Isnin, 30 Jun 2014

Nazi Goreng - Marco Ferrarese -





Judul: Nazi Goreng
Penulis: Marco Ferrarese
Penerbit: Monsoon Books Pte Ltd
Harga: RM 39.90




Fuck.  Banyak buku yang sudah aku baca tapi tak review lagi. Aku ulas mana yang mampu.  Bergantung pada mood dan kerajinan yang ada.  Kali ini aku nak cerita serba ringkas tentang sebuah buku yang sudah aku khatamkan pada 14 Jun 2014 yang lalu. Judulnya Nazi Goreng. Karya Marco Ferrarese. Buku ini aku ketahui keberadaannya di pasaran melalui Wandy yang mana dia sudah terlebih dahulu membelinya daripada aku.  Aku khatamkan pembacaan kitab ini pada jam 7.51 pm hari Sabtu.

Novel ini menceritakan serba ringkas tentang scene sub-culture Skinhead yang terdapat di utara Semenanjung Malaysia iaitu Penang khususnya.  Aku tak pasti adakah terma scene sesuai untuk aku gunakan sebab cerita berkenaan SkinHead dalam novel ini hanya diwakili 2 watak utama iaitu Malik dan Asrul manakala watak sampingan budak skinhead pula kalau tak silap aku hanya ada 2 orang sahaja. Jadi untuk menggunakan terma scene agak tidak relevan kerana terma ini lebih sesuai untuk merujuk bilangan kuantiti yang ramai.

Sub-culture Skinhead yang dipaparkan menerusi novel ini adalah daripada garis ideologi yang berteras Nazi.  Bukan seperti pegangan fahaman skinhead yang dipegang oleh kebanyakan pengikut fahaman ini yang berada di lembah klang dan selatan semenanjung yang mana lebih berideologikan anti-nazi.

Dari dulu lagi iaitu masa zaman aku aktif dengan scene sub-culture dulu (2000-2005), aku rasa pelik kenapa lah ada manusia bahlol terutamanya di wilayah utara Semenanjung yang tegar memegang dan memperjuangkan slogan dan konsep yang berbaur fasis dan rasis.  Dulu, kalau tak silap aku, kolektif ini dikenali sebagai "northern riot squad".  Antara band yang berideologi nazi yang tergolong dalam kelompok ini salah satunya adalah seperti Acid Rain yang dahulunya popular dengan lagu "Boria Punk Rock Pulau Pinang".  Tapi setelah aku datang dan melanguk kat Penang ini hampir 8 tahun, baru aku faham kenapa ada scene rasis dan fasis macam ini kat Penang.  Walaupun aku faham kenapa ada scene macam ini kat Penang, tapi aku tetap tak setuju dan sokong ideologi yang berteraskan rasis dan fasis macam ini.

Aku rasa sebab adanya scene macam ini kat Penang barangkali sebab Melayu kat Pulau Pinang dah dilihat sebagai golongan kelas kedua.  Ekonomi mereka tak mampu kuasai.  Cina dah kuasai. Ditambah pula dengan kedatangan banyak pekerja asing dari pelbagai negara; Indonesia, Mnyanmar, Nepal, Bangladesh, Vietnam dll.  Mujur di Penang ini ada Mamak yang sanggup mengaku jadi Melayu meskipun kalau diteliti dengan lebih mendalam golongan ini sebenarnya tak jauh beza pun dengan Cina, India.  Cumanya Mamak ini beragama Islam.  Sedangkan Mamak ini berhubung rapat dengan negara India, berwarna kulit hitam yang sama dengan warna kulit Orang India bahkan pertuturan juga menggunakan bahasa Tamil/Telegu.  Jadi persoalannya adakah wajar dan relevan seorang India yang menganut Islam diklafikasikan sebagai Melayu?..Kenapa seorang Cina yang menganut Islam tidak diklafikasikan Melayu.  Kenapa Cina-Muslim ini tidak mendapat hak-hak istimewa Melayu seperti mana Mamak yang pada asalnya merupakan seorang India yang kemuudiannya hanya menganut Islam tetapi berpeluang merasai hak-hak istimewa Orang Melayu?.  Nampak tak permainan Mamak ini. Mereka ini bagi sesetengah orang Melayu asli lama dilabel sebagai ular ada juga yang melabel golongan mamak ini sebagai sesumpah.


Berdasarkan senario-senario inilah barangkali yang menyebabkan keberadaan scene sub culture seperti Nazi SkinHead di Penang yang memperjuangkan Malay Power sepertimana geng Nazi di Eropah yang memperjuangkan White Power.  Tapi pada aku, ianya tetap tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan cara dengan mendukung fahaman bahlol seumpama ini.


Kendatipun begitu, novel ini tidaklah terlalu fokus dan terperinci menceritakan tentang falsafah ideologi yang didukung oleh Malik dan Asrul.  Penceritaan tentang falsafah ideologi ini boleh dikatakan hanya diceritakan pada permulaan novel sahaja dan kemudiannya diselitkan dalam beberapa dialog dan babak secara sampingan.

Apa yang lebih dipaparkan adalah berkenaan penglibatan 2 anak muda ini dalam sindiket penjualan dadah.  Penglibatan mereka pada awalnya adalah dalam bentuk skala kecil namun kemudiannya akhirnya terjebak ke dalam rangkaian pengedaran dadah antarabangsa atas sebab yang tak diduga dan diminta.

Penglibatan mereka dalam sindiket dadah bermula dengan ahli sindiket pengedaran dadah dari Iran, kemudian terjebak dalam persaingan pengedaran dadah dengan warga Afrika sehingga meleret kepada pengedaran dadah antarabangsa.


Klimaks novel ini dapat dikesan menerusi pertalian antara watak-watak yang terdapat dalam novel ini yang mana pertalian dan perkaitannya adalah tidak disangka-sangka.  Misalnya bagaimana Asrul kemudiannya dikhianati oleh teman wanitanya iaitu Siti Ara Manustia yang mana perkenalan awal antara Siti Ara dengan Asrul sebenarnya telah dirancang lebih awal oleh teman lelaki sebenar Siti Ara iaitu Tan Moe.  Perancangan perkenalan ini adalah bertujuan untuk menjadikan Asrul dan Malik sebagai kambing hitam dalam isu perbalahan sindiket dadah antara sindiket Iran dengan Afrika.

Di hujungnya, Siti Ara, Tan Moe dan Asrul mati. Malik ditangkap polis. Hanya Mei Fing yakni yang merupakan antara dalang yang memerangkap Asrul dan Malik yang dipenghujung ceritanya bernasib agak baik.  Dalang sebenar dalam memerangkap Asrul dan Malik dengan niat mahu menyonglap duit jualan dadah adalah Mei Fing dan Tan Moe.  Mei Fing dan Tan Moe sebenarnya adalah pasangan kekasih yang telah merancang segala-galanya dari awal.  Namun Tan Moe akhirnya mati.  Manakala Mei Fing berjaya melarikan diri ke Australia.

Apapun novel ini bolehlah dianggap sebagai bahan bacaan yang santai. Isu yang diketengahkan tidaklah terlalu berat. Meskipun ianya novel inggeris, namun penceritaannya disampaikan dalam gaya bahasa yang mudah difahami.







Rabu, 18 Jun 2014

JAWAPAN





JAWAPAN

Sukarkah untuk jujur?
Sukarkah untuk benar?
Sukarkah untuk terus terang?

Berapa lama mahu lari?
Sampai bila mahu bersembunyi?

Jawapan?
Seperti tunggul menantinya.

Jujurlah,
Bicara lah yang benar.

Tak usahlah berdalih lagi,
Cukuplah senyum dan tawa kepuraan-puraan itu.
Palsu.

Jelik.
Menjengkilkan.

