Memaparkan catatan dengan label Ilmiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ilmiah. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Januari 2020

Coretan oleh Ust Ibnu Rijal berjudul "Padan muka kau Maszlee!"






"Di akhir zaman, kebenaran dan kejujuran tidak disukai oleh majoriti".


Coretan oleh Ust Ibnu Rijal berjudul "Padan muka kau Maszlee!".

Padan muka kau maszlee! - ust Ibnu rijal
Itulah dah cakap, jawatan menteri untuk orang bodoh. Kau ada phd, kau nk masuk jugak. Skrg apa cer? Padan muka kau!
Dulu masalah budak kecil dan miskin nk jaga kasut mereka. Mana dengan basuhnya mana dengan kapurnya. Mana dengan nak dijaganya. Asrama pula mengada nakkan kasut itam. Nak main futsal masa waktu pj, nak kena kasut sukan lagi. Takkan lah nk usung kasut putih tu kemana2. Pening famly miskin ni fikir. Menteri bertukar2 tak penah peduli pun hal ni. Yelah, menteri kot.. takkan nak pandang kaki budak miskin kan? So lantaklah mak pak dia nk berhutang pun. Kasut je pun. Tiba2 kau datang maszlee, by one simple arahan, tukar kasut hitam. Simple. So bdk miskin tadi ni tak pening dah, all-in.. tahan lasak. Apa kau dpt maszlee? From that day, orang gelar kau menteri kasut hitam! Yelah, tu tanda visi kau membumi, sbb tu kau nampak kasut. Cuba lah kau belajar dari menteri sorang lagi, visi dia melangit, sebab tu dia nampak kereta terbang! See, dia tak kena tekan pun ngan gergasi politik. Padan muka kau!
Kan orang dah ckp, kpm ni lubuk duit. Kau ingat sapa nak peduli sekolah di ulu sabah sarawak dan hutan hutan? Kalau buat sekolah cantik cantik pun, diorang bukan datang pun. Diorang sibuk kutip petai dihutan. Buat ala kadar sudahlah, lebihan duit tu boleh jugak tampung melancong, kereta baru, anak bini, ketua2 cawangan semuanya nak kena suapkan makan. Tetiba kau datang, kau beriya iya nak pertahankan sekolah2 hulu tu.. siap usung gambar sekolah tu ke parlimen. Beriya betul. Kau ingat orang hairan? Orang x pandang la sekolah busuk hulu kampung tu. Menteri nak turun sekolah pandai, sekolah elit, ada jamuan besar besar, seluar pun tak kotor, ada alumni korporat jutawan, alih alih kau jadi menteri, kau pergi turun sekolah usang. Low class! kan dah mendapat. Padan muka kau!
Orang dah pesan, jadi menteri ni, jangan cuba memahami. Tapi cuba difahami. Semua menteri buat mcmtu. Alih alih kau beriya iya nak memahami bebanan tugas guru bagai. Segala fail2 report yang merepek meraban tu semua tak perlu buat dah. Eh kau sapa? Kau tau tak ppd jpn dan nazir tak respect pun arahan kau. Diorang still tekankan fail berbanding murid. Murid bodoh piang takpe, asalkan fail lengkap. nazir dan menteri dulu turun tengok fail, tapi kau turun tengok murid. Kau dah kenapa? Murid tak pentinglah lee! Yang penting fail tu, menipu pun takpe, janji fail report tu lengkap. Ini amalan biasa penjawat awam. Kau nak lawan arus? Kau tahukan selama ni bila jpn kpm turun sekolah, cikgu sibuk mempersiapkan fail. Bukan mempersiapkan budak. Sbb diorang tak heran pun kat budak, yang penting fail semua tu. Kau datang nk buang semua ni.. marahlah diorang, ini kerajaan fail, laporan, meeting, jamuan, rombongan dan bungkus lauk lepas meeting. Tetiba kau nak tukarkan jadi kementerian "kemanusiaan". Skrg terimalah, fail kau tak cantik, letaklah jawatan! Padan muka kau.
Ni nak cakap.. cikgu duka lara, kenapa kau kisah sangat? Lantaklah dia tak jumpa suami dia ke isteri dia ke. Peduli apa. Kau menteri, fikir isteri kau sudahlah. Nak pakai beg apa kasut apa. Ini tidak, kau nak sangat tolong diorang. Dulu isu guru duka lara ni dah macam tanda2 kiamat. Punya susah nak settle. Alih alih kau datang, senang je kau settle. Banyak keluarga dah kembali tertaut. Kau melampau la maszlee, kau tak tahu ke dulu ni nak bertukar semua tu selain doa, cable kau kena kuat? Kau datang je semua cable tak function. Semua dilayan sama rata. Mana boleh macam tu! Dulu, guru nk angkat kepala dekat ketua pemuda kawasan pun takut. Sebab cable ni la. Tapi masuk je era kau, guru sendiri yang hina dan troll kau di facebook. Kau tak tukar pun mereka. Nak jadi baik konon, nah sekarang sebab kebaikan itulah kau 'ditukar'.
Orang dah cakap, bila ada jawatan kena berlagak sikit. Kau tak tahu ke cikgu yang baru naik gred 44 pun lain macam dia punya ketuk meja meeting? Cikgu yang bini datuk pun kena dihormati oleh pgetua walaupun dia mai kelas cuma melawa. Ini budaya dah lama. Alih alih kau datang nak jadi "pakcik". Apa kelas kau lee? Kan dah kena berhenti. Padan muka kau.
Nih satu lagi, orang dah cakap jangan kacau tokey besar. Elok2 je internet slow kat sekolah. Rileks je kitorang isi report budak berejam jam, pastu system down. Isi balik. Pastu internet putus, ilang semua data. Kitorang ok je guna data sendiri, asalkan jangan kacau "kawan2" menteri. Alih alih kau datang, kau hapuskan monopoli. Sapa nk tender kena peform. maxis digi celcom semua dapat, fight servis sapa terbaik. Abis internet jadi laju. Nk google apa pun senang. Google classroom frog semua tu dh boleh senang access. Susahlah cmni, internet ni kan senjata yahudi. Hmm.. kau degil. Tengok kan dah kena nasihat berhenti. Padan muka kau maszlee.
Orang dah cakap, persetankanlah jawi tu. Bukan penting pun. Budak x reti baca jawi, apa kesannya? Alah sekadar x boleh baca quran. X penting pun. Yang penting budak boleh jadi saintis, engineer doktor. Quran tu hal peribadi la. Umno parti keramat melayu pun bunuh jawi dulu, alih alih kau barua DAP nak angkat jawi. Kau siapa lee?
Satu lagi uec, kau tak iktiraf kenapa?Dong zong dah marah kau. Kau ingat diorang sapa? Diorang kan bumiputera asli. Kau tak tahu ke uec ada dalam manifesto ph dan bn? Kau tak paham lagi? Follow je. Gergasi politik ni dua2 side sama ja.. tapi kau degil, nak jadi hero bangsa jugak. Last tengok, bangsa ni jugak yang hari hari ketawakan kau troll kau pasal kasut hitam pasal tol simpang renggam.
Padan muka kau!
Takpelah.. kau ada phd, nama kau besar dalam akademik. Berebut universiti nak kan kau. Tak cukup dalam, luar negara pun nak. English fluent, arab fluent..agama pandai, akademik pandai.. nak apa lagi kan?

Kami ok. Cuma pasni, pakcik mana lah yang nak peduli kasut anak anak kami. Pakcik mana lah yang nak kisah sarapan pagi anak anak kami kan..
Padan muka kau maszlee.. kau boleh berehat, keluar dari kereta yang kau pandu kami ke depan. Sedang kami didalam, diam menanti, siapa yang akan pandu kami ke belakang kembali. 

Kredit kepada -Ust Ibnu rijal-



Sokong Dr Maszlee Malik #SupportMaszlee









1.Dr Maszlee wajar dikekalkan.

2.Petisyen ini perlu bagi masa depan anak bangsa Malaysia.

3.Penilaian ke atas diri beliau perlu berdasarkan kepada kapasiti beliau sebagai Menteri Pendidikan yang merupakan individu nombor satu dalam memandu arah tuju pendidikan negara ini.

4.Sepanjang 20 bulan memegang amanah, beliau dilihat telah membawa perubahan dan perkembangan dalam senario dan sistem pendidikan negara. Tidak hanya sekadar idea tetapi bergerak sama dengan tindakan.

5.Dalam hanya tempoh 20 bulan yang masih muda, seharusnya pencapaian beliau tidak dinilai berdasarkan semata hanya dari sudut hasil keputusan tetapi juga berdasarkan perkembangan yang bercorak positif hari demi hari. Yang penting adalah pengembaraan/perjalanan (journey) bukan hanya semata destinasi (destination).

6.Beliau dilihat bersifat telus kepada rakyat misalnya dalam isu soal sekolah daif dan perkhidmatan internet kelajuan tinggi.

7.Jangan biarkan politik kepartian dan golongan kapitalis di negara ini menentukan masa depan pendidikan anak bangsa Malaysia. Letakkan tanggungjawab yang penting ini pada individu yang betul. Buat masa ini, Dr Maszlee adalah sosok yang paling relevan untuk memikul amanah ini.

8.Beliau telah membawa wajah baru dalam sistem pendidikan negara iaitu pendidikan tidak hanya berteraskan kepada peperiksaan dan pemarkahan semata-mata tetapi juga menitikberatkan soal pendidikan berteraskan nilai. Akal dan budi bergerak seiring. Otak dan hati sama-sama penting. Emprikal dan non emprikal seimbang. Tangible-Intangible perlu selari. Sains-sastera duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

9.Tiada blok pemisahan antara kedua-dua ciri utama ini sebaliknya saling memerlukan dan memperlengkapi antara satu sama lain.

10.Sains adalah proses, seni adalah hasil dan sastera adalah penceritaan untuk menerangkan proses sehingga memperoleh hasilnya.

11.Slogan aman (peace), cinta (love) dan hormat (respect)merupakan lambang pendidikan negara ini sedang berada di landasan yang betul yang mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

12.Beliau juga dilihat mengambil berat dan memahami situasi warga pendidikan dari peringkat pendidikan awal-pendidikan tinggi, sekolah-universiti, guru-anak murid, pensyarah-pelajar, kakitangan akademik-kakitangan bukan akademik. Misalnya isu program pertukaran guru ‘suka sama suka’, program sarapan pagi percuma dan penambahbaikan pendidikan untuk pelajar OKU.

13.Diharap juga di masa hadapan, Dr Maszlee dapat mempertimbangkan semula kadar yuran pengajian bagi pelajar siswazah dan pascasiswazah di universiti awam agar anak golongan yang kurang berkemampuan dapat menimba dan melanjutkan pendidikan. Bukan bermaksud menuntut pendidikan percuma tetapi memohon untuk pengurangan kadar yuran pengajian yang mampu dinikmati oleh golongan yang kurang berkemampuan. Selari dengan slogan ‘pendidikan untuk semua’.

14.Berdasarkan pertimbangan-pertimbangan ini, Dr Maszlee wajar dan relevan dikekalkan untuk memegang amanah anak bangsa Malaysia sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

15.Sokong Dr Maszlee Malik!. #SupportMaszlee


Amir Ahmad
Anak Bangsa Malaysia
3 Januari 2020
4.12 am
Pulau Pinang.









Khamis, 6 September 2018

INSAN BERJIWA BEBAS MERDEKA SEJATI







p/s: Muka Depan Zine Sembang Bebas 
Yang aku tulis sekitar 12 tahun yang lalu
Sewaktu aku meniti "Masa Muda, Masa yang Berapi-Api".
Tidak seperti masa ini, 
Masa di mana,
Api marak mulai padam,
Rasa takut mula menghantui fikiran,
Sepi kehilangan teman memberontak,
Prinsip mulai goyah,
Falsafah kian longgar,
Jalur ideologi sudah tidak jelas arahnya,
Yang akhirnya menghasilkan jiwa yang kosong nan gelap gelita.




Biarlah bertukar kerajaan sekalipun
Negara ini tidak merdeka
Warganya masih dijajah
Selagi mana 
Nilai adil, kasih, sayang dan cinta
Tidak diberikan selayak dan sewajarnya
Kepada Al-Marhum
Ahmad Boestamam
Ishak Haji Muhammad,
Mustapha Hussein
Dr Burhanuddin Helmi,
Kamarulzaman Hj Teh,
Rashid Maidin,
Shamsiah Fakeh,
Abdullah C.D
Suriani Abdullah,
Jaafar Abdullah,
Majid Salleh,
Zainuddin Andika
Dan Teman-Teman yang Seangkatan Dengannya

Kalian  insan yang punya jiwa bebas merdeka yang sejati!!!














Selasa, 30 Januari 2018

Hitam yang Solid..Gelap yang Absolute..





8 tahun yang sudah, Ucop ada cakap : 

"Aku tengok kau ni Maikel, kau dengan binatang tak ada beza pun, kau tidur, makan dan minum, binatang pun tidur, makan dan minum. Cuma satu jelah yang buat kau ni beza sikit dengan binatang; kau pandai main internet tapi binatang tak. Mujurlah binatang tak pandai main internet, kalau tak, tak ada beza pun antara kau dengan binatang".



Dan aku hanya mampu tersengih je waktu itu. Aku tak macam Azhar. Kalau Azhar dah mengeluh dengan mengeluarkan bunyi aduh, aduh dengan nada aduh tu dilafazkan dengan panjang iatu aduuuuhhh...aduuhhhhhhhhh bila dia dengar kata-kata nasihat dari Ucop tu.

Lepas aku terkenang-kenangkan kata-kata Usop tu, aku lantas duduk bersimpuh menghadap kiblat (korang jangan fikir plak aku tengah solat pun, haram aku tak solat pun), memandang ke bahagian dada kiri ku iaitu 2 jari di bawah tetek aku. Mula-mula aku memandang bahagian dada kiri aku. Aku cuba untuk menembus dada kiri aku yang diliputi kulit itu. Setelah lama aku berusaha, akhirnya aku berjaya. Rupanya dengan menggunakan konsep pandang ia tak akan dapat ku tembus. Berkali-kali aku pandang tak juga berjaya. Rupa-rupanya kena guna konsep renung. Bila aku merenung, baru aku berjaya tembus. 


Pabila dapat ku tembus dada kiri ku itu, baru dapat ku lihat hati ku. Serius...sangat menakutkan. Ngeri. Hitam. Hitam yang paling terhitam sekali (Dari sudut linguistik, perkataan 'paling', 'ter', 'sekali', tidak boleh digunakan dalam membentuk satu ayat yang sama. Ianya adalah kesalahan bahasa yang tidak boleh dimaafkan). Gelap. Gelap yang mutlak dan hakiki. Hitam gelap. Tak ada satu kata yang sesuai dan wajar pun untuk menggambarkan kegelapan dan kehitaman tu. Kau tak boleh pun guna kata perumpaan sepeti hitam seperti bontot kuali atau hitam seperti arang pun untuk menggambarkan tahap kehitaman dan kegelapan hati aku tu. Sehitam-hitam bontot kuali pun, kau masih kenal yang itu adalah kuali. Ataupun sehitam-hitam arang sekalipun kau masih tahu yang hitam itu adalah arang. Tapi hitam yang ini jenis hitam yang kau tak tahu hitam apa. Sebabnya disebabkan kehitaman dan kegelapan ini, kau langsung tak tahu macam mana rupa bentuk hati aku ini. Aku tahu ianya hati memang aku tahu secara zahiriyahnya hati tu letakkan kat bahagian dada kiri iaitu 2 jari dari tetek kau. 


Tapi untuk kau terangkan dari sudut rupa bentuk hati itu memang tak dapat kau kenal. Tak dapat nak diukur jaraknya, tak dapat nak diukur keluasannya, tak dapat nak diukur berapa isipadu andai ada cecair yang boleh mengisinya. Sebabnya memang langsung tak nampak suatu haram apa pun. Kau tak nampak kat mana titik asalannya. Kalau titik asalan pun kau tak dapat nak nampak, macam mana lah sial kau nak nampak titik penghujungnya. 2 titik ini pun kau tak nampak, lagi mustahil lah kau nak nampak titik-titik lain yang menghubungkan antara 2 titik ini. Justeru itu, disebabkan titik-titik ini kau tak nampak, macam manalah kau nak ukur jarak antara 2 titik, macam mana kau nak ukur luas yang menghubungkan tititk-titik yang apabila dihubungkan akan memenuhi ruang yang dipanggil poligon. Satu haram titik pun kau tak nampak, jadi jangan haraplah kau akan dapat tengok titik ketinggian yang membolehkan kau ukur ketinggian, kecerunan dan juga isipadu kalau hati aku ini boleh diisi dengan air. Ini memang hitam tahap mutlak. Tak ada sejalur cahaya pun untuk kau melihat sejauh mana jarak hati ku ini atau setompok cahaya pun untuk kau ukur seluas mana ruang hati ku ini. Boleh lah juga dikatakan hitam tahap dewa. 


Bukan aku tak cuba cari sebarang titik di hati ku tu. Puas aku mengembara. Tergapai-gapai aku. Tak ada sebarang dinding yang boleh kau sentuh. Puas aku cari. Tapi tak jumpa. Semuanya kosong. Tak ada sebarang cecair apatah lagi pepejal. Ini adalah hitam, gelap, kosong. Langsung tak punya apa-apa. Tak ada kehidupan langsung. Kalau ada sesiapa yang menawarkan untuk memberikan sebarang kehidupan di hati ku ini, aku percaya, bukan sahaja percaya, tetapi yakin, ya yakin, yakin tersangat yakin, tak sampai walau sedetik, kehidupan itu pasti menemui kematian. Pasti mati. Mati yang mutlak. Tiada lagi reinkarnasi. Tak ada!. 


Berkali-kali aku cuba tembus untuk melepasi garisan sempadan hati untuk melihat pula qalbi. Tapi tak pernah berjaya. Gagal. Aku tak tahu aku nak gunakan konsep apa untuk melihat qalbi. Konsep tenung, konsep tilik, konsep bedah. Aku buntu. Jadi aku biarkan. Dan biarkan aku terkandas di stesen hati sahaja. Sedangkan banyak lagi stesen yang perlu aku lihat tidak hanya qalbi, tapi juga fuad, lepas tu sanubari dan yang paling jauh, paling dalam, paling tinggi adalah sirr. Aku tak tahu bila aku boleh sampai ke stesen sirr tu. 

Korang bayangkanlah, aku hanya mampu menembus stesen hati hanya pada setelah roh aku bersemadi dalam jasad aku selama 32 tahun, jadi korang bayangkanglah pada usia berapa aku boleh sampai ke stesen sirr tu. Oklah katakan 32 tahun untuk samapai ke stesen hati, 32 tahun ke stesen qalbi, 32 tahun ke stesen fuad, 32 tahun ke stesen sanubari dan 32 tahun ke stesen sirr. Total semuanya aku memerlukan 128 tahun lagi baru aku dapat menerobos sampai ke sirr. Itu pun kalau setiapa stesen itu mengambil masa 32 tahun. Kalau lebih macam mana. Dan itu pun kalau aku ada umur panjang. Kalau aku mati awal, sampai mampuslah aku takkan samapai ke stesen sirr. 

Jadilah benar, benar yang sebenar-benarnya apa yang Ucop katakan pada aku, yang aku ini dengan binatang sememangnya tiada sebarang beza pun. Tapi sekurangnya-kurangnya binatang masih lagi mengenal tuhannya. Ah, rupa-rupanya kata-kata Ucop tu pun tak cukup benar lagi. Kebenaran yang pasti tanpa boleh dipertikaikan lagi adalah bahawa aku adalah lebih rendah, lebih cetek, lebih hina, lebih dina. lebih bodoh, lebih dungu, lebih sial, lebih kejam, lebih celaka, lebih malang, lebih pukimak, lebih bongok, lebih hodoh, lebih persetan dari binatang dan bukannya hanya binatang tetapi segala sebarang makhluk selain Tuhan iaitu tumbuhan, bulan, matahari, bintang, pelangi, malaikat, jin, azazil, babi hutan, anjing, syaitan, iblis, afrit, gunung, gerhana, nafas, api, tanah, air, angin, laut yang ada di seluruh alam iaitu tidak hanya di dunia, tetapi juga yang ada di alam langit, alam mahfuz, alam rahim, alam kubur, alam mahsyar, alam titian sirat, alam syurga, alam neraka, dan segala macam alam lain lah. Itu pun baru aku cerita bab lataif qalbi. Ada lagi 6 lataif tau khafi, ruh, akhfa, natikah, arbaah dan sirr. Sampai matilah aku tak kenal tuhan aku wey. Aku memang manusia super duper gelap dan hitam. Hitam yang solid!. Gelap yang absolute!.





Isnin, 1 Mei 2017

Ingat dan Pegang!







" Ingat dan pegang sampai mati!. Jangan sesekali pijak culture layer (lapisan budaya)!".

- Prof Dato' Dr Mohd Mokhtar Saidin-
24 April 2017
Isnin
Tapak arkeologi Guar Kepah,
Seberang Perai, Pulau Pinang.





Selasa, 18 April 2017

Pertama kali



Pertama kali yang tak terlupakan
17 April 2017
Isnin
Petang
Arc Neo




Jumaat, 29 April 2016

FILEM ADA APA DENGAN CINTA 2








Rangga & Chenta



Ada Apa Dengan Cinta 2. Aku baru balik menonton filem ini.  Menonton bersama Megat, Man dan Asang.  Jiwang karat?. Tak!. Kau silap kalau beranggapan begitu!.  Rata-rata yang menonton Ada Apa Dengan Cinta 2(AADC2) ini adalah insan-insan yang membesar dengan Ada Apa Dengan Cinta (AADC) yang ditayangkan pada sekitar 14 tahun yang lalu.  AADC yang 14 tahun yang lalu, bukan hanya berkisarkan pada cinta sahaja.  Ia lebih dari itu.  Jangan dinilai dari tajuknya yang memang secara jelasnya membawa pada konotasi jiwang karat dalam cakap mudah.  Cukup aku katakan karya AKU dari Chairil Anwar yang dipaparkan dalam AADC.  Ia sudah cukup untuk mengatakan bahawa AADC bukan setakat cerita cinta sampah dan murahan.

Walaubagaimanapun, harapan dan anggapan aku pada kemunculan semula AADC 2 ini tidaklah seperti yang aku harapkan sebelum aku duduk di bangku panggung. Kenapa?. Pertamanya aku mengharapkan watak Chenta menerusi lakonan Dian Sastrowodoyo itu dimunculkan buat pertama kalinya di layar panggung dalam keadaan dan situasi yang berkonsepkan "mengejutkan" dan para penonton "ternanti-nantikan kemunculan beliau". Tapi hal itu tidak terjadi. Chenta ditampilkan secara mudah dan ringkas atau literal di awal penceritaan. Sedangkan Chenta itu peran yang dinanti-nantikan setelah 14 tahun watak itu tidak kelihatan. Ah, sayang sekali.

Kedua, dalam AADC2 ini tiada tokoh realiti istimewa yang diangkatkan ataupun dijadikan ikon atau trademark dalam cerita ini.  Tidak seperti AADC yang mengangkat Chairil Anwar menerusi karyanya yang berjudul AKU itu.  Walau Rangga ada menyebut nama seorang pemuisi luar yang aku lupa namanya dan kemunculan seniman bernama Eko Nugroho yang disukai Chenta, namun itu belum 
cukup ampuh untuk menjadikan AADC2 ini setanding dengan AADC.  Hal ini seterusnya barangkali boleh menjerat dan memerangkap AADC2 dalam lingkungan cerita yang hanya berkisarkan sejauhmana pengakhiran misteri cinta Rangga dan Chenta (Dan sememangnya itulah motif filem AADC2).  Mungkin tokoh realis yang ditampilkan untuk AAD2 kali ini lebih merupakan seniman yang bercorak "fine art" dan agak kurang yang bersifat sastera tulisan, maka atas sebab itu tokoh 
realis itu agak kurang menonjol sosoknya dalam AADC2. Tapi aku mengharapkan ada sedikit tokoh berjiwa rebel sebagai selingan dalam AADC2 agar ianya tidak dianggap sebagai hanya kisah cinta Rangga dan Chenta semata yang mana akhirnya akan menjebakkan aku dalam menonton filem cerita yang berkonsepkan cinta semata.  Aku perlukan cukup hanya sedikit elemen yang bersifat "kekeluaran" daripada konteks cinta agar aku tidak dicop atau dilabel sebagai "mamat jiwang karat".  Dan sekali lagi hal itu tidak terjadi.

Ketiga,menurut aku, puisi adalah antara elemen penting yang menguatkan filem AADC yang dahulu.  Terutamanya menerusi watak Rangga.  Hal itu masih cuba dikekalkan dalam AADC2. Tapi yang mengecewakan aku, puisi yang ditampilkan dalam AADC2 ini sifatnya terlalu lurus, linear dan literal.  Kurang metafora dan nuansa dari gaya bahasa, susunan bahasa. Seharusnya bila watak Rangga itu sudah menginjak dewasa malah sudah menjadi penulis dalam sebuah majala di New York, maka sepatutnya puisi yang ditampilkan itu lebih matang, non literal, non linear, penuh metafora dan abstrud sifatnya. Atau dalam kata mudahnya, tidak punya "kick". Tidak seperti dalam AADC, puisi yang ditampilkan menerusi Rangga dan Chenta itu bahkan jauh lebih matang sedangkan dalam AADC itu latar peristiwanya adalah zaman sekolah.  Harusnya puisi AADC2 itu jauh lebih mengancam dan menggetarkan jiwa dari puisi AADC.  Dan itu tidak terjadi sekali lagi.  Bahkan surat puisi yang diberikan Rangga kepada Chenta pada saat akhir pertemuan di Jogjakarta itu juga menghampakan.  Sedangkan penonton seperti aku ini ternanti-nanti apakah isi puisi yang diberikan Rangga kepada Chenta dengan penuh debaran.  Lebih-lebih lagi dengan permintaan Rangga yang menghalang Chenta dari membaca langsung puisi itu disaat pertemuan singkat itu masih berlangsung. Dan debaran itu ternyata menurut aku tidak berbaloi dengan kualiti puisi yang ditampilkan dalam AADC2. Cis, mengecewakan.

Keempat, dari segi dialog.  Dialog juga tidak cukup mantap. Maksudnya, kurang kata dialog yang bersifat falsafah ringkas dan mudah iaitu dialog yang dilontarkan dalam bahasa ringkas dan pendek tapi mengesankan. Mujur bahasa badan dalam konteks bahasa filem antara Rangga dan Chenta itu bagus dan tidak kaku.  Ia bukan suatu masalah bagi Rangga lakonan Nicholas Sapurta dan Chenta lakonan Dian Sastrowodoyo kerana 2 insan ini merupakan pelakon berbakat.Selain itu mujur ada watak Milly yang sedikit sebanyak tidak membosankan penonton dengan soalan-soalan dan jawapan yang bersifat naif sesuai dengan karekternya.

Kelima, sepertimana menurut Megat dan Asang, filem AADC2 ini seolah-olahnya mahu mempromosi Jogjakarta yakni antara latar tempat yang mengambil sebahagian besar dalam pengambaraan filem ini.

Keenam, pengakhiran cerita yang juga tidak cukup "kick" dan kurang mengesankan.  Ianya terlalu mudah disudahkan walhal suatu konflik baru seolah mahu cuba dicetuskan saat Chenta melihat Rangga sedang berpelukan dengan pekerja kedai kopinya di New York setelah Chenta seperti bersusah payah ke New York untuk menemui semula Rangga.  Tapi permulaan konflik itu dibunuh dengan penyelesaian yang cukup mudah dan bersahaja.  Bukankah ini filem epik yang menemukan kembali lagenda Rangga dan Chenta setelah ia dinanti-nantikan penonton untuk tempoh 14 tahun.  Kenapa epik cinta antara 2 lagenda ini bagi remaja yang membesar sekitar tahun 90-an diakhiri dengan penamatan yang mudah sekali!?.

Ketujuh, tiada ost dalam bilangan yang banyak dan mengesankan jiwa sepertimana ost dalam AADC dahulu yang dihasilkan oleh Melly Goeslow.

Kelapan, ini bukan menurut aku tapi menurut mungkin kebanyakan penonton iaitu kenapa adegan Rangga dan Chenta bercumbuan menahan beban rindu perlu dipotong dalam tayangan panggung wayang di Malaysia?. Kalau menurut aku itu, ia bukan isu besar sangat pun dan tak lah mengecewakan aku sangat.  Lainlah pemotongan babak mencium itu melibatkan aksi cium mulut antara Aku dan Dian Sastrowodoyo. Itu sudah pastinya perlu sangat dikecewakan. Kah, Kah, Kah. 


Apapun, walau filem AADC2 ini tidak memenuhi harapan aku sepenuhnya (mungkin tinggi sangat kot harapan aku kat filem AADC2 ini), tapi filem ini masih lagi SANGAT berbaloi untuk ditonton.  Sesuai bagi yang mahu bermelankolia masa remaja lebih-lebih lagi bagi yang pernah menonton AADC pada 14 tahun yang lalu. 

Dan dalam pada masa yang sama, filem ini tidak sesuai untuk mamat-mamat yang jenis pakai baju batik, pakai songkok hitam, pakai tali leher, pakai kasut kulit muncung panjang, pakai baju kemeja masuk dalam seluar slack yang kain licin tu ditambah jenis lelaki yang suka selfie (kau boleh faham benda ini menerusi kata dialog Rangga sewaktu memberikan definisi tentang perbezaan antara mengembara dengan bercuti atau melancong).  Serius lebih baik kau jangan tengok.  Kalau dapat tahu ke si Rangga yang laki-laki jenis ini tengok AADC2, mahu menangis si Rangga dibuatnya.  Seolah-olahnya AADC ini telah tercemar dengan najis kehinaan. Mamat jenis macam ini seperti watak Trian dalam AADC2.


Maka dengan itu, datanglah ke pawagam dan tontonlah filem ini. 





Buku AKU tentang Chairil Anwar. Kaset OST AADC lama yang masih lagi ada dalam simpanan aku. Aku beli kaset ini masa tingkatan 4 di Kedai Kaset Radin dekat bus stesen Batu Pahat.






p/s: Benar kata Rangga tentang Chenta iaitu: "Baru sekali itu aku melihat karya syurga dari mata seorang hawa".

Dan aku dahulunya cukup senang melihat mata si dia yang bulat belolok itu.  Cukup indah mata itu. Dan aku rindu bukan sahaja untuk melihat bebola mata indah itu lagi bahkan jika punya kesempatan yang menurutku agak mustahil, akan aku tenung sedalam-dalamnya sehingga menembusi retina matanya. Ah, itu pun jika punya kesempatan kedua!.






Sabtu, 19 Mac 2016

AYAH : ANDREA HIRATA







Seperti lazimnya, banyak naskhah buku yang aku dah habis baca tapi masih tak diulas lagi.  Tapi kali ini tak boleh. Aku wajib buat satu ulasan walau ringkas sekalipun ke atas novel yang baru sahaja aku khatamkan pembacaannya.  Novel itu berjudul Ayah karya Andrea Hirata.  Aku mulakan pembacaan novel ini pada hari semalam iaitu Jumaat bertarikh 18.3.2016 di PPAG USM.  Lebih kurang sekitar 24 jam sahaja aku dapat khatamkan pembacaan ku ke atas novel yang setebal 396 muka surat ini.  Semalaman aku tak tidur kerana keasyikkan membacanya.  Kau boleh tersenyum sendirian, gelak terbahak-bahak malah menitik air jernih dari kelopak mata tanpa kau sedari saat membacanya.  Mata kau takkan mengantuk meski kau paksakannya tidur.  Jari di tangan kau seolah tak mengizinkan kau berhenti dari tetap terus menyelak helai demi helaian novel tersebut.  Jiwa kau jadi penasaran jika terdetik untuk menangguhkan pembacaannya meski sekejap sahaja. Akhirnya, pada jam 4.56 pm iaitu pada tarikh 19.3.2016 aku mengkhatamkan pembacaan ku.

Aku tak nak ulas panjang-panjang.  Cuma novel ini aku sarankan dibaca oleh para lelaki yang kecundang dalam percintaan.  Hahahaha...Macam lagu sentuhan kecundang pulak yang mana menurut Wandy ia merupakan lagu kegemaran Nik.  Bila aku menung-menungkan balik kata-kata Wandy ini ada jugak kebenarannya sebab aku teringat yang Nik pernah mendendangkan lagu ini masa berkaraoke dulu.

Kalau kau rasa kau manusia gagal, sial dan malang dalam percintaan, percaya dan yakinlah bahawa masih ada lagi yang jauh lebih sial dan malang dalam kisah kehidupan cinta mereka. Macam Sabari misalnya.

Tahukah kalian, hidup ini kadang memang tidak adil. Kejam dalam kata lebih tragisnya.  Tapi dalam masa yang sama ada juga hal yang pelik dan menghairankan dalam hidup ini. Macam Sabari yang ku katakan tadi.  Sabari itu dalam hidupnya hanya punya satu cinta, hanya satu!, tidak dua tiga apatah lagi empat. Hanya satu!. Marlena namanya. Tapi ironinya, bagi Marlena pula, Sabari itulah manusia yang paling dibencinya sekali di dunia ini. Ah, ironi sekali bukan bahkan tragis yang maha kejam. Hidup ini memang dipenuhi orang yang kita inginkan, tetapi tak menginginkan kita. Tapi ajaibnya, Sabari itu tetap sahaja tersenyum.


Hingga hujung akhir hayatnya Sabari, hanya Marlena sahaja cinta hatinya yang dipanggilnya wanita itu sebagai "Purnama Kedua Belas" semenjak di zaman sekolah lagi.  Tulusnya cinta Sabari pada Marlena itu dibawanya sampai mati sehingga di pusaranya turut diukir bait puisi yang pernah dilafazkannya khusus buat Marlena sewaktu Hari Perpisahan Akhir Sekolah SMA. Bait puisi yang terukir di pusara Sabari itu berbunyi: "Biarkan aku mati dalam keharuman cintamu".  Begitulah kisah cinta agong milik sosok yang bernama Sabari.  Setia yang tak tertanggung-tanggung dan berbelah bahagi.  Setia yang jelas, lurus dan nyata.


Usai habis aku khatam novel ini, aku langsung termenung dan terfikir dalam-dalam, macam mana ada manusia di dunia ini yang meninggalkan cinta hatinya pertama dan menikah pula dengan cinta hatinya yang baru sedangkan dalam pada masa yang sama dia tidak bisa dan mampu melupakan cinta hatinya yang pertama.  Bagaimana nurani dan perasaannya menempuh perjalanan hidupnya selepas menikah sehingga akhir hayatnya?. Argh, suatu hal yang sangat abstrak untuk dijawab!.









Rabu, 18 November 2015

TAHNIAH GURU







SALAM TAHNIAH BUAT GURU

DR. HAMID MOHD ISA



Jumaat, 13 Mac 2015

Gambar Seminar Pekanbaru, Riau, Indonesia.








