Rabu, 6 Julai 2016
Raya 2016
Pertamanya, selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin diucapkan. Ya aidilfitri untuk ke-30 kalinya dalam hayat aku. Seperti tahun sebelumnya, tiada yang menarik dalam syawal hidupku. Hanya rutin tahunan yang diputar-ulang. Skripnya hampir sama untuk 5 tahun kebelakangan ini. Klise.
Balik kampung dengan Hadi, singgah rumah Cik Na di Setia Alam. Berbuka puasa bersama sepupu sepupu kecil aku. Lepas isyak meneruskan perjalanan pulang ke kampung halaman bersama Faris,Faiz dan Caca. Tiba di kampung sekitar jam 1.00pagi.
Esok harinya seperti lazimnya apabila pulang ke kampung, kami sekeluarga bergotong-royong. Aku bersama sepupu kecil iaitu Farish,Faiz dan Caca serta adik bongsu aku, Ucop mengambil peran menyapu halaman rumah yang ditutupi dengan pelbagai spesis jenis daun antaranya daun durian, rambutan, tin, nangka dan sebagainya. Kuantiti daun yang perlu disapu dan dibakar agak banyak lantaran bapak aku tebang pokok manggis. Satu-satunya pokok manggis yang ada di rumah aku. Dahulunya ada 2 batang pokok manggis. Satunya tumbang secara alami akibat tiupan angin ribut yang kencang. Tinggal yang satu ini. Dan yang satu ini pun tanpa sebab alami dari Tuhan telah tumbang saat awal pagi aku bersiar jalan di sekeliling halaman rumah. Aku pun tak mengerti, apa salah satu-satunya pokok manggis yang ada di rumah aku ini ditumbangkan oleh bapak aku. Nak kata mandul tak berbuah, setiap tahun berbuah. Malah masa aku menyapu rimbunan daunan pokok ini dan mengangkat belahan batang pokoknya, masih lagi terpapar putik buah manggis ini yang menanti masa untuk berbuah dan akhirnya berubah warna biru kundang untuk dimakan manusia dan haiwan. Tapi entahlah, kenapa ditebang, aku pun tak tahu. Aku pula malas nak bertanya akan sebabnya pada bapak aku. Cis, pokok buah yang aku suka makan ditebang.
Kat rumah aku ini, ada banyak juga pokok buah, tapi bukan jenis buah yang aku suka makan. Misalnya, aku suka makan buah cempedak lebih-lebih lagi bila digoreng, tapi yang berlambak kat rumah aku ini pokok buah nangka. Lagi buah pulasan. Dahulu ada 2 batang pokok yang ditanam Cik Joe. Tapi kini tinggal satu pokok je. Yang satunya lagi menerima nasib seperti pokok manggis ini iaitu tumbang tanpa sebab alami lantaran ditebang. Buah lain yang aku suka makan adalah pelam. Sebab itu dalam tulisan entri lama aku,aku ada sebut antara benda yang aku nak buat adalah tanam
pokok pelam. Tapi aku tak punya kesempatan untuk tanam pokok pelam kat kampung. Maka atas sebab itu, aku tanam anak pokok pelam kat galeri arkeologi USM masa sekitar bulan 3 hari itu.
Petang keluarga Cik Na sampai. Suasana jadi meriah dengan riang-tawa-nangis sepupu2 kecil. Petang tu juga aku rancang nak pasang pelita. Tapi bila aku tengok kat stor rumah aku, batang-batang buluh pelita yang terdahulu telah pun reput. Agar sepupu2 kecil aku tidak berasa hampa dan kecewa, aku pasang pelita dengan menggunakan batang buluh yang masih boleh digunakan. Hanya 3 batang buluh sahaja yang masih boleh digunakan, makanya untuk malam itu cuma ada 3 pelita sahaja yang
dapat dinyalakan. Bukan apa, bagi meriah untuk budak-budak ini nak main bunga api dan mercun pada malam harinya.
Isyak kami solat di surau beserta solat terawih. Seperti tradisi selalunya, lepas solat terawih ada moreh atau puluran dalam bahasa Jawanya. Tapi pelaksanaan tradisi puluran ini tidak seperti masa lalu. Dibuat hanya sekadar cukup syarat. Suasana meriahnya telah hilang. Zaman berubah barangkali sebagai alasan untuk menutup kegagalan membangkitkan roh tradisi puluran ini.
Balik terawih dan ianya merupakan satu-satunya terawih yang aku lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini. Aku solat terawih ini bukan apa. Nak jaga hati bapak aku dan juga nak bawa sepupu kecil aku merasai suasana solat terawih di kampung .Itu sahaja. Tak lebih dari itu. Tak ada langsung soal untuk mengejar pahala atau alasan berupa keagamaan lain.
Balik Terawih,Ikan call aku. Tanya aku dah balik kampung ke belum. Silapnya aku jawab secara jujur dengan jawapan yang aku dah kat kampung. Patutnya aku bagitau dia yang aku tak balik kampung lagi dan mahu menumpangnya. Kalau aku bagi jawapan macam itu, mungkin ikan akan bagi jawapan balas dengan mengatakan: "Sorry Kel, aku dah sampai Batu Pahat, pandai-pandai kau
lah"...Hahaha..tapi aku jawab secara jujur dengan mengatakan aku dah kat kampung. Jadinya Ikan tak dapat nak kenakan aku. Hahahaha...Sorrylah Ikan sebab itu beberapa tempoh tahun kebelakangan ini,aku sering menyusahkan kau. Tapi yang powernya Ikan ini, dia tetap akan tolong meski dalam nada yang bersungut-sungut dan marah-marah.
Ikan ajak lepak. Aku on. Tapi aku sampai lambat sebab kesesakkan jalan. Sampai2 aku kena marah dengan Ikan. Aku pasrah dan redha je. Sebabnya bukan pertama kali aku buat macam itu. Tapi dah banyak kali. Kenshi tak dapat lepak sebab dok rumah mentua dia. Addin pula baru sampai kampung dari Selangor. Lebih kurang jam 12 lebih, Ikan ajak balik. Sebelum balik, aku masuk ke ekspo Ramdhan Parit Raja. Cari bunga api tambahan untuk sepupu kecil aku.
Esok paginya, sesi bergotong-royong disambung. Yang perempuan masak2 di dapur. Manakala yang lelaki kemaskan dan bersihkan halaman rumah. Aku pergi ke kebun untuk cari buluh. Buat tiang untuk disangkutkan dengan pelita. Tengahari keluarga Cik Joe sampai. Bertambah meriah suasana kampung.
Petang aku ajak Fatin dengan Caca naik motor pergi Senggarang untuk cari air katira. Hari sebelumnya, aku mintak Ucop beli air katira, tapi yang dibelinya air honey dew. Disebabkan tak dapat, aku pergi cari sendiri. Mujur, masih ada yang jual air katira ini di hari terakhir Ramadhan. Bukan apa, dah lama aku tak minum air katira. Air katira ini merupakan salah satu trademark khusus negeri Johor.
Masa berbuka puasa, kami makan juadah ngunjung yang diberikan jiran tetangga. Suatu budaya unik masyarakat Jawa Johor apabila menjelang raya. Berkongsi dan bertukar-tukar rasa juadah untuk raya pada keesokkannya. Seperti biasa, antara juadah ngunjung itu adalah ketupat, lepat, dodol, kuah lodeh, sambal goreng, rendang dan sebagainya.
Malam harinya, aku melayan sepupu kecil aku main mercun dan bunga api.
Lepas isyak, Ikan call ajak lepak. Kali ini ada Kenshi dan Addin. Budak 2 ekor ini dah lama aku tak jumpa. Ada lebih kurang 3 tahun jugak aku tak jumpa, kalau aku tak silap. Seperti semalam, aku tetap lewat sampai. Bukan apa. Mula-mula aku naik motor, tiba-tiba dalam perjalanan, lampu motor terbakar. Aku patah balik ke rumah. Ingat nak pakai motor bapak aku. Motor dia plak tak ada sebab bapak aku masih di surau. Sudahnya aku rembat kereta adik aku. Sebab tu yang lambat. Cis, keadaan tak pernah menyebelahi aku bila ada hal yang berhubung dengan Ikan. Bertabahlah.
Sampai di kedai mamak Parit Raja yang merupakan port lazim kami melepak, aku tengok Ikan dan Kesnhi dah ada. Hal aku datang lambat ditutupi dengan rasa ketidakpercayaan aku dengan susuk fizikal Kenshi. Jauh berubah dan berkembang. Makin besar dan bertambah kilogram beratnya. Sebelum ini bukan aku tak tahu yang dia dah gemuk, tapi itu hanya berita yang aku dengar daripada Ikan. Tapi kali ini, aku nampak dengan mata kepala aku sendiri secara live. Semua benda yang berubah. Itu yang kau harus terima. Dalam hidup ini, banyak benda boleh berubah. Macam-macam. Bukan sahaja fizikal boleh berubah, tapi soal keyakinan, pandangan, ideologi, prinsip juga boleh berubah dalam kehidupan ini. Bahkan boleh berubah secara total 360 darjah.
Tak lama kemudian, Addin sampai. Kami bersembang. Ada unsur melankolia zaman silam,ada unsur perkembangan terkini dsb. Sembang cerita zaman sekolah, tentang karkun, tentang Johor, tentang rakan2 lain, tentang kehidupan masingh-masing, tentang isu semasa dan lain-lain. Sekitar jam 12 lebih, masing-masing berpakat untuk bersurai. Aku relakan dengan hati yang pasrah.