Dan...
Kebodohan itu tetap memenangkan
Sebuah kata sabar,
Bagi sebuah jawapan yang sia-sia

(18 Jun 2014)
11.11 am
Pulau Pinang





Isnin, 16 Jun 2014

Filem Pendek : I LOVE YOU GRANDPA









Ini adalah filem pendek Mongolia yang berjudul "I LOVE YOU GRANDPA". Filem pendek ini langsung terus mengingatkan aku kepada Al-Marhum nyaye (atuk) aku.  Redup mata, kedut wajah, riak tabah dan senyuman tenang menahan sakit pelakon yang memegang peran grandpa itu hampir sama dengan keadaan dan perilaku arwah nyaye aku. Sejujurnya, aku lebih melihat arwah nyaye aku sebagai bapak aku daripada sebagai datuk aku. Aku lebih banyak membesar dengan arwah nyaye aku daripada ibu bapa aku.  Aku lebih banyak belajar mengenal dunia daripada arwah nyaye aku berbanding ibu bapa aku. Sesungguhnya ketika itu adalah suatu kebanggaan jika aku dilihat dan ditanggap sebagai anak kepada arwah nyaye aku. Apapun ianya kini tinggal kenangan dan tetap kekal menjadi suatu nostalgia yang takkan aku lupakan smapai bila-bila meskipun roh aku bercerai dari jasad.  AL-FATIHAH BUAT AL-MARHUM HAJI HUSSAIN B. HAJI YUSSOF. Semoga aku dapat menemuimu di kehidupan sana kelak.






Selamat Hari Bapak



Kedatipun hubungan aku dengan bapak aku tidak berapa harmoni sejak dahulu lagi lantaran keegoan bapak aku yang agak sukar dibendung, juga disebabkan perbezaan prinsip dan pandangan hidup antara aku dan dia tapi sempena Hari Bapa ini aku dedikasikan lagu Fyn Jamal ini untuk bapak aku.




BIAR - FYN JAMAL


Mata tua yang memandang aku itu
Bundar. Pudar.

Dia tak mau bilang apa yang
Mencengkam jiwa usangnya
“Biar”. Katanya “biar”

Wahai ayahanda berhentilah walau sebentar
Dan renungkan mataku yang melaut
Khabarkan yang jujur dan ujar apa menyerabut

Wahai ayahanda bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
Akukan lemahmu
Perikan penatmu
Kisahkan jerihmu
Aku mau tau


Mata tua yang bagai ada sakti dewa-dewi itu
Harum. Senyum.

Dipukaukan aku nan terus terpana dan terdiamkan
“Biar”. Katanya “biar”


Wahai ayahanda bisikkanlah walau sekali;
Izinkan aku menumpangkan bahu
Berikan aku seperca dari beban kamu

Wahai ayahanda lihatkanlah aku berlari kini
Melompat tinggi
Setiapnya kerna kau tak pernah pergi


Apa masih ingat lagi aku suka lari-lari?
Kau bagaikan tak peduli ku biar kau patah hati

Apa masih tidak lupa tengking jerit sama-sama?
Makan tak mahu semeja, sahabat lebih berharga

Apa mampu kau sudikan ampun maafku sujudkan?
Bisa tidak kau teruskan ku sesat kau tunjuk jalan?


Apa layak aku bagi?
Tak terbalas sampai mati
Kau sungguh yang paling tinggi
Istanamu syurga nanti


Ayahanda beta
Kekasih beta





Hati Lelaki





"Hati lelakilah yang kerap remuk lama, 
perempuan dapat segera melupakan hidupnya pada zaman muda"
 (HAMKA- Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck)




TEROESIR (OST FILEM TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK) - NIDJI -


Ini pula OST untuk filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.  Didendangkan oleh kumpulan Nidji dengan judul Teroesir.




TEROESIR - NIDJI -

Aku yang terusir
Jauh dari kamu, jauh dari kamu
Cinta dan harapan dibunuh dan mati
Bangkit dan terbunuh lagi (semua karena dirimu)

Aku yang mengemis
Mengais cintamu, seperti pengemis
Aku yang dibuang
Dari relung tangan orang yang ku cinta

Oh Tuhan ampunilah dosa
Dendam aku padanya

Menunggu karma, aku menunggu karma
Menunggu karma, aku menunggu karma

Dengar dan ingatlah
Saat aku bangkit dari kesedihan
Engkau kan berlutut memohon diriku
Memohon ampunan dari diriku

Oh Tuhan ampunilah aku, niat buruk di doa
Aku hanya inginkan dia merasakan getir cintaku

Menunggu karma (membalasmu)
Aku menunggu karma (membalasmu)
Menunggu karma (membalasmu)
Aku menunggu karma (membalasmu)






TRAILER FILEM TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK




Karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, telah pun diterjemahkan dalam bentuk audio-visual iaitu menerusi medium filem.  Dibawah ini merupakan trailer daripada filem tersebut.









TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK - HAMKA-





JUDUL: TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
PENULIS: HAMKA
PENERBIT: PSN PUBLICATION
HARGA: RM 16



"Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick" merupakan karya HAMKA yang kedua aku baca.  Karya ini aku baca usai aku membaca karya HAMKA yang berjudul "Merantau Ke Deli".  Bagi yang serius dalam bidang sastera penulisan, sepastinyalah telah lama membacanya. Tidak seperti aku yang pada usia setua begini baru sahaja membacanya.

Novel ini merupakan antara karya HAMKA yang popular.  Sepertimana Merantau Ke Deli, novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick ini juga turut mengambil latar budaya Minangkabau sebagai latar sisi belakang penceritaannya yang melibatkan pelaku watak dan tempat. 

Dalam kedua-dua karya HAMKA yang aku baca ini, seolah-olahnya penulis mahu menceritakan dan mempersoalkan permasalahan adat Minangkabau dalam realiti kehidupan manusia terutamanya pertembungan kepentingan adat dengan keterbukaan perubahan dan peredaran zaman.


Watak utama dalam novel ini adalah Zainuddin dan Hayati. Kisah cinta 2 anak muda. Kisah cinta uda dan dara. Kisah cinta terhalang.  Kisah cinta terlarang.  Terhalang dan terlarang bukan disebabkan melanggar batas syariat agama.  Tetapi norma adat yang telah dipegang sekian lamanya Orang Minang.

Larangan dan halangan ini disebabkan dalam budaya Orang Minang, mereka hanya menerima menantu yang mana ibu bapanya terdiri daripada Orang Minang.  Sekiranya salah satunya bukan dari Orang Minang, maka ia sesuatu yang agak sukar diterima.

Hal inilah yang menimpa ke atas Zaiuddin.  Ayahnya memang merupakan Orang Minang tetapi ibunya adalah Orang Mengkasar.  Maka atas sebab itulah, hubungan cinta antara Zainuddin dan Hayati tidak membawa ke jinjang pelamin.


Penceritaan dalam novel ini dipaparkan secara berkronologi dan dengan cara itu ia memudahkan pemahaman pembaca.Ianya dimulai dengan memperkenalkan tentang siapakah Zainuddin.  Penceritaannya dilakukan dengan menyatakan tentang siapakah bapa Zainuddin iaitu Pandekar Sutan sebelum dia berkelana ke bumi Mengkasar sehingga berkahwin dengan gadis di sana.Lantaran disebabkan ibunya yang bukan berdarah Minang inilah kemudiannya menyebabkan hubungan cinta Zainuddin-Hayati tidak kesampaian.

Setelah bapanya meninggal dunia, Zainuddin membuat keputusan untuk pergi ke tanah asal ayahnya iaitu di bumi Minang yang bertempat di negeri Batipuh.Kedatangan Zainuddin ke Batipuh, bukanlah suatu yang mendatangkan tuah kepada dirinya. Dia dianggap sebagai "orang asing" atau "orang luar" lantaran darah ibu Mengkasar yang diwarisinya.

Di bumi Batipuh, beliau berkenal dengan seorang gadis Minang bernama Hayati.  Hubungan yang pada awalnya dimulai dengan pandang pertama berlanjutan ke fasa lanjut iaitu berutus surat.Dari surat membawa kepada pertemuaan.

Perbuatan utus-mengutus surat dan seringkali bertemu untuk kemudiannya tidak disenangi oleh orang kampung.  Akhirnya, Zainuddin diminta keluar dari kampung manakala Hayati pula diberhentikan dari bersekolah.

Zainuddin membawa dirinya.  Seolah-olah di dunia ini tiada ruang dan tempat untuknya.  Jika di Mengkasar, beliau dianggap "orang luar" lantaran darah ayahnya yang berdarah Minang manakala di bumi Minang pula dianggap juga "orang luar" disebabkan darah Mengkasar ibunya.