# kredit pic kepada rakan pembentang dari UKM.





Riau 4: Sesi Pembentangan Aku





Jam 1330 waktu Indonesia Barat merupakan waktu giliran sesi pembentangan aku. Sesi pembentangan aku dikelolakan oleh seorang moderator yang bernama Irwan Iskandar. Beliau merupakan graduan dari Jerman yang mempelajari tentang bidang European Study. 

Beliau menyatakan yang dahulunya sebelum ke Jerman, beliau pernah mengikuti kuliah bahasa di Kuala Lumpur.  Sesi pembentangan tersebut bermula agak lewat disebabkan beberapa masalah teknikal dari sudut kepenggunaan alat projektor yang tidak dapat berfungsi dengan baik.  Aku berharap agar ianya selesai segera supaya beban yang tergantung dibahuku dapat cepat ku lepaskan. 

 Setelah 2 pembentang disebelah ku selesai, tibalah giliran ku pula.

Gaya pembentangan kali ini tidak memerlukan aku berdiri di meja berucap.  Cukup hanya duduk di meja pembentangan.  Sepatutnya, sesi pembentangan ini perlu disampaikan dalam bahasa Inggeris lantaran statusnya yang bertaraf antarabangsa.  Namun, dengan selambanya aku membentangkan kajian aku dalam bahasa Melayu.  Ianya bukanlah disebabkan aku nak tunjuk selamba. Tapi dilakukan atas sebab dan musabab yang mengikut perkiraan ku adalah munasabah. Pertama, dalam sesi pembentangan aku, tiada pun para audiens yang berasal luar dari alam Melayu iaitu maksud ku tiada manusia kulit putih (Eropah), manusia kulit hitam (Afrikan) dan manusia kulit kuning (China, Korea dan Jepun).  Makanya, menurut ku manusia kulit coklat (Orang Melayu) ini sudah sepastinya jauh lebih dapat memahami isi pembentanganku.  Bukankah bahasa itu jiwa bangsa. Dan bukankah Riau tempat aku membentangkan kajian ini merupakan bumi dimana dahulunya merupakan antara pusat perkembangan bahasa Melayu yang gah. Bahkan sebelum itu pun, guru ku ada memberitahu ku dan memberi keizinan yang mana aku boleh sahaja membentangkan kertas kerja ku dalam bahasa Melayu jika audiens dalam sesi pembentangan aku itu adalah penutur Melayu seluruhnya.

Keduanya, tak lain tak bukan adalah disebabkan kelemahan bahasa Inggeris ku. Aku dapat bayangkan kalau aku bentangkannya dalam bahasa Inggeris mesti aku tergagap-gagap dan ternganga-nganga. Misalnya mesti aku akan cakap satu kata penyambung ayat dalam kadar berulang-ulang kali. Misalnya seperti;" which is, which is, which is" ataupun "that is, that is, that is", ataupun juga "the thing is, the thing is, the thing is". Jadi, dari aku buang masa bercakap hanya satu perkataan berulang-
ulang kali disebabkan pembendaharaan kata Inggeris aku yang lemah untuk menyambut ayat, makanya aku berkeputusan membentangkannya dalam bahasa Melayu.

Waktu aku mula mengeluarkan kata-kata pendahuluan sebagai pengenalan tajuk pembentangan ku, suara ku agak perlahan sehingga si moderator meminta agar mikrofon diletakkan dekat hampir dengan bibir mulutku. Aku tarik nafas dan kemudiannya memulakannya. Kajian ku berkenaan Orang Laut Semenanjung Malaysia dan hubungan budayanya dengan Orang Laut di Kepulauan Riau. 

 Dalam pembentangan aku, aku menyarankan agar suatu kajian etnografi budaya barangkali boleh diupayakan dari sudut perbandingan antara Orang Laut di Semenajung Malaysia dengan Orang Laut di Kepulauan Riau bagi menjejak asal-usul lokasi mereka. Hal ini kerana kebanyakannya Orang Laut di Semenanjung Malaysia adalah berasal daripada Kepualuan Riau-Lingga.  

Misalnya seperti Orang Kanaq yang berada di Kota Tinggi yang sememangnya dari tradisi oral mereka berasal dari Kepulauan Riau dan mereka merupakan serpihan daripada Orang Sekanak yang berada di Riau. Mereka di bawa ke Johor oleh Sultan Johor pada sekitar awal kurun ke-19.  Begitu juga dengan Orang Duano (di Malaysia mereka lebih dikenali sebagai Orang Kuala), yang mana 
sehingga kini pun masih lagi ada lawatan persaudaraan meski dalam kadar yang agak jarang dengan masyarakat Orang Duano yang terdapat di sekitar Bengkalis, Rupat, Rangsang. Namun tidak pula bagi Orang Seletar.  Bagi Orang Seletar mereka hanya mampu mengesan lokasi asal-usul mereka dari Singapura di Sungai Seletar khususnya. Pada masa kini, tiada dari kalangan masyarakat mereka yang mengetahui tentang asal lokasi nenek moyang mereka lebih jauh dari Singapura.  Walaupun begitu, masyarakat Orang Seletar ini berkongsi sejumlah kosa kata dengan masyarakat Orang Laut di Kepulauan Riau. Kosa kata yang dikongsi antara keduanya bukan sahaja sama dari sudut sebutan tetapi turut sama dari segi kepenggunaan rujukan dan fungsinya. Misalnya seperti kata pekajang yang merujuk kepada atap yang diletakkan pada perahu, ibul yang dijadikan sebagai lembing daripada kayu nibong dan juga istilah rujukan pada gamat atau tripang (istilah yang digunakan di Indonesia) yang menggunakan istilah yang hampir sama iaitu nebi oleh Orang Seletar dan nabi oleh Orang Laut di Kepulauan Riau.  Persamaan kosa kata ini aku peroleh menerusi kajian etnografi ke atas masyarakat Orang Seletar dan perbandingan menerusi pembacaan aku terhadap kajian yang dinukilkan oleh Cynthia Chou dan Sudarman Sembiring bagi Orang Laut di Kepulauan Riau.

Sepertimana biasa, aku pasti ditegur oleh si moderator lantaran mengambil masa yang lama membentangkan kajian aku. Moderator memberi isyarat bahawa masa untuk aku membentangkan kajian sudah habis.  Maka dengan itu, aku cuba memendekkan penerangan aku semampu boleh.  Dan disebabkan masa yang diperuntuukan sudah habis, aku tidak dapat menerangkan tentang isu kepercayaan Orang Laut dengan lebih terperinci.  Walhal ianya merupakan bahagian yang aku sukai. Namun, aku dapat juga menerangkan secara ringkas tentang struktur kepercayaan Orang Laut Semenanjung Malaysia meskipun tidak secara mendalam.

Setelah aku menamatkan pembentangan aku dengan kesimpulan kajian, maka sesi tersebut terbuka pula kepada sesi soal-jawab. Menurut aku, sesi soal-jawab merupakan sesi klimaks dalam mana-mana pembentangan akademik.  Bagi orang seperti aku ini, sudah sepastinyalah aku mengharapkan tiada sebarang soalan yang ditujukan kepada aku.  Namun setakat ini, dalam semua seminar yang 
aku sertai, bidang kajian Orang Laut mesti mendapat tempat itu diajukan soalan.  Dalam sesi seminar kali ini, aku sudah pun menduga bahawa aku pasti akan dipertanyakan soalan.  Alasan mudahnya adalah kerana, aku sedang membentangkan kertas kerja di Riau.  Riau pula merupakan tanah air lazim bagi Orang Laut dan sememangnya telah pun popular sejak dahulu lagi dari periode Srivijaya sekitar kurun ke 7 M (bahkan awal dari itu lagi) sehinggalah ke periode Kesultanan Johor.  Jadi nak tak nak, mahu tak mahu, aku perlu pasrah sahaja untuk sebarang pertanyaan aku.  Ini tempat dan ruang dimana banyaknya taburan Orang Laut bahkan sehingga kini budaya komuniti ini masih berlangsung.


Ada seorang audien. Wanita yang kuperkira sudah pun berkahwin. Cuma tiada aku tahu latarnya sama ada pensyarah atau pelajar atau pun hanya orang awam yang mahu mencari jawapan. Daripada susuk ini lah aku menerima soalan yang perlu ku perjawab.  Ibu ini (gelaran yang lazim di Indonesia dalam merujuk mana-mana wanita selain mbak) menyatakan soalan yang berbunyi seperti ini : "Pembentang sebelum bapak (istilah lazim di Indonesia yang merujuk kepada lelaki) membentangkan tentang tengkolok yang dipakai oleh Kesultanan Perak. Bapak pula ada menerangkan tentang tanjak yang dipakai oleh Orang Laut. Apakah kedua-duannya berasal dari kumpulan yang sama.  

Soalan kedua pula, apakah sehingga kini masih ada lagi Orang Laut yang menghuni perahu dan 
akhirnya tadi pada bahagian kesimpulan bapak ada mengatakan bahawa masyarakat Orang Laut ini terhimpit dengan perkembangan pembangunan dan bapak mengatakan bahawa pembangunan turut penting, jadi soalannya apakah di Malaysia ada jabatan dalam mengupayakan agar mempertahankan budaya Orang Laut dalam era pembangunan negara?. 


Setelah 2 rakan pembentang aku selesai menjawab soalan, maka aku pun menjawab soalan yang diajukan kepada aku.  Jawapan aku seperti berikut:

"Apakah ada hubungan antara Kesultanan Perak dengan Orang Laut (pembentang sebelah aku merupakan pensyarah UKM yang membentangkan berkenaan tengkolok Kesultanan Perak)?. Jawabnya adalah ya. Sebabnya pertama kita di alam Melayu merupakan kelompok bangsa astronesia secara umumnya dengan berbahasa melayu-polinesia.  Keduanya, kedua-dua golongan ini (Kesultanan Perak dan Orang Laut) mempunyai hubungan yang rapat. Kan sistem pemerintahan raja di alam Melayu ini bersifat feudal. (sewaktu aku menyebut istilah feudal ini, aku pandang muka guru ku. aku pandang riak mukanya mula berubah. aku perlu berhati-hati menggunakan istilah feudal. Sebabnya istilah feudal ini lazimnya membawa konotasi dan tafsiran yang negatif apabila dihubung-kaitkan dengan raja-raja Melayu. Manakala guru ku pula merupakan antara orang yang mempunyai sedikit jiwa feudal Melayu yang mana dalam erti kata mudahnya dapatlah aku berikan gambaran ringkas bahawa guru ku ini mempunyai tanggapan pemikiran yang sedikit hampir sama dengan geng-geng UMNO, PERKASA di Malaysia apabila berbicara tentang isu Melayu dan Kemelayuan.  Jadi kalian boleh lah serba sedikit mengetahui siapakah guru ku ini bila ku katakan seperti ini. Makanya aku perlu berhati-hati agar tidak muncul bibit tidak puas hati guruku terhadap diriku). Aku sambung jawapan aku; "walaupun feudal, namun kedua-dua golongan ini mempunyai hubungan..saling perlu-memerlukan dan saling lengkap-memperlengkapi.  Kesultanan Perak itu kan merupakan serpihan dan mempunyai hubungan darah dengan kesultanan Melaka..Kan setelah Melaka jatuh di tangan Portugis, anak Sultan Mahmud kemudiannya membuka kota lain iaitu anaknya yang bernama Alauddin mengasaskan Kesultanan Johor manakala anaknya yang Muzaffar pula mengasaskan Kesultanan Perak.  Bukankah Kesultanan Melaka itu berasal dari kerajaan Srivijaya yang berada di Palembang dibawah Parameswara.  Jadinya Kesultanan Perak itu merupakan legasi dari kesultanan Melayu Melaka dan lebih awal lagi dari Kesultanan Srivijaya. Jadi bagaiamana pula bentuk hubungan antara 
Kesultanan ini dengan Orang Laut.  Jawabnya, bukankah dalam Sejarah Melayu ataupun nama asalnya Sulalatus Salatin ada menyebutkan tentang konsep wa'ad ataupun kalau menurut sarjana Wolters menyatakannya dengan istilah abhiseka.  Bukankah konsep waad ini melibatkan janji setia antara 2 golongan iaitu golongan pemerintah/ raja menerusi Sang Nila Utama/Parameswara 
dengan golonganh yang diperintah/rakyat yang dalamnya tergolong juga Orang Laut menerusi watak Demang Lebar Daun.  Dalam sumpah taat setia yang dikenali wa'ad atau abhiseka itu kan telah dinyatakan dengan dialog seperti ini, kata Parameswara;"andai anak cucu hamba melakukan kesalahan, janganlah sesekali anak cucu tuan hamba mengaibkan anak cucu hamba dengan aib yang dalam sekali sehingga membawa kepada derhaka....jika anak cucu tuan hamba derhaka, maka terbaliklah dunia ini dimana bumbung rumah akan terbalik jatuh ke tanah (kiamat)...manakala kata-kata Parameswara pula ini disambut jawab balas oleh Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat dan Orang Laut dengan kata-kata; "begitu jugalah dengan anak cucu hamba...janganlah sesekali anak cucu tuan hamba mengaibkan anak cucu hamba jika bersalah ianya dengan hukuman yang mengaibkan sekali"...manakala Wolters pula ada menyatakan menerusi upacara abhiseka dimana Orang Laut menolak kedaulatan Majapahit (Srivijaya gagal dalam pemberontakan menentang Majapahit) dan menyembahkan kesetiaan dibelakang Parameswara....Dari sini maka wujudlah hubungan 2 hala saling perlu-memperlukan antara golongan berdarah putih iaitu raja dengan rakyat yang tergolong juga Orang Laut...Bahkan barangkali menerusi upacara janji taat setialah barangkali asas kepada kewujudan konsep "daulat", konsep "tulah", konsep "tiada anak Melayu menderhaka kepada raja", konsep "pantang Raja-Raja Melayu dihina" (kah kah kah kah kah kah kah)...upcara taat setia ini barangkali merupakan pemula kepada wujudnya kontrak sosial yang tak bertulis antara rakyat dan raja yang mana rakyat akan sentiasa mempertahakan institusi diraja walau seteruk manapun perangai raja itu...( kah kah kah kah kah )....aku jawab lagi, bahkan geng-geng (Orang Laut) inilah yang banyak membantu Parameswara dalam pelariannya dari Srivijaya sehingga dapat membuka kota Melaka...(aku tak tersengaja menggunakan istilah geng dalam menjawab soalan itu sebab ianya secara spontan...maka secara tiba-tiba para peserta seminar tergelak terutamanya dari Malaysia dan Singapura manakala ada dari kalangan peserta Indonesia yang tak faham dengan istilah geng ini)..Aku terus kan jawpaan aku lagi dengan mengatakan ; geng-geng inilah yang menemukan tapak Melaka untuk Parameswara jadikan kota...(audiens gelak lagi sebab pada awalnya aku ingat diorg faham maksud rujukan istilah geng itu...selantas itu juga aku cakap dengan suara sedikit tegas dan keras..."ok, ok, kumpulan masyarakat ini"...kemudiannya audiens terdiam...aku sedikit bengang dengan gelakan itu sebab menganggu kelancaran aku menjawab soalan. aku jawab lagi: "sepertimana yang dinyatakan oleh DR. Shah Alam pagi tadi ( masa sesi ucaptama), dalam Kerajaan Kesultanan Melayu, negara kota itu tidaklah terlalu penting sebab negara kota Melayu didirikan dengan ciri binaan yang cukup ringkas dan mudah iaitu dari kayu dan daun nipah, mengkuang dll...disebabkan mudahnya didirikan maka mudahlah juga dibinasakan...hal ini dapat dilihat lebih-lebih lagi selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis...terlalu banyak negara kota Melayu yang dibina dan banyak yang musnah...ini menunjukkan bahawa negara kota dalam konteks kesultanan raja Melayu tidak penting...jauh yang lebih penting adalah pengikut...selagi mana raja itu punya pengikut, maka selagi itulah adanya kerajaan Melayu...selagi ada pengikut, hiduplah raja itu...dan pengikut yang dimaksudkan itu adalagh rakyat yang didalamnya tergolong juga Orang Laut....Jadi disebabkan sistem feudal ini, maka muncullah perbezaan dari sudut material antara pemerintah dengan yang diperintah...pemerintah haruslah memakai tengkolok yang diperbuat daripada bahan mentah yang 
mahal dan tahan lama seperti sutera dan benang manakala Orang Laut, sesuai dengan status feudalnya dari garis kelas bawahan, maka ikatan kepala mereka yang dikenali sebagai tanjak hanya diperbuat daripada bahan mentah yang murah dan mudah diperoleh iaitu daripada daun nipah, pandan dan mengkuang.Bahkan bagaimana munculnya Raja-Raja Melayu itukan agak pelik...Raja-Raja 
Melayu itukan menerusi kitab Sulaltus Salatin kan mengatakan bahawa Raja-Raja Melayu itu berasal dari keturunan Iskandar Dzulkarnain...3 beradik Parameswara iaitu Sang Sapurba, sang Nila Utama dan Sang pendita Krishna itu kan dalam kitab itu mengatakan bahawa pernah pergi ke kerajaan bawah laut iaitu kerajaan Dhika dan kemudianny muncul di bukit siguntang mahameru, di Palembang..bila muncul disana, maka padi berbuahkan emas, daun berubah perak....jadi cerita2 ini dari satu segi cuba untuk menonjolkan ciri wibawa raja yang berbeza dengan rakyat jelata.  Dan cerita yang agak karut ini kan menampilkan unsur feudal....Itulah jawapan aku bagi soalan pertama....


