Aku telah sampai ke kampung halaman aku. Khamis malam aku sampai. Asalnya ada sedikit kebarangkalian yang tidak memungkinkan aku pulang ke kampung untuk cuti Tahun Baru Cina 2015 ini. Hal ini adalah disebabkan aku agak sibuk dengan kerja luar. Ianya tak lain tak bukan adalah berhubung dengan masyarakat Orang Asli. Bahkan untuk cuti kali ini pun aku pulang dari tapak kerja luar aku dan bukannya dari Pulau Pinang. Lepas cuti ini pun aku akan kembali semula ke tapak kajian iaitu di Tasik Banding, Grik, Perak. Pagi khamis selepas bersarapan di warung Pak Usop iaitu satu-satunya warung terdekat yang terdapat di kawasan sekitar RPS Banun, guruku menghantar aku ke stesen bas Grik. Aku cuba mengejar tiket awal ke Ipoh tapi sayangnya tak ada. Yang paling awal pun sekitar jam 11.30 pagi. Tanpa berfikir panjang aku pun beli tiket tersebut. Sementara menunggu jadual bas aku bergerak, aku mengambil kesempatan berjalan2 di sekitar pekan Grik. Disebabkan aku sudah mengkhatamkan satu-satunya buku yang aku bawa semasa kerja lapangan kali ini, maka aku berusaha untuk mencari bahan bacaan untuk dibaca sepanjang perjalanan aku. Buku yang aku khatamkan tersebut adalah berjudul "Aku dan Orang Sakuddei: Menjaga Jiwa di Rimba Mentawai" karya Reimar Schefold. Ianya merupakan suatu catatan etnografi yang disampaikan dalam bentuk novel autobiografi yang mudah dibaca dan dihadam. Buku ini aku beli di toko buku Pt.Gramedia sewaktu aku menyertai seminar di PekanBaru, Riau, Indonesia pada bulan Ogos 2014. Ok. Aku malas nak ulas panjang2 berkenan buku ini. Mungkin ianya lebih sesuai diulaskan dalam satu entri khusus pada masa mendatang. Itu pun kalau ada kerajinan dalam diri aku lah.
Bagi menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan, aku beli majalah FourFourTwo edisi terkini. Majalah ini memang telah mulai aku kumpul semenjak tahun lepas lagi. Jam 11.30 bas aku tiba. Aku menaiki bas tersebut. Bas tersebut melalui laluan Grik-Lenggong-Sungai Siput untuk sampai ke stesen bas AmanJaya di Ipoh. Sesampainya di Ipoh, adik aku jemput aku di stesen bas. Kali ini aku pulang ke kampung dengan menumpang adik aku yang kini sudah pun bekerja di Sri Iskandar, Perak. Tapi sewaktu dalam perjalanan menjemput aku di stesen bas, adik aku telah mengalami sedikit kemalangan. Dan kemalangan itu pun berpunca daripada diri dia sendiri. Adik aku langgar bahagian belakang kereta orang. Tapi mujur kereta dia tak lah teruk sangat lantaran daripada kemalangan tersebut. Setelah bayar ganti rugi, dia amik aku dan kami
langsung pulang ke kampung. Kami begerak dari Ipoh sekitar jam 2 petang. Perjalanan kami secara umumnya lancar. Cuma sedikit sesak di kawasan Slim River. Itu pun bukan sebab laluan menghala ke kl itu sesak tetapi, disebabkan pihak Plus telah menggunakan satu lorong di bahagian laluan kami untuk digunakan oleh kenderaan yang menghala ke utara yang memang terlalu sesak dan sibuk dengan kenderaan yang menghala ke utara. Selepas berjaya melepasi halangan kesesakan di kawasan Slim River, perjalanan kami berjalan agak baik.
Adik aku bawa kereta memang laju. Dan memang tak mustahil, kemalangan pada sebelumnya itu adalah disebabkan dia. Bawa kereta laju dan lepas tue suka brek secara mengejut. Secara jujurnya aku tak suka dengan gaya pemanduan yang semacam itu. Untuk ke selatan, kami menggunakan laluan lebuhraya LEKAS bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di Nilai, Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan, kami berhenti sebentar untuk makan dan kemudian meneruskan kembali perjalanan.
Kami tiba di kampung sekitar jam 8.30 malam. Akhirnya aku dapat jumpa keluarga Cik Na setelah setahun lebih aku tak jumpa. Akhirnya aku dapat jumpa anak bongsu Cik Na yang tak pernah aku tengok semenjak dia di lahirkan. Farish dah darjah lima, Fatin dah besar, Faiz dan sekolah rendah, Caca dah 4 tahun, Nana dah pandai jalan dan yang bongsu iaitu yang bernama Hamjat Khusaini dah pun berusia setahun lebih. Masa berjalan terlalu pantas. Entahlah. Kesibukan masa muda yang aku rasa telah merampas masa-masa indah aku bersama keluarga. Ini semua salah tesis. Salah tesis!.
Selain itu, hal yang mengejutkan aku adalah kan rumah aku dah banyak anak kucing. Ada 9 ekor. 9 EKOR!. Kalian tahu kan kenapa aku perlu berasa terkejut. Aku telah nyatakan sebabnya dalam entri2 sebelum ini. Hairan. Pelik. Aneh. Ajaib.
Malam aku tidur bersama sepupu2 kecil ku di ruang tamu. Suatu hal yang mengimbau nostalgia silam ku di waktu kecil iaitu tidur beramai2 di ruang tamu.
Esok paginya iaitu hari Jumaat, aku, adik aku dan bersama sepupu2 kecil aku yang lain bergotong-royong menyapu dedaunan yang berguguran di halaman hadapan rumah. Kemudian setelah dikumpul, dedaunan itu kami bakar. Ah, sekali lagi mengimbau nostalgia silam aku.
Petangnya, kami bersama Cik Fahd ke pantai Punggur. Di pantai itu, aku menghembuskan asap rokok kepuasan kerana niat aku untuk bertemu keluarga Cik Na tercapai setelah lebih setahun tak berjumpa. Hembuasan asap rokok kepuasan itu juga aku dedikasikan pada 9 ekor anak kucing bersama 3 ekor kucing dewasa lain. Ah syukur Ya Rabb.
Tapi sayang dan celakanya, malam harinya aku call Addin, Addin tak angkat. Kenshi aku call, dia kat Sabah tak balik. Macam itu juga Ikan. Ah, kalian bertiga telah merosakkan saat-saat indah aku pulang ke kampung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan