai zaman remaja aku...dan lagi satu sehingga kini aku masih tak dapat kesan satu lagi band yang aku layan zaman remaja aku iaitu band nostalgia... mana ntah
band nie menghilang...hahahahahah....sebelum balik aku beli sehelai baju plague of happiness ngn cd lagu diorg.









Selasa, 21 April 2015

PEREMPUAN




PEREMPUAN,
Bila kau jadi kawan,
Kau juga bisa jadi lawan yang anggun.
Bila kau jadi ibu,
Kau adalah ibu yang pesona.

Tapi ,
Bila kau jadi kekasih,
Hanya garis kabur,
Hanya garis kabur yang mampu ku puisikan!.
Mana mungkin kau bisa jadi sang isteri?.


21 APRIL 2015
USM PULAU PINANG.