Jawapan itu soalan 2..."Pada hari ini, Orang Laut dah tidak menghuni perahu...mereka sudah pun menghuni dan menjalani gaya hidup sedentri...membina penempatan atas air dari kayu bakau yang dikenali sebagai penempatan cerucuk...gambar yang tadi tue gambar lama...masa diorg masih lagi menjalani gaya nomadik perahu"...


Jawapan itu soalan 3..."Hari ini Orang Laut seperti Orang Seletar menghadapi tekanan sosial yang kuat sebab kawasan penempatan mereka di sepanjang Selat Tebrau sedang rancak membangun...pembangunan penting...tetapi pihak berwajib (kerajaan) perlu bijak mengatasi masalah ini agar kelangsungan budaya mereka tidak terancam dan dapat dipertahankan...Di Malaysia ada 
jabatan khusus yang dibentuk kerajaan untuk menguruskan hal ehawal masyarakat ini yang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.."...aku tambah lagi penerangan tapi tak aklu berikan penerangan panjang lebar..."tapi ada sesetengah golongan yang mahu mentamadunkan Orang Laut dengan cara mengislamkan mereka...ini bukan caranya sebab melayu itu melayu lah...islam 
itu islamlah..." aku sebenarnya nak ulas isu melayu-islam dalam konteks masyarakat Orang Asli umumnya dan Orang Laut khususnya dengan panjang lebar dan mendalam...sebab isu ini pada aku perlu dibahaskan agar dapat memperbetulkan tanggapan salah faham masyarakat terhadap Orang Asli yang tidak dilihat sebagai Melayu kerana masih menyembah semangat, matahari, pokok dll...sedangkan kedua-dua unsur iaitu Melayu dan Islam itu berbeda...tapi disebabkan seminar kali ini ada guru ku, maka aku malas nak ulas panjang2...cukup aku bagi satu kenyataan ringkas...yang faham tue faham lah...yang tak faham...lantaklah...aku malas nak ada krisis atau rasa terasa hati antara aku dengan guru ku...cakap mudahnya dalam isu atau konteks Melayu-Islam, pandangan aku dengan guru ku adalah berbeza...ini dapat dilihat dalam penulisan tesis aku pada bahagian perbincangan bab 2 
yang mana guru ku dengan mudahnya buang hujah panjang lebar aku tentang soal salah faham isu Melayu-islam dalam kontek hubungannya terhadap Orang Asli khususnya Orang laut di Asia Tenggara...itu memang membuatkan ku sedikit benggang...aku tulis panjang lebar...dan dengan mudahnya iaitu hanya satu klik sahaja guruku buang isi perenggan hujah aku...disebabkan aku nie 
anak murid dan dia guru...aku redha dan pasrah..mungkin ada hikmah...dah memang adab berguru...anak murid kena taat dan setia...kadang-kadang aku fikir hubungan aku dengan guru ku macam hubungan Parameswara/ Raja/Sultan dengan Orang Laut pula...hahahahahahahaha....



BERSAMBUNG.........












Isnin, 16 Februari 2015

.........









"It always seems impossible until it's done" 
-Nelson Mandela-




Rabu, 27 Ogos 2014

Riau 3: Majlis Ucaptama Seminar





Pagi Selasa, aku bersiap-siap untuk menghadiri seminar. Aku tak turun bersarapan bersama guruku. Seperti biasa, jika ada satu urusan penting yang masih belum beres dan lancar, aku jadi tak keruan. Lebih-lebih lagi, sehingga ke waktu pagi itu pun, aku masih lagi tak tahu jadual pembentangan aku bila.  

Aku langsung terus ke dewan seminar.  Mendaftar diri dan bertanyakan tentang jadual pembentangan aku.  Urusetia memberikan tentatif program. Ah, aku pembentangan aku sesi jam 1330, hari tersebut.  Aku mengharapkan agar sesi aku adalah keesokkan harinya. Makanya aku terpaksa redha dan pasrah.  Hanya 
itulah kata yang selayaknya untuk berhadapan dengan situasi semacam ini.  

Di dewan utama seminar, aku bertemu dengan delegasi dari UKM yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Dzuliskandar Ramli bersama pasukannya yang terdiri daripada Helmi, Syafiq, Dr. Adnan dan beberapa orang perempuan lain yang tidak ketahui namanya.  Selama 2 hari di sana, kami berjalan dan makan bersama-sama dengan delegasi dari UKM bersama dengan seorang pensyarah dari University of Singapore yang bernama DR. Shah Alam.

Seminar yang aku sertai kali ini adalah berjudul "7th International Seminar on Ecology, Human Habitat and Environmental Change in the Malay World".  Seminar ini adalah anjuran bersama antara Universiti Islam Riau dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Majlis bermula sekitar jam 09.30. Majlis dimulai dengan bacaan doa. Kemudian ucapan daripada pihak Universiti Islam Riau, Indonesia.  Seterusnya adalah ucap tama oleh 4 orang tokoh akademik iaitu dimulai dengan Prof. Amri Marzali dari University of Indonesia, kemudiannya Dr. Shah Alam dari University of Singapore, Prof Madya Dr. Dzuliskandar Ramli (tak sangka cepat betul Dr Dzuliskandar naik jadi Prof. Madya) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan terakhir adalah Dr Erdi dari Universiti Tanjung Pura, Pontianak, Indonesia.


Pembentangan ucaptama oleh Prof Amri Marzali dr Indonesia, Dr Shah Alam dri Singapura, Prof Madaya Zul dr Malaysia (kredit pic rakan pembentang dari UKM)

Ucap tama yang dibentangkan oleh Prof Amri Marzali dan Dr. Shah Alam ada sedikit sebanyak berhubung-kait dengan kajian aku.  Prof Amri Marzali membentangkan berkenaan kajian etnografi tentang Orang Petalangan yang tinggal di daerah Pelalawan dalam Provinsi Riau.  Beliau juga turut menyentuh sekilas lalu tentang masyarakat Orang Duano yang terdapat di Riau.  Manakala Dr. Shah Alam pula ada menyentuh dalam pembentangannya tentang kerajaan Melayu lama iaitu Srivijaya dan Melaka yang mana turut menyentuh tentang bentuk hubungan antara pihak pemerintah dengan yang diperintah.

Ucaptama yang dipersembahkan oleh Prof Madya Dr. Dzuliskandar pula sedikit menyinggung perasaan aku dan guruku.  Aku malas nak ulas banyak2.  Hal ini adalah berkenaan dengan perbezaan dan percanggahakan pendapat.  Isi ucaptamanya adalah hampir sama dengan kandungan yang pernah dipersembahkan oleh Prof Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi sewaktu aku membentangkan kertas kerja di seminar UKM, 2 tahun yang lalu.  Isinya sedikit sebanyak tidak bersetuju dengan beberapa penemuaan yang telah didedahkan oleh pihak arkeologi dari USM terutamanya berkenaan penemuaan kapak genggam yang berusia sekitar 1.83 juta dahulu di Bukit Bunuh, Lenggong. Aku sekali-sekala melihat riak wajah guruku.  Ada sedikit riak masam terpapar di wajahnya mendengarkan ucapan tersebut.  Manakala rakan-rakan2 aku dari UKM yang duduk bersebelahan dengan aku pula, hanya memandang aku dan tersenyum. Sebagai respon, aku hanya 
membalas dengan senyuman kecil.  Kami yang lapis2 baru ini mengerti tentang perbezaan pendapat antara 2 institusi yang memperjuangkan arkeologi di Malaysia. Kami yang muda2 ini hanya membiarkan perkara itu berlangsung tanpa perlu diulas sesama kami.  Hal ini kerana, masing-masing punya cara, punya pandangan dan punya prinsip dalam memperjuangkan sesuatu perkara meski pada dasar perjuangan yang sama.  Yang berbeza mungkin dari sudut method dan intrepretasi.  Suatu perkara yang aku cuba belajar dari pertelingkahan ini adalah , belajar untuk meskipun tidak dapat menerima, tetapi cukup untuk menghormati pandangan dan prinsip orang lain.  Bukankah kepelbagaian itu suatu yang berwarna-warni.  Dan berwarna-warni itu bukankah suatu yang mengindahkan.

Tapi ada satu perkara yang aku tertarik dengan Prof Madya Dr. Dzuliskandar Ramli.  Pembentang sebelum beliau membentangkan kajian mereka dalam bahasa Inggeris lantaran seminar ini adalah bertaraf antarabangsa.  Namun, dengan selambanya Prof Madya Dr. Dzuliskandar membentangkan kajiannya dalam bahasa Melayu.  Permulaan ucapan beliau dimulai dengan kata-kata ini ;" Bahasa dan bangsa adalah jati diri manusia. Hang Tuah dikatakan fasih dalam 12 bahasa.  Tetapi bila beliau mengutus surat kepada pemimpin dunia, Hang Tuah menulis surat dalam bahasa Melayu (tulisan jawi). Dahulu bahasa Melayu zaman Srivijaya dan Melaka merupakan bahasa pengantara..sebagai bahasa lingua franca. Jadi saya akan menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan saya."