Beliau kemudiannya ke Padang Panjang.  Di situ, Zainuddin menuntut pelajaran dari pelajaran agama, bahasa Inggeris, Bahasa Belanda selain dalam pada masa yang sama turut belajar muzik kerana menurutnya muzik itu menghaluskan perasaan.

Meskipun berada di Padang Panjang, hubungan antara dua kekasih itu tetap terus berjalan menerusi surat.

Suatu hari, ada upacara di Padang Panjang iaitu upacara pacu kuda dan pasar malam.  Hayati diberi keizinan untuk ke sana dengan menumpang rumah sahabatnya yang bernama Khadijah.

Di upacara tersebut, kedua-duanya bertemu tetapi dalam tempoh yang singkat tanpa wujud bibit-bibit melepaskan rindu.  Zainuddin tidak dapat menerima perubahan Hayati dari sudut pakaian terutamanya perbuatan Hayati yang menanggalkan tudungnya.  Asalnya itu bukan kehendak Hayati tetapi desakan kawannya, Khadijah yang berpandangan bahawa wanita sepatutnya berkembang dan berubah mengikut perubahan zaman.


Semenjak dari upacara pacu kuda dan pasar malam di Padang Panjang itu berlakulah perubahan dalam perhubungan Zainuddin-Hayati.  Bukan disebabkan teguran dan ketidaksukaan Zainuddin terhadap perubahan dari segi pakaian Hayati.Khadijah, kawan Hayati cuba menjodohkan Hayati dengan abangnya yang bernama Aziz. Akhirnya usaha itu berjaya meskipun Zainuddin sudah berusaha sehabis mungkin untuk memiliki Hayati.  Zainuddin jatuh sakit. Kemudian bangkit menghadapi realiti.


Ditemani saudara angkatnya bernama Muluk, Zainuddin ke Tanah Jawa.  Memulakan hidup baru.Bermula dengan mengarang hikayat yang dihantar ke surat khabar sehingga Zainuddin akhirnya berjaya membuka penerbitan sendiri. Dengan menggunakan nama pena "Z"  akhirnya karya tulisan Zainuddin digemari ramai.

Berkenaan Hayati pula, perkahwinanya dengan Aziz tidak sebahagia seperti awal-awal perkahiwnan lebih-lebih lagi semenjak keduanya berpindah ke Surabaya.  Aziz kembali ke perangai lama.  Suka berfoya-foya. 


Suatu hari Zainuddin-Hayati bertemu.  Bertemu di pertunjukkan sandiwara Zainuddin yang menghimpunkan anak-anak Sumatera di Surabaya.  Pertemuaan itu berjalan dengan aman tanpa sebarang dendam bahkan berikutnya wujud hubungan baik antara Zainuddin dengan Hayati-Aziz.

Sikap Aziz yang gemar berfoya-foya akhirnya mendatangkan celaka kepada dirinya. Dia dibuang kerja dan akhirnya terpaksa menumpang di rumah Zainuddin.  Berikutnya Aziz mahu merantau mencari kerja dan meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin.  Tidak lama selepas pemergian, datang surat daripada Aziz kepada Zianuddin dan Hayati.  Aziz melepaskan Hayati bagi diperisterikan kepada Zainuddin. Semasa surat itu sampai ditangan Zianuddin, surat khabar melaporkan bahawa Aziz mati membunuh diri.

Meski rasa cinta terhadap Hayati masih menebal namun Zainuddin tidak dapat menerimanya. Padanya kata "maaf" sungguh tidak cukup adil untuk melupakan segala kesengsaraan dan keperitan cinta yang dihadapinya selama ini.Zainuddin memutuskan agar Hayati pulang sahaja ke pangkuan keluarganya.  Hayati pulang dengan menaiki kapal Van Der Wjick.  

Sepertimana tajuknya, akhirnya kapal itu tenggelam. Hayati dimasukkan hospital dan kemudian meninggalnya disisi Zainuddin.Sebelum Hayati menaiki kapal Van Der WEjick, suatu surat telah ditinggalkan kepada Zainuddin.  Membaca isi surat itu, hati Zainuddin berubah, namun penyesalannya itu sudah terlambat dan Hayati telah meninggalkannya selama-lamanya.