Itu satu perubahan. Kalau dulu, boleh lepak sampai ke Subuh, kali ini tidak lagi. Aku faham sebab masing-masing ada komitmenterutamanya yang dah berkahwin. Tapi aku masih lagi berasa bertuah dan bersyukur bahkan kesyukuran yang cukup besar sebab dapat betemu secara langsung muka ke muka bersama 3 rakan aku ini lebih-lebih lagi Addin dan Kenshi sebab dah hampir 3 tahun aku langsung tak tahu berita diorg apatah lagi melihat riak wajah mereka. Setiap tahun kebelakangan ini, aku cuma ada Ikan je untuk berkongsi rasa sayu menjelang syawal. Terima kasih Ikan.
Pagi syawal, sebelum so,lat raya, kami makan berjemaah. Sebelum pergi sembahyang, aku salam mak aku minta maaf. Bapak aku, aku tak sempat nak salam sebab awal2 lagi lepas makan,dia dah ke surau. Syawal tahun ini bagi komuniti masyarakat Parit Kemang Darat, barangkali ada perubahan yang agak baru dimana buat pertama kalinya, surau kampung aku menganjurkan sendiri solat aidilfitri untuk kariahnya. Tidak lagi bersolat di masjid di kawasan baruh. Lepas solat dan khutabh raya,ada bacaan tahlil ringkas dan ucapan hari raya dari jawatankuasa surau. Dimaklumkan juga bahawa marhabban atau baraan akan bermula pada raya kedua. Berkenaan marhaban ini,mak aku dah pesan awal2 yang tahun ini aku dengan aadik aku kena pergi marhaban,sebab bapak aku dah tak mahu lagi pergi. Memang sepatutnya yang pergi marhaban ini anak dewasa setiapisi rumah. Ketua isi rumah tak selalunya pergi. Sebelum pulang ke rumah, kami menikmati juadah hidangan yang dibawa oleh ahli jemaah surau. Pelbagai jenis juadah yang dihidangkan. Ada ketupat, lepat, dodol, roticanani, dadih, mee dan sebagainya.
Tak lama di rumah, aku, bapak aku, Hadi, Ucop dan Jat pergi ke kubur menziarahi pusara al-marhum nyayi (atuk) dan nyaye (nenek) aku. Rasa hiba dan sayu mengenangkan pemergian mereka terutamanya al-marhum nyayi aku. Ditambah pula dengan suasana hawa dingin disebabkan pada pagi syawal kali ini hujan turun. Bapak aku mengepalai bacaan tahlil ringkas. Melihatkan nisan kayu yang reput itu,aku terbayangkan kedut wajah al-marhum nyayi aku yang mana meski berkedut namun menenangkan dan menyejukkan hati bila memandang wajahnya.
Sepanjang hari ini,masih lagi tiada yang beraya. Sebab raya pertama lazimnya masing-masing menghabiskan masa bersama keluarga tercinta. Aku melayan sepupu kecil aku bermain video game. Bukan video game ps. Tapi game tape atau catridge game. Aku beli game tape ini masa bulan ramadhan kat penang iaitu di Mydin dengan harga sekitar rm 30. Aku rasa gembira sebab adik dan sepupu kecil aku teruja main game tape tu. Sebabnya jenis game ini merupakan jenis game zaman aku membesar,bukan zaman diorg. Zaman diorg adalah adalah game ps. Tapi meskipun permainan video ini bukan zaman diorg tapi zaman retro aku, mereka masih lagi teruja dan seronok untuk main. Bahkan sampai- bergaduh-gaduh berebut giliran untuk bermain permainan video tersebut. Antara permainan yang ada dalam tape video itu adalah game Mario, Galaxian, Duck Hunt,Clay Shot, Olypmpic, Island Adventure dan lain-lain. Aku gembira sebab diorag gembira main permainan video yang dahulunya agak sukar untuk aku main sebab ianya pada zaman kanak-kanak aku dahulu, merupakan barang permainan yang lazimnya dimiliki oleh anak-anak orang kaya dan boleh dianggap sebagai barang mewah pada zamannya. Dulu aku terpaksa tumpang main game ini kat rumah kawan aku. Kena tunggu giliran. Kena main betul2 supaya masa giliran tu dapat main dalam tempoh masa yang lama iaitu jangan sampai mudah mati. Kalau tak nak tunggu pusingan giliran balik, punyalah lama nak mati oi. Dan biasanya, pada waktu dahulu itu, mak aku akan membebel sebab dok main game kat rumah jiran.
Setakat tu jelah celoteh aku di raya pertama.
Harapnya malam ni dapat lagi lepak dengan Ikan, Kenshi dan Addin.
Labels:
aku,
coretan emosi,
Kisah Silam,
nakama,
nukilan jiwa
Isnin, 4 Julai 2016
30-an.
Selamat menjengah masuk usia 30-an.
Semoga sukses dalam segalanya.
Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri.
Maaf zahir dan batin.
Langgan:
Catatan (Atom)