Tokoh2 sarjana dari 3 buah negara serumpun. (Indonesia ~ abg sulung~, malaysia ~ adik tengah ~, singapura ~ adik bungsu~) (Kredit pic; rakan pembentang dari UKM)

Selesai majlis ucaptama dari 4 tokoh sarjana ini, maka kami dihidangkan dengan makanan tengahari. Dari segi menu makanan yang agak menarik adalah menu gulai ikan baung.  Aku sehingga setakat ini masih lagi tak berselera nak makan mengenangkan sesi pembentangan aku belum berakhir.  Selagi tak selesai 
pembentangan aku, maka selagi itulah aku tak sedap hati dan jiwa jadi tak keruan.




Riau 1: Dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ke KualaNamu, Medan, Sumatera.



Pada 19-20 Ogos 2014 yang lalu, guruku dan aku diundang oleh Universiti Islam Riau (UNRI), Indonesia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membentangkan kertas kerja di Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Kami bertolak ke lapangan terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang jam 5.30 pagi pada 18 Ogos 2014. Untuk ke Pekan Baru, kami perlu menaiki 2 pesawat. Dari Pulau Pinang ke KLIA dan kemudiannya baru ke Pekan Baru. Walaubagaimanapun, rencana itu tidak terjadi. Hal ini kerana kami terlepas pesawat dari Pulau Pinang. Kami sepatutnya berangkat jam 6.40 pagi. Tapi disebabkan waktu yang agak lama diperuntukkan sewaktu pemeriksaan imigresen, maka pesawat tambang murah Air Asia itu meninggalkan kami.

Sepatutnya, kami perlu berada  di balai pelepasan sekurang-kurangnya 20 minit awal sebelum penerbangan.  Guru aku bertanya pada aku: "kenapa tak ingatkan?". Aku lantas jawab: "manalah saya tahu Cik Hamid". Kemudian guru aku menyoal lagi: "Kau tak pernah naik kapal terbang ke?". Aku jawab: "Tak pernah". Dalam hati aku pula bermonolog: "Dia ini dah banyak kali naik pesawat, aku ini pula baru pertama kali naik, manalah aku tahu urusannya macam mana". Dalam hal ini guruku agak sedikit kecewa dengan syarikat Air Asia. Menurutnya, lazimnya mereka akan buat pengumuman sekurang-kurangnya 3 kali bagi para penumpang yang masih lagi tiada di balai pelepasan. Namun hal ini tak terjadi. Maka sepanjang perjalanan kami, guruku itu akan menyebut-yebut tentang peristiwa tertinggal pesawat ini dan bagaimana layanan Air Asia kepada para pelanggannya.


Kemudiannya, guruku terpaksa membeli tiket sendiri. Untuk mengejar pesawat kedua di KLIA, sudah tak sempat kerana pesawat di KLIA akan berlepas ke Pekan Baru sekitar jam 10 pagi.  Maka dengan itu, guruku membuat keputusan agar pergi ke Medan terlebih dahulu. Dari Medan, barulah ke Pekan Baru. Dari Pulau Pinang ke Medan, kami menaiki pesawat Air Asia dengan tambang harga sekitar RM 150 seorang.


Pesawat kami jam 11.00 pagi.  Untuk mengelakkan kejadian terlepas pesawat, maka guruku membuat keputusan agar menunggu di balai pelepasan. Bosan gila menunggu.  Buku aku pula dalam beg. Beg dah 
pun dihantar ke bahagian bagasi. Jadi sepanjang tempoh menunggu tue, aku tidur sahaja. Dan aku memang memerlukan tidur. Sebabnya semalaman aku tak tidur lantaran menonton bola sepak EPL di kedai mamak bersama Wandy dan Faiz sehingga larut malam. Sebelum ke balai pelepasan, guruku menukar wang dari Ringgit Malaysia ke Rupiah Indonesia. Kadar tukaran mata wang pada hari itu adalah sekitar RM 1= 3333 Rupiah. Guruku menukar wang sekitar RM 1000. Maka nilainya dalam rupiah adalah sekitar 3 333 000 rupiah Indonesia.

Tempat duduk aku di sekitar bahagian tengah sebelah kiri pesawat. Disebabkan ini merupakan kali pertama aku menaiki pesawat, guruku memberikan ruang tempat duduk yang bersebelahan dengan tingkap.  Sebelum pesawat berlepas, pramugari yang berseragam merah seksi memberikan sesi penerangan tentang aturan dan langkah keselamatan dalam penerbangan. Penerangannya diikuti dengan demostrasi yang dilakonkan oleh 
beberapa pramugari yang seksi itu. Ianya berkenaan tentang cara memakai tali pinggang keselamatan, topeng udara, jaket keselamatan, laluan yang perlu dilalui jika berlaku kecemasan dan lain-lain lagi.

Kemudian, pesawat berlepas. Setelah berada di kedudukan lurus di laluan berlepas, pesawat itu pun memecut laju untuk menaiki ruang udara. Bunyi enjin dan kipasnya menderum-derum. Mungkin disebabkan pesawat ini tambangnya murah, maka imbalan bunyi itulah hasil harganya. 

Setelah berada di ruang udara, aku dapat saksikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Dari atas, segala yang dibawah umpama lukisan. Nampak dengan jelas petak-petak kawasan yang telah diterokai manusia daripada tanah alam yang dikurnia tuhan. Ada petak yang meunjukkan kawasan perumahan. Ada petak yang menunjukkan kawasan perindustrian. Ada petak yang menunjukkan kawasan perladangan.Cuaca hari itu baik dan cerah. Aku dapat melihat gumpalan awan. Pesawat melalui dan menerobos gumpalan-gumpalan awan itu. Dari balik gumpalan awan itu, terlihat juga sinaran matahari memancar. Memancar menembusi lapisan awan untuk sampai ke permukaan tanah bumi.

Sepanjang perjalanan, aku tidak melepaskan mata pandangan aku ke luar tingkap. Ini adalah pengalaman aku yang pertama. Mungkin pesawat yang berikutnya, aku tak mungkin ada kesempatan untuk duduk di sebelah tingkap. 

Sebelum mendarat, pramugara berbangsa Indonesia ada memberikan 2 buah borang. Satu borang kastam. 
Satu lagi borang imigresen. Pada awalnya, aku hanya diberikan borang kastam. Borang imigresen tidak diberikan. Aku rasa pelik sebab guruku diberikan 2 borang sedangkan aku hanya satu borang. Aku diamkan sahaja. Ketika mahu menyerahkan kembali borang tersebut, barulah guruku perasaan yang aku tidak mengisi borang imigresen. Guruku aku bertanya: "Kenapa tak isi borang imigresen?". Aku jawab: "Dia tak bagi pun". Guruku kata lagi: "Dia ingat kau orang Indonesia lah tue".. Kemudian guruku gelak kecil. Dalam borang tersebut, kita perlu isi tentang butiran diri kita iaitu terdiri daripada nama, no pasport, alamat, tujuan ke Indonesia dan jangka masa berada di Indonesia.

Pesawat mendarat di lapangan terbang Medan, Sumatera, Indonesia. Nama lapangan terbang itu adalah Lapangan Terbang KualaNamu, Medan, Sumatera, Indonesia.  Menurut guruku, ini merupakan lapangan terbang baru. Guruku memang sering ke Medan.  Paling kurang pun sekali setahun. Hal ini disebabkan guruku itu beristerikan orang Medan.

LAPANGAN TERBANG KUALANAMU MEDAN SUMATERA.


Setelah para pramugara mengucapkan selamat tinggal, kami pun turun dari pesawat. Kemudian menuju ke ruang dalam lapangan terbang. Sebelum memasuki ruang dalam, kami perlu melepasi pemeriksaan imigresen sepertimana keadaannya di Malaysia. Segala barang yang berunsurkan besi dan logam perlu ditanggalkan daripada badan iaitu jam, tali pinggang, telefon bimbit dan sebagainya. Barang ini diletakkan di sebuah bekas dan akan disaring pada sebuah mesin.  Jika ada barang2 yang mencurigakan, alat penggera akan berbunyi. Namun, mujur segala berjalan lancar dan beres sahaja.

Begitulah cerita tentang pengalaman pertama aku berhubung dengan lapangan terbang, pesawat, pramugari, pramugara, juruterbang, Malaysia-Indonesia.  Disebabkan aku ini haiwan sosial dari kelas bawahan, kelas proletariat, anak kampungan, maka pada usia setua begini barulah aku merasa menaiki kapal terbang yang mana dahulunya, aku beranggapan bahawa kapal terbang itu adalah sinonim dan layak untuk golongan kelas atasan, aristokrat apatah lagi superstokrat dan juga hanya layak untuk orang kota sahaja. Rencana tuhan tiada siapa yang tahu.