Tidak lama setelah kematian Hayati, berita tentang Zainuddin si pengarang hebat itu kurang diketahui orang.  Tiba-tiba muncul berita di khabar bahawa Zainuddin meninggal dunia.  Jenazahnya dimakam kan disebelah pusara Hayati.  Beliau mati sewaktu sedang menulis. Ayat terakhir yang sempat ditulisnya adalah

 "... dan akan tercapai juga kemuliaan bangsaku, persatuan tanah airku.  Hilang perasaan perbezaan dan kebenciaan dan tercapai keadilan dan bangsa".


Begitulah cerita tentang pencintaan uda dan dara yang tidak kesampaian sehingga akhirnya.
















Khamis, 12 Jun 2014

LAGENDA - SHIELA MAJID









Sejuta bintang di angkasa
Sinarnya mempesona

Sebutir bintang di taman seni
Cahayanya berseri
Biar bertahun masa beredar
Satu wajah satu nama takkan pudar

Tetap jelas di ruang mata
Setiap gerak gaya
Bergetaran merdu sinar
Di persada budaya
Hingga kini menjadi sebutan
Tetap terpahat namamu di ingatan

Kaulah satu satunya
Diantara berjuta
Insan teristimewa

Patah tak tumbuh lagi
Hilang belum berganti
Kerana kau tersendiri

Kaulah satu-satunya
Diantara berjuta
Insan teristimewa

Kau kebanggaan kita
Kau budayawan bangsa
Engkau.... lagenda




SITORA HARIMAU JADIAN - P.RAMLEE




-"Ironiknya, apabila kebanyakan peminat P.Ramlee di Malaysia bernostalgia mengenai filem-filemnya, mereka sebenarnya bernostalgia mengenai Singapura, tempat di mana 16 filem arahannya yang pertama - dari Penarik Becca (1955) ke Tiga Abdul (1964) dibuat. Sebagai perbandingan, kebanyakan daripada 18 filem yang diarahnya di Malaysia tidak begitu popular"- ( Pengenalan Buku Fixi).



29 Mei 1973, Malaysia kehilangan seorang seniman yang terulung iaitu Al-Marhum Teuku Zakaria B. Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali sebagai P.Ramlee. Sehingga ke hari ini, boleh dikatakan bahawa tiada lagi individu yang dapat menggantikan tempat dan peranan yang ditinggalkan oleh P.Ramlee.  Hal ini kerana, P.Ramlee merupakan suatu sosok yang mempunyai pelbagai bakat.  Bakat beliau meliputi pelbagai bidang iaitu menyanyi, berlakon, mengarah, menulis lagu dan juga mengubah lagu.  

Usai aku mengkhatamkan pembacaan aku terhadap novel Merantau Ke Deli, aku membaca pula novel yang berjudul Sitora Harimau Jadian. Sitora adalah diadaptasikan dari pada istilah Jepun iaitu Tora yang bermaksud Harimau. P.Ramlee pernah bersekolah di sekolah Jepun sewaktu era perang.  Sitora Harimau Jadian merupakan filem arahan yang turut juga dilakonkan oleh P.Ramlee.  Filem ini merupakan filem arahan pertama P.Ramlee setelah beliau berhijrah dari Shaw Brothers di Singapura ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur.  Filem ini telah ditayangkan di pawagam pada tahun 1964 dan juga di RTM sekurang-kurangnya sekali sekitar tahun 1970-an.  Namun sayangnya, filem ini kemudiannya hilang.


Novel Sitora Harimau Jadian terbitan Buku Fixi.


Namun, dengan adanya Sitora Harimau Jadian dalam versi novel, sekurang-kurangnya ia dapat mengubat sedikit duka terutamanya kepada generasi muda yang tidak berkesempatan menonton karya ini dalam bentuk audio-visual.

Karya novel ini pada awalnya telah diterbitkan oleh Penerbitan Angkatan Baru pada tahun 1965.  Naskhah yang aku baca ini pula adalah diterbitkan kembali oleh penerbit Buku Fixi versi cetakan kedua Mei 2012.

Novel ini tidaklah boleh diangkat terlalu tinggi sehingga sama tarafnya dengan novel-novel besar lain seperti Salina atau Ranjau Sepanjang Jalan misalnya.  Namun keberadaannya dari satu segi memainkan peranan yang tersendiri lantaran kehilangan naskhah tersebut dalam bentuk filem.

Walaubagaimanapun, karya ini tetap mempunyai nilainya yang tersendiri.Karya ini pada aku salah satu moralnya adalah untuk menampilkan konsep kesederhanaan atau wasatiyah dalam corak gaya berfikir manusia.

Meskipun sesetengah golongan manusia (terutamanya golongan yang mendapat pendidikan tinggi) melihat sesuatu perkara hanya layak dipercayai jika ianya selari dengan logika akal atau juga dapat dibuktikan menerusi pembuktian emprikal, namun karya ini cuba menampilkan sesuatu yang bertentangan dengan konsep pegangan atau prinsip yang sedemikian rupa.

Barangkali penulisnya atau penciptanya (P.Ramlee) mahu menyatakan bahawa tidak seluruhnya sesuatu perkara itu dapat dibuktikan secara emprikal. Kadang-kadang terdapat juga perkara yang harus dipercayai kewudujudannya meski tidak dapat dibuktikan secara saintifik atau tak masuk logik dek akal.

Isu ini dapat difahami menerusi kejadian yang menimpa Dr. Effendi lakonan P.Ramlee sendiri kalau dilihat menerusi versi filem.  Dr. Effendi merupakan doktor yang dihantar ke Kampung Kiambang atas permintaan OCPD Mutalib.  Selain bertujuan untuk merawat, kedatangan Dr. Effendi juga adalah bertujuan untuk membantu dalam memberi penerangan dan pendedahan kepada penduduk kampung agar tidak mempercayai perkara-perkara yang bersifat tahyul.  Ianya berikutan ketakutan penduduk kampung kepada kewujudan makhluk ghaib yang dikenali sebagai Sitora iaitu sejenis makhluk yang berwajahkan harimau tetapi bertubuh badankan manusia. 

Kekecohan mula meletus apabila Naemah iaitu anaknya kepada Pendekar Amin telah diganggu oleh Sitora.  Mujurnya ada anak murid Pendekar Amin yang datang menyelamatkan keadaan. Sungguhpun begitu, Naemah jatuh sakit. Keadaan Naemah ini kemudiannya dirujuk kepada Tok Dukun. Menurut Tok Dukun, punca Naemah diganggu adalah disebabkan oleh keengganan Pendekar Amin untuk membayar wang perlindungan kepada Sitora. Bagi Pendekar Amin yang mempunyai ilmu kepahlawanan, tiada sebab mengapa perlu keluarganya membayar wang perlindungan kepada Sitora.  Kejadian yang menimpa Naemah ini seterusnya mengundang dendam yang membara pada Pendekar Amin ke atas Sitora.

Suasana berubah dengan kedatangan Dr. Effendi.  Dr. Effendi berjaya merawat Naemah.  Perubahan yang pada awalnya membawa petadan positif tidak bertahan lama. Bahkan ia menjadi semakin teruk. Sitora menganggu lagi. Kali ini, Dr. Effendi mempercayai kewujudan Sitora setelah melihat makhluk tersebut dengan mata kepalanya sendiri.

Seterusnya suatu perancangan disusun untuk menangkap Sitora. Perancangan ini digerakkan oleh Pendekar Amin, Dr. Effendi, Tok Penghulu bersama 4 orang yang lainnya.  Setelah mendapatkan petua dan maklumat daripada Tok Dukun, maka kumpulan ini pun bersiap untuk menangkap Sitora.  Menurut, Tok Dukun, Sitora hanya dapat ditangkap menggunakan jala.

Kumpulan ini sampai ke tempat dimana Sitora tinggal.  Perancangan disusun untuk memerangkap Sitora.  Setelah berjaya diperangkap Sitora dengan menggunakan jala, tanpa disangka Pendekar Amin telah menghunus parangnya pada Sitora lantaran dendamnya yang membara ke atas makhluk tersebut.

Hal ini berikutnya mahu disampaikan kepada OCPD Mutalib bagi mengetahui hukuman apakah yang bakal diterima Pendekar Amin disebabkan perbuatannya membunuh Sitora.  Sementara Pendekar Amin, Tok Penghulu dan Dr. Efendi ke rumah OCPD Mutalib, 4 yang lainnya pula diamanahkan untuk menjaga mayat Sitora.

OCPD Mutalib acuh tak acuh sahaja untuk mempercayai kejadian Sitora ditangkap meskipun telah diberitahu oleh Dr. Effendi. Mereka setrusnya ke tempat kejadian.  Namun alangkah terkejutnya kerana didapati Sitora telah hilang. Hal ini menguatkan lagi ketidakpercayaan OCPD Mutalib kepada kewujudan makhluk yang bernama Sitora itu.


Tidak lama lepas itu, Sitora kembali mengganas lagi.  Kali ini dengan misi membalas dendam disebabkan percubaan orang kampung yang ingin menangkapnya sebelum ini.  Pendekar Amin bersama isterinya, pembuat jala, 3 orang sahabat Tok Penghulu, dan akhirnya Tok Penghulu sendiri mati angkara dibunuh Sitora.  Dr. Efendi pula berikutnya turut diganggu Sitora tetapi dengan cara yang lain.  Sitora telah mengalirkan darahnya kedalam tubuh Dr. Effendi sehingga akhirnya Dr. Effendi turut menjadi seperti Sitora iaitu harimau jadian.

Perubahan sikap pada diri Dr. Effendi telah merungsingkan tunangnya iaitu Naemah dan OCPD Mutalib.  OCPD Mutalib telah meminta rakannya iaitu Dr. Abu Bakar untuk datang ke Kampung Kiambang bagi menyelesaikan masalah Dr. Efendi.

Kedatangan Dr. Abu Bakar ternyata dapat merungkai misteri yang membelenggu. Akhirnya Dr. Abu Bakar dapat memulihkan semula keadaan Dr. Effendi. Selain itu beliau juga dapat membunuh Sitora dan merungkai siapakah sebenarnya Sitora itu.  Rupa-rupanya Sitora tersebut adalah merupakan Tok Dukun.  Dr. Abu Bakar berjaya menyelesaikan misteri dan masalah tersebut hanya menggunakan kayu tas yang sering digunakan oleh beliau sebagai tongkat.  Kayu tas tersebut diperoleh beliau hasil pemberian ketua masyarakat Iban kepadanya suatu ketika dahulu. Dengan kematian Sitora, maka kembali amanlah semula kehidupan penduduk Kampung Kiambang.



p/s: Pada 30 Mei yang lalu iaitu pada hari Jumaat, aku menonton satu dokumentari yang berkisarkan kisah hidup P.Ramlee di TV2. Aku tak dapat menontotnya dari peringkat awal. Aku hanya dapat mengikuti rancangan dokumentari tersebut dari babak pertengahan sehingga akhir iaitu bermula sewaktu penceritaanya yang sudah pun berkisarkan tentang suasana kehidupan P.Ramlee sewaktu berpindah ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur sehinggalah pada saat-saat akhir hayat beliau.  Banyak maklumat yang aku perolehi daripada dokumentari. Antara info yang menyentuh hati aku adalah berkenaan saat-saat akhir hayat P.Ramlee.  Ianya sangat menyedihkan hati.  Betapa seorang seniman agung disaat-saat akhir hayatnya menempuh kehidupan yang melarat. Tiada kawan, tiada pendapatan bahkan juga seolah-olah hilang daripada perhatian masyarakat.  Namun itu lah nasib.  Nasib seorang lagenda yang bernama P.Ramlee.  


Tak lama lepas itu pula, aku berdiskusi dalam gaya spontan dengan Nik tentang dokumentari P.Ramlee tersebut.  Nik juga turut menonton dokumentari tersebut tapi hanyat sekerat jalan sahaja iaitu dari babak permulaan hingga ke pertengahan manakala aku pula dari babak pertengahan hingga ke babak akhir.  Jadi kelompongan info  yang dialami antara aku dan Nik diisi antara satu sama lain dengan cara menceritakan kembali apa yang kami tonton menerusi dokumentari tersebut.  Maksudnya Nik menceritakan babak awal hingga pertengahan yang ditontonnya manakala aku pula menceritakan babak pertengahan hingga akhir yang aku tonton.



-AL FATIHAH BUAT ALMARHUM P.RAMLEE -